Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI
SETELAH lama tidak mendengar berita tentang keadaan
kehidupan etnik Rohingya di Myanmar, tiba-tiba masyarakat dunia dikejutkan
dengan insiden keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine di barat Myanmar,
membabitkan penduduk Rohingya yang beragama Islam dan penduduk Rakhine yang
majoriti beragama Buddha.
Ketegangan di negeri itu mengingatkan kita kembali tentang
kisah nasib malang yang menimpa etnik ini, yang selama ini diabaikan dan
ditindas oleh junta Myanmar sehingga kita tidak menyedari sebahagian kecil
daripada mereka ini hidup bergelandangan di negara kita sebagai orang pelarian.
Keganasan terbaru itu dilaporkan bermula pada 3 Jun lalu,
setelah sekumpulan perusuh dipercayai penduduk Buddha bertindak membunuh 10
penduduk Islam di sebuah perkampungan berhampiran Taunggup di negeri Rakhine
bagi membalas dendam berhubung satu kes pembunuhan dan rogol membabitkan
seorang wanita Buddha yang didakwa dilakukan oleh penganut Islam.
Setakat ini, sebanyak 28 orang dilaporkan terbunuh dan 53
lagi cedera, serta lebih 1,600 rumah kediaman musnah dibakar dalam keganasan
terburuk di Myanmar itu.
Sebenarnya keganasan kaum dan agama di negeri Rakhine
berpunca daripada kegagalan kerajaan Myanmar menyelesaikan masalah akar umbi
yang membabitkan penduduk Rohingya sejak berdekad-dekad lalu.
Krisis yang melanda negeri Rakhine kali ini, merupakan
rentetan daripada pengalaman hitam dan penderitaan pahit yang dilalui oleh
etnik minoriti Islam di Myanmar ini sejak 1962 lagi setelah tentera Myanmar di
bawah Jeneral Ne Win merampas kuasa dan menjalankan tindakan kekerasan terhadap
penduduk Islam Rohingya.
Keganasan kaum dan agama akan terus melanda di negeri ini
pada masa depan, selagi isu akar umbi ini tidak diselesaikan berhubung status
penduduk Rohingya sebagai penduduk pribumi negeri Rakhine.
Kerajaan Myanmar juga perlu mengiktiraf penduduk Rohingya
sebagai rakyat Myanmar sama seperti penduduk pribumi lain seperti etnik Shan,
Karen, Kachin, Kayin, Chin dan banyak lagi di negara itu.
Penduduk Myanmar berpendirian, etnik Rohingya yang kini
berjumlah kira-kira 3 juta orang, sebenarnya bukanlah penduduk pribumi tetapi
merupakan penduduk Benggali yang beragama Islam berasal dari Pakistan Timur
(kini dikenali sebagai Bangladesh) yang sebelum itu merupakan sebahagian
daripada benua kecil India menetap di Rakhine semasa zaman Arakan atau Burma
dijajah British.
Pihak Rohingya pula berhujah, mereka merupakan masyarakat
pribumi keturunan Rohang, nama lama bagi Arakan, Burma.
Atas dasar itu, wujudlah ketidaksefahaman antara kedua-dua
pihak, sebaliknya menimbulkan kebencian di kalangan penduduk Rakhine yang
beragama Buddha terhadap penduduk Rohingya.
Penderitaan penduduk Rohingya semakin melarat apabila junta
tentera yang memerintah Myanmar ketika itu melaksanakan Undang-undang
Kewarganegaraan Burma 1982 yang membatalkan kerakyatan penduduk Rohingya.
Secara tiba-tiba penduduk Islam Rohingya diisytiharkan pendatang asing di
negara sendiri dan mereka terus ditindas melalui undang-undang itu.
Sejak itu hak mereka dinafikan sehingga Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengkelaskan kaum itu sebagai antara minoriti yang
paling banyak ditindas.
Walaupun tindakan kekerasan oleh pihak junta tentera
terhadap penduduk Rohinya kemudian berkurangan, berikutan tekanan masyarakat
antarabangsa ke atas junta tentera, tetapi tindakan dan dasar-dasar tidak
berperikemanusiaan terus dikenakan terhadap penduduk Rohinya melalui NaSaKa
atau Jawatankuasa Perkampungan Tentera, yang menyekat pergerakan penduduk.
Akibat diskriminasi dan tindakan kekerasan oleh junta
tentera itu, kini separuh daripada tiga juta penduduk Rohingya tinggal
bergelandangan sebagai pelarian di luar negara atau di khemah-khemah pelarian
di sempadan Bangladesh dan Thailand.
Kini terdapat antara 10,000 atau 12,000 orang pelarian
Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu
Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Malaysia pada masa ini. NaSaKa bertindak sebagai
'penjaga' kepada penduduk Rohingya, dalam segala tujuan dan urusan, namun pada
hakikatnya mereka membina penjara dalam kehidupan penduduk Rohingya. Sebagai
contoh, untuk pergi ke kampung lain, seorang penduduk Rohinya perlu mendapat
'pas berkelakuan selamat' yang perlu dibayar.
NaSaKa juga menentukan pasangan mana yang sesuai untuk
berkahwin melalui upacara-upacara agama yang bertentangan dengan ajaran Islam
dan juga dikenakan yuran yang tinggi bagi mendapatkan kelulusan kontrak
perkahwinan.
Pembinaan masjid dilarang dan kerja-kerja membaik pulih
masjid-masjid lama perlu mendapat kelulusan NaSaKa dengan dikenakan yuran
tertentu. Semua pembayaran yang terlibat bagi urusan itu juga perlu ditanggung
oleh mereka yang mahu menjalankan kerja-kerja baik pulih itu.
Sebagai pengenalan diri pula, penduduk Rohinya diberikan Kad
Putih sebagai penduduk sementara, manakala penduduk Rakhine diberi Kad Merah
Jambu. Dengan cara itu, mereka mudah mengenali siapakah penduduk Rohingya dan
siapakah penduduk Rakhine.
Penduduk yang memiliki Kad Merah Jambu dibenarkan bergerak
ke mana-mana sahaja termasuk pergi ke Yangoon, tetapi mereka yang memiliki Kad
Putih pergerakan mereka hanya terbatas di kampung itu sahaja. Walaupun,
penduduk Rohingya dibenar bekerja dalam projek-projek kerajaan tetapi mereka
hanya diambil bekerja sebagai buruh kasar.
Penduduk Rohingya dibenarkan mengusahakan tanah, tetapi
sebagai penduduk yang tidak mempunyai kewarganegaraan, mereka tidak boleh
memiliki tanah.
Kini sudah sampai masanya, kerajaan baru Myanmar mengubah
dasarnya terhadap penduduk Rohingya sesuai dengan dasar pembaharuan dan
demokrasi yang dilancarkannya bagi memberi keadilan kepada penduduk Rohingya
menikmati hidup seperti penduduk Myanmar yang lain dengan mempunyai hak sama ke
atas pendidikan, ekonomi, sosial dan beragama.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan