KOTA BAHARU : Jawatankuasa Kajian Semula Pendidikan dijangka
selesai membuat kajian ke arah penambahbaikan mutu pendidikan negara dalam
tempoh dua bulan lagi, kata pengerusi panel Dialog Nasional Pendidikan Negara
(DNPN) 2012, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin.
Katanya kajian itu akan mula dilakukan selepas anggota panel
yang dilantik menganggotai DNPN itu selesai menjelajah ke seluruh negara bagi
mengumpul cadangan daripada orang ramai.
"Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 ini dijangka
selesai membuat penjelajahan ke seluruh negara pada 14 Julai ini," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup dialog tersebut peringkat
negeri Kelantan di sini, Sabtu.
Lebih 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat,
termasuk guru, bekas guru dan golongan profesional dari seluruh negeri ini
menyertai dialog tersebut.
Dr Wan Mohd Zahid berkata seramai 12 anggota panel dilantik
oleh Kementerian Pelajaran untuk mengumpul cadangan orang ramai dari setiap
negeri yang dijelajahinya. "Setakat ini hanya dua negeri yang masih belum
mengadakan program berkenaan iaitu Terengganu dan Johor," katanya.
Katanya melalui dialog itu anggota panel akan mengumpul
semua cadangan yang dikemukakan oleh peserta dan ia akan dibawa ke peringkat
jawatankuasa penilai di kementerian berkenaan.
"Selepas itu kita ambil masa mungkin Julai atau Ogos
depan kita akan mula buat rumusan untuk dikemukakan ke peringkat atasan,"
katanya.
Pada majlis dialog hari ini, lebih 24 peserta memberi
cadangan untuk penambahbaikan mutu pelajaran negara pada masa depan.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya kerajaan
mewajibkan mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat
Sijil Pelajaran Malaysia, iaitu selaras dengan langkah kerajaan memartabatkan
Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris.
Cadangan lain ialah supaya mata pelajaran agama Islam diajar
secara lebih serius sehingga melepasi garis mata pelajaran itu bagi melahirkan
modal insan bersahsiah tinggi, ini selaras dengan matlamat pembelajaran
sepanjang hayat ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan