Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH
KELUARAN sistem pendidikan kita menghadapi dua cabaran
kualiti yang dipersoalkan masyarakat dan majikan.
Pertama, ialah keperibadiannya, iaitu ciri-ciri
psikologikal, spiritual dan intelektual. Kedua, ialah kebolehpasarannya, iaitu
kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritikal dan bekerja berpasukan.
Semua pihak terlibat dengan pembangunan generasi melakukan
pelbagai inisiatif untuk menanganinya. Tetapi, keberhasilannya belum jelas.
Sebab utamanya ialah kita tidak menyelesaikan perkara asas.
Jadi, kita mesti kembali kepada asas. Satu daripadanya ialah memperkasa
kokurikulum.
Matlamatnya supaya pendidikan benar-benar bersepadu dan
seimbang antara kurikulum dan kokurikulum, supaya memenuhi matlamat sebenar pendidikan,
iaitu melahirkan insan yang baik.
Kini, untuk kemasukan IPTA, pemberatan kurikulum dan
kokurikulum ialah nisbah 90:10. Ia perlu diubah menjadi nisbah 70:30. Ia perlu
diterima pakai semua peringkat, iaitu penaksiran prestasi pelajar sekolah dan
IPT, syarat kemasukan semua IPT dan pengambilan pekerja semua sektor.
Universiti terkemuka dunia memberikan pemberatan yang
seimbang (lebih daripada 10 peratus) terhadap kokurikulum yang punya ciri-ciri,
yang disebut Profesor Universiti Harvard, Henry Rosovsky, dalam bukunya The
University: An Owner’s Manual, sebagai subjektif, kualitatif dan
tak-kuantitatif.
Menurut Richard Bradley dalam bukunya Harvard Rules, untuk
memasuki Harvard, di samping akademik, calon perlu mempunyai pengalaman,
contohnya, kesenian, kesukanan atau keusahawanan yang bertaraf dunia.
Maksudnya, sekadar mewakili sekolah tidak memadai. Kata
Profesor Harvard, Harry R. Lewis dalam bukunya Excellence Without A Soul,
penglibatan dalam kokurikulum yang seimbang tidak menggugat prestasi akademik.
Hakikatnya mereka yang cemerlang dalam pelbagai bidang adalah mereka yang aktif
dalam kokurikulum ketika pendidikan formalnya.
Justeru, kita perlu membina budaya kokurikulum yang
kondusif. Untuk itu, beberapa perkara perlu dilakukan, iaitu: - Matlamat yang
jelas, iaitu melahirkan pelajar berperibadi bersepadu dan unggul melalui
kokurikulum yang pelbagai, mengikut minat dan pilihan pelajar, sistematik dan
profesional (termasuk penilaian dan akreditasi).
Ia dilaksanakan bukan sebagai tempelan, tetapi sebagai arus
perdana institusi berkaitan (bersama matlamat, semangat dan tradisinya).
- Objektif yang khusus, misalnya, penghayatan budaya
kokurikulum yang sihat dan konsisten; memperkukuhkan pengurusan, kejurulatihan,
penasihatan, kepemimpinan dan keanggotaan organisasi; meningkatkan kefahaman,
komitmen dan profesionalisme; menjadikan pelajar mahir bidang; dan
memperbanyakkan kemenangan.
- Selaras dengan pemikiran progresif kontemporari dalam
pelbagai bidang seperti pendidikan, undang-undang, ekonomi, politik dan
sebagainya.
- Kerangka governans kokurikulum yang melibatkan semua pihak
berkepentingan, seperti Naib Canselor/pengetua/ guru besar, pensyarah/pegawai/
guru penasihat, jurulatih, PIBG, alumni, perniagaan, masyarakat sivil dan
pelajar.
- Kepemimpinan institusi, seperti Naib Canselor/pengetua/
guru besar memotivasikan, iaitu dengan menyediakan peluang yang secukupnya dan
mengelakkan halangan yang melingkupkannya.
- Organisasi kokurikulum yang sesuai. Keanggotaan terbuka
dan tidak dihadkan kepada yang berbakat atau wakil institusi sahaja. Di
sekolah, sebaik-baiknya mengikut sistem rumah.
- Pensyarah/ pegawai/ guru penasihat yang komited disediakan
motivasi yang setimpal dalam penilaian, kenaikan pangkat dan sebagainya.
- Jurulatih yang baik. Dalam keadaan tertentu, ia mungkin
datang dalam kalangan ibu bapa atau alumni. Jika perlu, ia diambil dalam
kalangan profesional.
- Penasihat teknikal daripada kalangan ibu bapa, alumni dan
masyarakat sivil yang berkemahiran.
- Pengurusan organisasi kokurikulum hendaklah dijalankan
oleh pelajar dan bukannya oleh pensyarah/ pegawai/guru. Ia mesti dilaksanakan
atas konsep penghakupayaan pelajar. Barulah partisipasi pelajar meningkat
realiti dan kualitinya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan