Oleh Azmi Hassan
APA jua perkembangan terbaru yang berpunca dari China tidak
kira sama ada bidang ekonomi, teknologi, ketenteraan, sosial malah sukan akan diperhatikan dengan teliti
oleh masyarakat global kerana kesannya adalah begitu mendalam sekali.
Kejayaan kapal angkasa Shenzhou-9 berlabuh di modul makmal
angkasa Tiangong-1 beberapa hari lepas merupakan kejayaan besar China dalam
sektor teknologi angkasa lepas yang pada ketika ini diungguli oleh Amerika
Syarikat (AS) dan Rusia.
Walaupun kehadiran angkasawan wanita Liu Yang sedikit
sebanyak mencuri perhatian dunia, tetapi kejayaan berlabuh di makmal angkasa
telah memberi petunjuk baru mengenai kesungguhan China menerokai bidang penuh
mencabar ini.
Seperti mana permodenan angkatan tentera China mempunyai
seribu makna dan tujuan tersirat, begitu juga kesanggupan China berbelanja
besar dalam penerokaan angkasa lepas sedangkan AS dan Eropah mengekang
perbelanjaan masing-masing sudah pasti niat sebenar Beijing menjadi tanda
tanya.
Bermula dengan angkasawan pertama Yang Liwei berjaya
mencapai orbit pada 2003 dan disusuli dengan misi kapal angkasa manusia pertama
melalui Shenzhou-5 pada 2005, kejayaan terbaru ini adalah manifestasi
kesungguhan China dalam bidang angkasa.
Makmal Tiangong-1 merupakan asas cita-cita China
membangunkan makmal yang lebih besar dan kekal menjelang tahun 2020. Berbeza
dengan nasib Makmal Angkasa Antarabangsa (ISS) yang dibangunkan oleh AS,
Eropah, Rusia, Kanada dan Jepun yang besar kemungkinan ditamatkan hayatnya pada
2028, Tiangong-1 dijangka akan menjadi lebih besar.
Peringkat awal ketika China mula membuat persiapan
menghantar angkasawan pertama ke angkasa satu dekad lepas, ramai yang
memperlekehkan cita-cita itu kerana menuduh Beijing hanya berminat untuk
simbolik sahaja, iaitu mengejar prestij.
Tetapi hari ini kejayaan China telah melampaui keperluan
hanya untuk bermegah kerana kehebatan teknologi angkasa mereka telah melimpah
memberi manfaat kepada bidang lain seperti ketenteraan, ekonomi, saintifik dan
geopolitik. Kekuatan China dalam kesemua bidang ini seiring dengan Beijing yang
dianggap sebagai kuasa besar dunia.
Beberapa negara Eropah melalui Agensi Angkasa Eropah (ESA)
menaruh minat menjalin kerjasama dengan China kerana banyak manfaat yang boleh
diraih oleh kedua-dua pihak. Manakala Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas
Kebangsaan (NASA) AS pula enggan bekerjasama gara-gara bimbang China akan
mendapat keuntungan yang lebih kerana teknologi angkasa AS adalah lebih jauh ke
hadapan.
Memandangkan hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan
Beijing adalah begitu akrab sekali, Malaysia melalui Agensi Angkasa Negara
(ANGKASA) sepatutnya mengambil peluang dengan menjalin kerjasama yang lebih
erat dengan China dalam bidang penuh mencabar ini.
Seperti mana China, Malaysia juga telah melampaui keperluan
asal ketika menghantar angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ke
ISS pada 2007. Kejayaan tersebut digunakan sebagai pemangkin untuk membangunkan
kepakaran teknologi angkasa lepas negara dan sehingga kini dua satelit telah
dilancarkan iaitu TiungSat dan RazakSat.
Mungkin ramai cuba menafikan kepentingan teknologi angkasa
lepas memandangkan Malaysia hanya sebuah negara kecil dan tidak mampu
memperuntukkan perbelanjaan besar dalam bidang ini. Tetapi perlu ditekankan
teknologi angkasa lepas, terutama sekali berkaitan satelit komunikasi mempunyai
kepentingan strategik kerana keperluannya merangkumi bukan sahaja sektor
ekonomi malah pertahanan.
Sebagai contohnya ramai yang mengambil mudah mengenai
peranan disandang oleh beberapa siri satelit komunikasi yang dinamakan Measat
milik syarikat Malaysia kerana rangkuman satelit ini adalah begitu luas sekali.
Kehadiran satelit Measat tidak menjadi isu pada ketika ini kerana pemilikannya adalah
masih dikawal oleh syarikat Malaysia. Tetapi apa yang pasti adalah kepentingan
satelit akan menyerlah apabila pemilikan satelit Measat bertukar terutama
sekali oleh negara asing.
Jika Malaysia mampu menghantar Dr. Sheikh Muszaphar ke
angkasa tanpa melibatkan kos tambahan melalui program ofset pembelian jet
pejuang Sukhoi dengan Rusia, bukan sesuatu yang mustahil Malaysia menjalin
kerjasama yang lebih erat dengan China dalam bidang ini.
Sebagaimana China dikatakan begitu agresif melibatkan diri
dalam pembangunan fizikal sesebuah negara termasuk Malaysia dengan menyediakan
pinjaman mudah, strategi sama digunakan Beijing untuk menjalin kerjasama dalam
bidang angkasa lepas.
Umpamanya China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) yang
ditubuhkan 1980 bukan sahaja memberi pinjaman mudah untuk pembangunan teknologi
angkasa lepas tetapi menyediakan kemudahan pemindahan teknologi dan kepakaran
teknikal tanpa banyak soal. Pakistan, Venezuela, Nigeria dan Indonesia
mengambil peluang yang disediakan oleh CGWIC untuk membangun dan melancarkan
satelit masing-masing.
Memang benar Malaysia perlu berhati-hati dalam melaksanakan
program angkasa lepas negara dan ini termasuklah program membangunkan satelit.
Tetapi satu perkara perlu difahami dan tidak dapat dielakkan adalah peruntukan
besar adalah diperlukan jika Malaysia serius menceburi bidang itu dan disinilah
kerjasama strategik dengan China memainkan peranan yang penting untuk
menjayakan misi tersebut.
Teknologi angkasa lepas merupakan manifestasi sebenar
kekuatan Malaysia supaya negara tidak ketinggalan jauh dalam bidang ini. Ini
adalah kerana teknologi ini bukan hanya merangkumi ruang lingkup angkasa lepas
tetapi yang lebih penting ia memberi kesan terhadap kepentingan geostrategik
negara.
PENULIS
ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial dan Sekolah Perdana UTM
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan