Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE
AGAK mudah untuk kita berbicara mengenai keselamatan tetapi
adakah setiap orang benar-benar komited dengannya. Keselamatan tidak dianggap
penting sehinggalah berlakunya tragedi yang sudah terlambat untuk dikesali.
Walaupun terdapat banyak kempen keselamatan jalan raya dan
program publisiti, tragedi kemalangan jalan raya masih berterusan yang
melibatkan kanak-kanak dan remaja menjadi korban. Lebih menyedihkan apabila
seluruh keluarga terkorban dalam kemalangan maut.
Statistik yang didedahkan oleh Institut Penyelidikan
Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan sebanyak 414,421 kemalangan
jalan raya telah dilaporkan pada tahun 2010 dibandingkan dengan 265,175 pada
tahun 2001. Sementara itu, angka kematian jalan raya turut meningkat daripada
5,849 kes pada tahun 2001 kepada 6,872 kes pada tahun 2010.
Jika angka kemalangan jalan raya 2010 dibandingkan dengan
397,330 kemalangan yang dilaporkan pada 2009 menunjukkan peningkatan sebanyak
4.3 peratus. Bagi angka kematian di jalan
raya pada 2010 pula, jika dibandingkan
dengan 6,745 kematian pada 2009, menunjukkan peningkatan sebanyak 2 peratus.
Kemalangan jalan raya dapat dielakkan jika kita mengambil
berat terhadap keselamatan dan menghargai nyawa orang yang tersayang.
Para pemandu sedar akan kempen keselamatan dan bahaya di
jalan raya, tetapi mereka bersikap lalai terhadap nyawa sendiri serta orang
lain apabila jalan raya dijadikan seperti litar lumba Formula 1.
Jika kita hendak melihat penurunan kemalangan, sikap kurang
sabar dan pemanduan secara berbahaya di jalan raya perlu diperbaiki.
Selain daripada disiplin dan undang- undang jalan raya,
pihak kerajaan juga hendaklah memandang serius terhadap keadaan jalan raya yang
tidak memuaskan.
Ini adalah kerana kerosakan jalan raya seperti jalan
berlubang, tidak rata ataupun bermasalah
kejuruteraan boleh menyebabkan kemalangan. Ia harus ditangani dan diperbaiki
dengan kadar segera bagi mencegah kemalangan.
Merujuk kepada Perkeso, jumlah kemalangan dalam perjalanan
dilaporkan telah meningkat sebanyak 28.4 peratus daripada 17,170 kes pada tahun
2001 kepada 22,040 kes pada tahun 2010.
Majikan dan pekerja harus menyedari statistik yang serius
ini dan bersedia untuk mengambil langkah bagi mengurangkan kejadian kemalangan.
Majikan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi pekerja
mereka dan pengguna jalan raya dengan mengambil langkah-langkah pengurusan risiko pekerja di jalan raya untuk mengurangkan kerugian
perniagaan yang meningkat daripada kemalangan jalan raya semasa ke tempat
kerja.
Kesimpulannya, para majikan mempunyai tanggungjawab dalam
membangunkan dan melaksanakan program dan prosedur keselamatan yang komprehensif di tempat kerja untuk
mengurangkan kemalangan, kematian dan kecederaan termasuk menyediakan latihan
kepada para pekerja mereka untuk menjadi pemandu dan penunggang yang cekap
berhemah dan bertanggungjawab.
Penulis ialah Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan