Oleh : Nor Sobah
Hussain
MENDENGARKAN nama 'Awang Hitam' sahaja sudah cukup membuatkan
kita berasa gerun apatah lagi terjebak ke dalam permainan 'cinta alam maya'
mereka. Inilah perkara yang paling ditakuti oleh wanita di negara ini.
Sememangnya perkara begini seringkali dikhabarkan di media-media massa namun
masih ramai yang tidak mengambil iktibar daripadanya.
Sikap terlalu mudah percaya menjerumuskan mangsa-mangsa ke
dalam kancah penipuan Awang Hitam. Malah, percaya atau tidak, warga-warga
Afrika ini sebenarnya dilatih di 'sekolah khas' untuk mendalami ilmu memperdaya
mangsa-mangsa mereka sebelum mereka dihantar ke negara-negara tertentu untuk
menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.
Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan kes seorang ibu
tunggal berusia 63 tahun yang kehilangan RM5 juta setelah ditipu sindiket warga
Afrika. Akibat angau bercinta kononnya dengan seorang 'Jeneral Tentera Amerika
Syarikat' yang dikenalinya menerusi sebuah laman sosial, wanita itu sanggup
menjual harta bendanya dan menyerahkan wang kepada kekasihnya yang sebenarnya
menjadi dalang dalam sindiket cinta alam maya tersebut.
Walaupun tidak pernah bertemu sejak berkenalan, mangsa mudah
diperdaya dengan hanya melihat foto-foto lelaki kulit putih yang kacak oleh
sindiket penipuan terbabit.
Kes sebegini selalunya berlaku kepada wanita tempatan kerana
begitu mudah mempercayai orang yang baru dikenali dan ini sekali gus
memungkinkan mereka menjadi mangsa. Sasaran mereka adalah ibu-ibu tunggal dan
golongan andartu yang kesunyian. Berbekalkan ayat-ayat manis dan romantis,
lama- kelamaan hati mangsa mula terpaut. Sikap mesra yang penuh kasih-sayang
yang ditunjukkan walaupun hanya dalam dunia maya, namun, bagi mangsa mereka
tidak kisah asalkan tahu ada seseorang menyintai diri mereka.
Perkenalan dari alam maya ini membibitkan rasa sayang lantas
nombor telefon diminta dengan alasan untuk menguatkan perhubungan tersebut.
Mangsa yang mabuk cinta si Awang Hitam ini akan tunduk kepada kata-kata manis
warga Afrika tersebut dan memberikan nombor mereka tanpa berfikir panjang.
Malahan, dek terlalu
percayakan sang kekasih, ada sesetengah mangsa memberikan nombor akaun bank
mereka tanpa perasaan ragu. Setelah itu, sindiket ini akan memulakan taktik
mereka dengan memberi pelbagai alasan supaya mangsa percaya dan selanjutnya
memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun tertentu.
Antara alasan yang sering digunakan adalah menawarkan
peluang pelaburan di luar negara dengan pulangan berlipat ganda, tidak
mempunyai cukup modal untuk menjalankan perniagaan, malah ada yang mengatakan
mereka memerlukan wang untuk datang ke negara mangsa bagi bertemu dengan kekasih
yang dicintai sejak bertemu di alam maya. Sejurus wang dimasukkan, mereka akan
terus lesap tanpa meninggalkan kesan sama sekali.
Kecanggihan teknologi turut menjadi penyumbang kepada
masalah yang semakin serius ini. Dengan kewujudan laman sosial bahkan laman
sembang dunia maya sangat memungkinkan seseorang itu terjerat ke dalam kes ini.
Malahan, kelicikan warga kulit hitam ini juga semakin menjadi-jadi apabila
mereka cuba memperdaya mangsa menerusi laman sosial tersebut bagi menjadikan
mangsa sebagai 'keldai dadah'.
Kadang-kala di atas desakan hidup, mangsa akan terus
bersetuju untuk melakukan tugasan tersebut. Mereka akan dijadikan keldai dadah
untuk dihantar ke negara-negara tertentu supaya dadah-dadah tersebut sampai ke
destinasinya.
Namun, jika tertangkap, mangsa yang akan menanggung sendiri
akibatnya kerana sindiket Awang Hitam akan terus lesap dan tidak mungkin akan
bertanggungjawab.
Menurut mangsa keldai dadah yang merupakan seorang wanita
beragama Islam, keadaan amat perit apabila berada dalam tahanan negara lain.
Malah, mereka juga memberikan makanan tidak halal walaupun mengetahui tahanan
beragama Islam. Malah, mangsa turut diajukan dengan pelbagai soalan walaupun
hanya meminta kain telekung untuk menunaikan solat.
Walaupun pelbagai amaran bahkan peringatan diberikan,
ternyata masih ramai yang belum serik dan tidak mengambil pengajaran daripada
kes-kes sebelum ini. Bagi sindiket ini, untuk memastikan misi mereka berjaya,
mereka akan terus menakluki alam maya agar lebih ramai dapat direkrut untuk
menjadi keldai dadah.
Ini adalah supaya mereka terus di ulit kemewahan tanpa perlu
bersusah payah bekerja. Mungkin ada antara kita yang tidak sedar bahawa kita
juga sebenarnya dalam pemerhatian si Awang Hitam untuk dijadikan keldai dadah.
Kita sebenarnya terdedah kepada bahaya alam siber
memandangkan kita sememangnya mengunakan laman sosial untuk berinteraksi dan
berkomunikasi dengan orang ramai. Sehubungan itu, sikap berhati-hati wajar
diambil supaya kita tidak menjadi mangsa sindiket ini.
Dalam kes-kes tertentu, si mangsa tidak mengetahui mereka
sebenarnya dijadikan keldai dadah. Setibanya masa pemeriksaan di lapangan
terbang, mangsa terkejut dan tidak menyangka bahawa dadah telah dimasukkan
terlebih awal ke dalam bagasinya.
Ini pastinya menimbulkan ketakutan dan kekeliruan kepada
mangsa kerana pada mulanya mereka hanya diminta untuk membawa barang tetapi
tidak tahu barang tersebut adalah dadah.
Tuntasnya, kita haruslah berwaspada dan mengambil iktibar
dengan apa yang berlaku agar kita tidak menjadi mangsa. Jangan mudah memberikan
nombor telefon apalagi nombor akaun bank kepada sesiapa yang tidak dikenali.
Sikap mudah mempercayai orang baru yang dikenali juga perlu
dikikis oleh rakyat di negara ini supaya tidak menjadi mangsa sindiket jerat
cinta si Awang Hitam.
Penulis ialah
pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan