Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Berakhirnya cuti sekolah beberapa hari lalu maka berakhirlah seketika
riuh-rendah kenduri-kendara perkahwinan pasangan mempelai yang diraikan. Namun
bukan hanya majlis walimah pelbagai bentuk yang mewarnai musim cuti sekolah, masyarakat turut disajikan dengan
pelbagai berita sensasi melingkari isu perkahwinan.
Dalam keriuhan media berpesta melaporkan kisah perkahwinan pelbagai
stratifikasi golongan masyarakat ini, tanpa disedari fikrah masyarakat mengenai
perkahwinan semakin dicelarukan. Perkahwinan kini seolah-olah ditanggapi ebagai suatu wahana memperagakan kemewahan
dan kekayaan diri hinggakan semacam wujudnya persaingan mengenai harga mas
kahwin, nilai hantaran hatta dalam aspek penganjuran majlis walimah.
Lebih menggusarkan penulis, apabila makna dan falsafah perkahwinan sendiri
semakin disongsangkan seolah-olah kebahagiaan dalam perkahwinan hanya mampu
terjelma apabila pasangan adalah golongan hartawan atau model upawan. Persoalannya apakah sebenarnya matlamat
dan falsafah perkahwinan menurut Islam?
Adakah kayu ukur kebahagiaan dalam perkahwinan tergantung kepada kekayaan
dan kecantikan semata-mata? Atau apakah sesuatu
perkahwinan itu sekadar memenuhi serakah nafsu manusiawi yang tidak
mempunyai makna apa-apa?
Amat malang apabila masyarakat berterusan dimomokkan dengan persepsi betapa
kehebatan perkahwinan diukur sejauh mana gahnya upacara keraian yang dianjurkan
ataupun nilai hantaran yang disediakan.
Sebaliknya prinsip dan nilai keagamaanlah yang seharusnya mendasari
perhitungan dan menerasi cita rasa umat dalam membentuk perkahwinan yang
sempurna dan penuh barakah. Agama semestinya menjadi kayu ukur terpenting dalam memperhitungkan neraca kebahagiaan
perkahwinan dan berkekalan hingga ke penghujung hayat insan.
Dalam konteks perkahwinan ini, Rasulullah SAW melarang pasangan berkahwin
tanpa memperhitungkan faktor agama. Baginda turut memberi amaran mengenai
natijah buruk sekiranya sesuatu perkahwinan itu berteraskan ketampanan rupa paras ataupun kekayaan harta benda
semata-mata: “Janganlah kamu mengahwini perempuan sematamata kerana
kejelitaannya, kerana mungkin ia akan membawa mereka kepada keburukan. Dan
jangan kerana kekayaannya, kerana mungkin ia akan mendorong mereka kepada
kezaliman.
Sebaliknya kahwinilah perempuan kerana agamanya” (Riwayat Ibn Majah). Dalam
hadis lain, kecantikan dan kekayaan adalah sebahagian daripada empat faktor
yang perlu diambil kira selain agama dan keturunan dalam memilih pasangan
hidup. Namun faktor agamalah yang lebih utama dalam perkahwinan kerana
kebahagiaan hakiki mampu dikecap dalam realiti hidup berkeluarga. In sejajar
dengan maqasid atau matlamat perkahwinan iaitu untuk mencapai kerahmatan dan keberkatan ALLAH sebagaimana
terungkap dalam Surah Ar-Rum ayat 21.
Kesedaran bahawa perkahwinan itu anugerah ALLAH akan menumbuhkan pula rasa
keterikatan dengan hukum dan nilai ketuhanan. Perkahwinan yang didirikan dengan
cara yang halal berteraskan aturan agama pasti akan membawa barakah atau keberkatan. Ulama mendefinisikan
barakah sebagai nikmat ALLAH yang dikurniakan dalam dua bentuk. Pertama
as-Sa’adah iaitu nilai kebahagiaan hakiki yang mampu menatijahkan ketenteraman
jiwa, keharmonian rumah tangga dan sikap
bekerjasama hingga tersemai rasa kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan
(rahmah) antara suami isteri.
Kedua ialah az-Ziadah iaitu penambahan nikmat berterusan oleh ALLAH,
hinggakan tidak pernah timbul perasaan tidak cukup atas segala rezeki pemberian
ALLAH kepadanya. Barakah adalah suatu nilai yang dapat mendisiplinkan perilaku
seseorang. Hanya yang halal dan berteraskan norma agama akan membawa barakah,
sedang yang haram atau berlaku curang pada prinsip Islam hanya menempah padah.
Keinginan untuk mengecap barakah ALLAH akan membentuk budaya perkahwinan
yang lebih kudus. Umpamanya dalam isu mas kahwin, seseorang pastilah akan
bersandarkan sunnah Nabawi yang menyebut: “Sesungguhnya sebesar-besar berkat perkahwinan ialah yang
sedikit mas kahwinnya”.
Justeru tidak timbullah polemik kecelaruan nilai yang melingkari budaya
perkahwinan hari ini yang kadangkala melewati batas hukum, akhlak dan tradisi.
Inilah hakikat sebenar falsafah
perkahwinan yang sememangnya menjadi antara matlamat terpenting sebagaimana
digariskan syarak atau disebut sebagai Maqasid
as-Syariah dalam aspek perkahwinan. Perkahwinan yang diberkati akan menjelmakan sebuah keluarga yang sempurna
sekali gus menjana pembentukan masyarakat yang kukuh dan utuh berlandaskan
prinsip dan norma Islam sejat.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan