Oleh : A KADIR JASIN
PETANG semalam, 16 Julai, saya menerima anugerah Tokoh Wartawan Negara
daripada Institut Akhbar Malaysia (AIM). Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan
Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin (Tan Sri).
Dengan izin, saya ingin berkongsi dengan pembaca dan pembahas teks penuh
ucap balas saya di majlis itu dengan harapan ia sedikit sebanyak memberi
manfaat.
Adalah kebiasaan dalam upacara seperti ini bagi hadirIn mengharapkan
penerima menyatakan sesuatu yang mendalam – profound – dan si penerima pula
berasa perlu mempamerkan kehebatannya.
Kalau andaian saya itu tepat dan saudara-saudari mengharapkan sesuatu yang
“profound”, saya mohon maaf. Saya tidak akan menyatakan apa-apa pun yang
mendalam.
Saya sekadar hendak bercerita, mengucapkan syukur kepada Ilahi dan terima
kasih kepada begitu banyak orang dan pihak yang menolong meletakkan saya di
mana saya berada hari ini, bersama nama-nama besar dunia kewartawanan Malaysia
– A Samad Ismail, Lee Siew Yee, Ishak Haji Muhammad, Mohd Fuad Stephans, Melan
Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin dan Liew Chen Chuan. Berada di
kalangan mereka, yang sesetengahnya adalah guru, ketua dan mentor saya, adalah
penghormatan yang sangat mencabar.
Mula-mula sekali saya ucapkan terima kasih kepada Siti Sarah, anak tok panglima yang cantik jelita. Kerana kerinduan kepadanyalah, berkesudahan dengan saya menjadi seorang pemberita. Kepada jiwa remaja saya, dialah gadis Melayu paling jelita. Kerana kejelitaan dan ketinggian pangkalan sosialnya, maka rindu saya kepadanya kelu, tidak terucapkan. Sah, sampai hari ini pun dia tidak tahu tentang rindu dan berahi saya kepadanya.
Pada suatu senja, pada bulan Mei tahun 1969, ketika mengayuh basikal lima
kilometer pulang ke rumah setelah mencuri pandang Siti Sarah menyapu sampah di
halaman rumahnya, sepupu merangkap teman akrab saya, Nawawi memberitahu
mengenai iklan jawatan wartawan oleh Bernama dalam akhbar Utusan Malaysia.
Mungkin itulah tuah Siti Sarah. Saya memohon dan memperoleh jawatan pemberita
percubaan. Tepat sebulan lalu, pada 16 Jun, gelaplah 43 tahun saya menjadi
wartawan.
Cinta lara saya terhadap Siti Sarah kekal bisu sebagai legasi jiwa remaja
yang sarat dengan asmara. Terima kasih Siti Sarah, di mana pun anda berada.
Dan, kepada Allahyarham ayah saya, yang kalau tidak kerana kata dua dan
aspirasinya, saya mungkin meneruskan cita-cita zaman kanak-kanak untuk menjadi
penjerat burung yang terhebat di kampung saya, sehebat datuk saya. Kata ayah
(dengan izin): “Hang mengaji pandai-pandai atau jadi macam aku ikut pungkur
kerbau.”
Ayah lulus darjah empat sekolah rumi
dan empat tahun sekolah pondok, menjadi pesawah, peniaga kecil, anggota Home
Guard and politikus kampung. Tetapi dia seorang Melayu yang intelektual yang
mendahului zaman serta tempat
mastautinnya.
Dia memperkenalkan saya kepada Gamal Abdel Nasir, Soekarno, Dr Muhamed
Hatta, Kwame Nkrumah, Jomo Kenyatta, Fidel Castro, Ho Chi Minh dan Marshall
Tito dan kepada hikayat erotik Seribu Satu Malam yang saya curi baca. Dia juga,
dengan izin, seorang “buffalo whisperer” - pembisik kerbau - yang hebat. Dia
boleh memerintah kerbau yang membantunya di bendang untuk berjalan, berhenti,
pusing kanan dan kiri. Terima kasih ayah, moga-moga rohmu sentiasa dirahmati.
Kepada emak yang tidak kenal abc dan alif ba ta. Wanita kampung yang buta
huruf inilah yang melahirkan dan membesarkan lapan orang anak dalam suasana
yang serba kekurangan. Wanita yang masih mengusap rambut saya dan mencium saya
seolah-olah saya tidak pernah dewasa. Terima kasih emak. Moga-moga ALLAH
panjangkan usiamu.
Dalam suasana dunia baru tanpa sempadan di mana ramai ibu bapa lebih berupa
“pembuat dan pengeluar” daripada pendidik, mempunyai ibu bapa yang peka dan
peduli adalah rahmat yang sangat besar.
Kerana itu jugalah dalam penulisan saya, saya kerap menyentuh tentang peri
perlunya amalan keibubapaan yang sempurna dan unggul.
Saya juga, seperti banyak saudara saudari di sini, tidak akan berada di mana kita berada kalau tidak kerana guru-guru kita yang peduli, komited dan
penuh pengorbanan seperti Allahyarham Cikgu Datuk Shaari Abu Bakar, guru besar
saya di Sekolah Melayu Pendang pada tahun 50-an yang telah saya ceritakan
berulang kali.
Dialah guru dan dialah bapa pengganti (surrogate father) pendidikan saya.
Saya telah menceritakan bagaimana pada suatu hari dia menyatakan yang dia akan
membawa saya menduduki satu peperiksaan di Alor Setar. Dengan kereta Morris
Minornya, dia membawa 5 orang murid darjah 4 untuk menduduki peperiksaan
Special Malay Class Entrance Examination.
Kerana tidak tahu hujung pangkal saya gagal. Pada tahun berikutnya, beliau
membawa saya sekali lagi untuk menduduki peperiksaan yang sama. Kali ini saya
berjaya. Maka bermulalah pendidikan aliran Inggeris saya.
Cikgu Shaari telah lama kembali ke rahmatullah. Tetapi bersama kita hari
ini ada seorang lagi guru seperti itu yang mengajar saya bahasa dan sastera
Melayu dan lebih daripada itu, mengenai kesederhanaan dan dedikasi. Terima
kasih Cikgu Datuk Wan Shamsuddin Wan Mohd Yusof, Tokoh Guru Kedah, Tokoh Guru
Kebangsaan dan Tokoh Maal Hijrah Kedah.
Banyak lagi orang seperti itu dalam hidup saya - daripada gadis-gadis
jelita yang buat mereka saya tuliskan puisi dan seloka cinta kepada orang
politik yang mengajar saya bahawa kebenaran (truth) tidak semestinya fakta
tetapi apa yang umum percaya dan Dugalia Huso, mangsa pembersihan etnik orang
Serbia di Bosnia Herzegovina Serbia yang diseksa semata-mata kerana dilahirkan
tidak sempurna.
Kepada Allahyarham Tun Ghazali Shafie aka King Ghaz yang menengking saya di
hadapan ratusan orang besar di Lapangan Antarabangsa Subang pada 1981. Akibat
tengkingan itu saya mendalami hal-hal berkaitan perang saraf dan dasar luar
Malaysia.
Saya bertuah kerana perjalanan kewartawanan saya telah mencakupi zaman
semua Perdana Menteri Malaysia – bermula dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putera, anak raja yang jiwanya bersama rakyat jelata. Tunku yang tidak
berpura-pura tentang dirinya dan tidak membezakan antara seorang wartawan
veteran dengan pemberita muda seperti saya.
Membuat liputan kegiatan Tunku pada tahun-tahun akhir pentadbirannya dan
tahun-tahun awal kerjaya saya adalah pengalaman yang menjadi akar tunjang dan
tiang seri karier saya. Pernah suatu ketika dalam lawatan ke Langkawi, wartawan-wartawan
kanan meminta ulasan Tunku mengenai kenyataan Perdana Menteri Singapura, Encik
Lee Kuan Yew. Tunku cuma menjawab dengan dua patah perkataan yang tidak sedap
pada pendengaran.
Saya tidak melaporkannya. Sebaliknya saya menulis mengenai rancangan Tunku
memajukan Langkawi menjadi destinasi pelancongan. Keesokan harinya saya
terperanjat besar dan bos-bos saya di Kuala Lumpur marah besar kerana saya,
dengan izin telah “missed” satu berita yang besar di mana Tunku dilaporkan
telah mengecam hebat Encik Lee.
Saya bergegas ke pejabat Utusan Melayu di Alor Setar dan bertanya wartawan
“eccentricnya”, Pak Mansor Tobeng bilakah Tunku menyatakan hal seperti yang
dilaporkan oleh Utusan Melayu, Straits Times dan Straits Echo itu?
Pak Mansor menjawab, dengan Tunku kita boleh membuat interpretasi
kenyataannya asalkan telahan kita itu tepat dan positif. Peristiwa itu
memperkenalkan saya kepada “interpretative reporting” secara literal dan kepada
keistimewaan – privilege - yang dinikmati oleh wartawan.
Seperkara lagi yang saya pelajari mengenai Tunku adalah masa terbaik
mendapatkan maklumat dan ulasan daripada beliau adalah selepas beliau menang
golf atau selepas tidur sebentar selepas makan tengah hari.
Sekali pernah Tunku memberikan saya
interview eksklusif mengenai perjanjian pertahanan lima negara yang membabitkan
Malaysia, Singapura, Britain, Australia dan New Zealand. Interview ini
berlangsung di bawah sayap kapal terbang di Lapangan Terbang Bayan Lepas, Pulau
Pinang.
Entahlah, mungkin saya nostalgia atau zaman sudah berubah dan yang berlalu
itu tidak akan kembali lagi, tetapi pada awal-awal kemerdekaan tanah air kita
sehingga beberapa dekad selepas itu, wartawan – tua dan muda – mudah berjumpa
untuk bertanya dan mencari berita daripada pemimpin segenap lapisan sehinggalah
Perdana Menteri.
Walaupun ancaman komunis bersenjata masih berlaku, Perdana Menteri awal
seperti Tunku dan Tun Abdul Razak seolah-olah tidak mempedulikan keselamatan
peribadi mereka.
Ke mana pun mereka pergi, mereka dikelilingi rakyat. Polis dan tentera
berada jauh, sekadar melihat dan mengawasi. Tidak wujud pada waktu itu istilah
turun padang kerana pemimpin yang dipilih rakyat sentiasa berada di padang,
sawah dan bendang, kebun dan ladang bersama rakyat jelata yang memilih mereka.
Kata pujangga, masa berlalu suasana berubah. Hari ini, sama ada kerana
kesilapan menggunakan bahasa atau kecetekan pemikiran, kita setiap hari membaca
tentang pemimpin dan pembesar turun ke padang seolah-olah wujud kekangan dan
pemisahan di antara yang dipilih dan yang memilih.
Hari ini, wartawan tidak lagi perlu berkejar ke hulu-hilir berebut-rebut
mencari telefon awam, meminjam telefon balai polis dan kedai kopi cina untuk
menghantar berita.
Mereka tidak perlu lagi mengetuk kuat mesin taip Royal, Underwood atau
Olivetti. Mereka tidak perlu lagi belajar menggunakan teleprinter dan membaca
pita berlubang (perforated tape). Mereka tidak perlu lagi mencari pejabat
Western Union di Wall Street, memberi wang saku kepada pengendali mesin
teleprinter di Kantor Pos, Jalan Jeneral Sudirman di Jakarta atau membawa kad
kredit International Telecommunication Union (ITU). Segala-galanya ada di
hujung jari.
Mungkin kerana itu jugalah kreativiti seperti yang saya ketahui pada zaman
saya dan diajarkan di kelas-kelas kewartawanan, mula menjadi sesuatu yang asing
bagi banyak pengamal media.
Pembacaan, penyelidikan dan artikulasi telah digantikan oleh jalan pintas
Google dan Yahoo di mana potong dan tampal sudah menjadi amalan. Tidak
hairanlah kalau plagiarisme dan ciplak telah menggantikan kreativiti dan
ketulenan.
Menjadi pemberita mudah. Tulis berita jadilah kita pemberita. Tetapi untuk
menjadi wartawan yang unggul dan berguna kepada masyarakat, lebih sukar daripada
itu. Sedikit sebanyak ia memerlukan ketekunan, keberanian dan pengorbanan. Ia
memerlukan kecintaan kepada ilmu dan keinginan untuk berkongsi idea dengan
khalayak.
Wartawan, hatta betapa baik dan mesra wataknya tidak mempunyai kawan.
Kerana kawan boleh menjadi lawan dengan sebaris tulisan atau seminit ucapan.
Wartawan hanya mempunyai kenalan.
Tetapi sekiranya kenalan boleh menjadi sahabat yang abadi, maka terbuktilah
bahawa masyarakat sudah boleh menerima kritikan dan mengiktiraf peranan media
sebagai pelapor, pengajar dan penghibur. Itulah suasana unggul yang saya rasa
yang perlu diwujudkan iaitu wartawan bebas membuat laporan dan ulasan tanpa
khalayak berasa bahawa ada agenda di sebaliknya.
Untuk menyemarakkan suasana yang unggul itu, wartawan haruslah lebih gigih,
lebih bersedia belajar, lebih berani menyatakan pandangan dan tidak terlalu
akrab dengan kelompok-kelompok kuasa sehingga mereka menjadi terikat dan
terhutang budi, dan kerana itu tidak dapat lagi berkarya dengan bebas dan
terbuka.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan