Oleh : Fauziah Arof
MACAM-MACAM reaksi daripada pelbagai pihak apabila Kementerian Pelajaran
mengambil langkah merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang
membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun
depan.
Bagi pelajar-pelajar , tentunya menganggap langkah ini sebagai suatu
kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan ditunggu-tunggu manakala golongan ibu bapa
ada yang merasa lega kerana boleh mengikuti perkembangan anak mereka di sekolah
dan pada masa sama tidak kurang ramai juga bimbang dengan kesannya kepada
anak-anak apabila membawa alat komunikasi itu ke sekolah.
Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut. Yang keduanya, apabila
berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu.
Draf peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka selari
dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar,
tambahan sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa kali meminta kementerian
agar membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi membolehkan mereka
mengawasi pergerakan anak mereka.
Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah.
Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya
selepas waktu sekolah. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin
kerana lambat keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih
dahulu. Tidak kurang juga yang nakal dan suka berpeleseran selepas waktu
sekolah.
Saya pernah diminta oleh anak saya yang bersekolah rendah menghantar
kawannya pulang ke rumah kerana kawannya itu terlepas bas. Ini disebabkan semua
murid di dalam kelasnya dihukum balik lewat sedikit setelah gagal menyiapkan
kerja rumah yang diberi. Mujur saya tidak bekerja ketika itu.
Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah tidak memerlukan anak saya
untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya itu yang menangis kerana
panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya di tempat kerja yang dia
terlepas bas dan saya akan menghantarnya.
Saya merasa gusar, rasa marah pun ada. Kenapalah cikgu boleh membuat
hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah.
Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas bas? Jika dibiar pelajar
ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang di depan sekolah dalam
suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah pulang, kita bimbang ada pihak
lain yang tidak bertanggungjawab pula menawarkan khidmat untuk menghantar
pelajar ini pulang ke rumah.
Dalam situasi seperti ini telefon bimbit amat diperlukan. Memang ada
telefon awam disediakan di sekolah tetapi tidak semua diselenggara dengan baik,
lama dibiarkan rosak dan tidak banyak pula kemudahan itu. Dalam pada itu,
jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah terutamanya di peringkat rendah yang
tidak tahu menggunakan telefon awam.
Tetapi dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut akan
disalahguna pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar khidmat pesanan
ringkas (SMS) sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari Internet
pada waktu sekolah, mengemas kini status di Facebook, twitter, merakamkan
perbuatan kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.
Pada masa sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran mengawal
pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di sekolah tetapi
terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu.
Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar terbabit
menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan
bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya.
Selain itu, pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan iPad, mula
merengek meminta ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana melihat kawan-kawan
memilikinya dan membawa ke sekolah. Yang lagi haru, mereka mahu yang lebih
canggih daripada kawan-kawan dengan niat berlawan-lawan, telefon siapa yang
lebih up to date.
Saya tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan
kementerian dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah pastinya
draf yang sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan yang tidak baik
ini.
Kita mahu tahu hadnya, bila waktu telefon bimbit ini boleh digunakan dan
bagaimana pihak sekolah dapat mengawal penggunaannya. Pelaksanaan
peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan perlu dipatuhi. Sedangkan
peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah membawa telefon bimbit, ramai
juga yang melanggarnya dengan membawanya secara sorok-sorok.
Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara tegas, tidak
memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk mematuhi
peraturan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan