Oleh IZRA ABD RAHMAN
PUTRAJAYA : Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneruskan usaha bagi
menggalakkan dan memupuk minat pelajar-pelajar lelaki menyambung pengajian di
peringkat universiti.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana, seperti
tahun-tahun terdahulu, calon perempuan tetap mendominasi kemasukan pelajar ke
institusi pengajian tinggi awam (IPTA) termasuklah pengambilan sesi baru ini.
"Tahun ini bilangan calon perempuan yang ditawarkan tempat melebihi
calon lelaki dengan jumlah seramai 25,372 orang berbanding calon lelaki hanya
13,177 orang.
"Ini bermakna usaha berterusan untuk menimbulkan minat dan
menggalakkan pelajar lelaki menyambung pengajian ke universiti khususnya perlu
dilakukan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan anugerah
kecemerlangan kepada bakal mahasiswa di Majlis Impianku Ke Menara Gading, dekat
sini, Selasa.
Mohamed Khaled berkata kerajaan perlu meneruskan usaha ini agar proses
pembangunan modal insan dalam negara dapat dilaksanakan secara seimbang.
"Usaha kita bukan dengan cara kurangkan kemasukan pelajar perempuan
dan bawa masuk pelajar lelaki.
"Kita kekalkan kemasukan calon perempuan tetapi teruskan usaha untuk
menjadikan jumlah pelajar lelaki seimbang dengan wanita," jelasnya.
Menurut Mohamed Khaled, kaedah terbaik mengatasi situasi ini ialah dengan
mengkaji sistem pengajian di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Kaedah itu katanya mampu menangani masalah keciciran sekali gus dapat
membuka ruang dan peluang kepada pelajar lelaki.
"Kita kena faham bagaimana lelaki (pelajar) berfikir...mungkin mereka
tak sesuai dengan pendidikan berorientasikan peperiksaan.
"Mungkin mereka lebih cenderung kepada bidang penerokaan dan bidang
kreatif," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata usaha-usaha yang dilakukan kerajaan
ini menunjukan kerajaan amat serius dalam soal akses pendidikan tinggi kepada
rakyat.
Beliau menjelaskan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa, keturunan,
negeri mempunyai akses untuk pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengakui penawaran tempat di
universiti pada tahun ini sedikit berkurang berbanding tahun lalu.
"Tempat terhad dan persaingan sengit...itu kita tak nafikan,"
tegasnya.
Perkara ini berlaku atas beberapa faktor termasuklah autonomi yang
diberikan kepada Universiti Penyelidikan (RU) mengenai pengurusan kemasukan
pelajar secara independen dan penambahan jumlah pelajar peringkat sarjana dan
doktor falsafah.
Pada majlis itu, seramai 48 bakal mahasiswa daripada pelbagai latar
belakang diraikan oleh KPT.
Mereka termasuklah pelajar cemerlang daripada golongan orang kelainan upaya
(OKU), anak peneroka Felda, Orang Asli, atlet, bumiputera Sabah dan Sarawak
serta pelajar kembar.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan