KUALA TERENGGANU : Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) akan meningkatkan pemantauan terhadap kesalahan rasuah
dalam industri pembinaan di negara ini, terutama terhadap pelobi yang
berselindung di sebalik pelbagai nama seperti konsultan atau orang tengah.
Walaupun mengikut rekod SPRM, gejala rasuah akibat pelobi
ini semakin berkurangan sejak kerajaan memperkenalkan sistem e-bidding, namun
masih ada ruang untuk dibaiki bagi memastikan kelancaran sesebuah projek yang
berkualiti dan berimpak tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed
berkata, dalam konteksindustri pembinaan, sistem e-bidding yang diguna pakai di
kementerian dan jabatan kerajaan berjaya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1
juta daripada ketirisan akibat rasuah.
Katanya, melalui sistem ini, urusan berkaitan kontrak dan
tender berjalan secara telus dengan kontraktor dan pembekal memberi sebut harga
melalui borang yang disediakan dan tiada perjumpaan langsung berlaku antara
mana-mana pihak yang berkepentingan.
"Fungsi orang tengah itu sendiri memang penting bagi
sesetengah pembida, namun tidak boleh terlalu jauh menyimpang daripada peranan
asal mereka,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pembinaan
Menjana Pembangunan Integriti di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini,
Isnin.
Seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan
Malaysia (CIDB) dan SPRM itu dihadiri 220 kontraktor dari seluruh Terengganu,
bertujuan memberi penerangan terhadap risiko rasuah dalam industri pembinaan
negara.
Selain itu, Abu Kassim berkata, kebanyakan jabatan dan
agensi kerajaan yang terbabit dengan penguatkuasaan undang-undang memang
berisiko tinggi untuk berlakunya gejala rasuah di kalangan penjawat awam
terbabit.
Namun, katanya, Akta SPRM 2009 yang diwujudkan berjaya
mengekang gejala rasuah daripada berleluasa dibandingkan ketika zaman 1980-an
dan 1990-an dahulu dan usaha penambahbaikan sentiasa ditingkatkan dari semasa
ke semasa. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan