Oleh : Rejal Arbee
Suatu dasar menyeluruh perlu
digubal untuk menangani masalah etnik Rohingya di Myanmar. Selepas hampir dua
bulan mereka ditindas dan dizalimi sehingga banyak nyawa terkorban dan harta
benda musnah serta ribuan mangsa meninggalkan kampung halaman, barulah Pertubuhan
Persidangan Islam (OIC) bermesyuarat dan mengambil keputusan mendesak Kerajaan
Myanmar menangani masalah itu dengan saksama.
OIC akhirnya memutus untuk
menghantar misi mendapatkan fakta mengenai kedudukan rakyat Rohingya di
Rakhine, sambil menyatakan kekesalan terhadap masyarakat antarabangsa yang
tidak menghiraukan tindakan zalim sejak Jun lalu. Tetapi dalam usaha mencari
penyelesaian terhadap apa yang berterusan berlaku di Rakhine, Kerajaan Malaysia
sendiri harus bertindak dengan lebih prihatin untuk mengatasi masalah rakyat
Rohingya yang berada di negara ini sejak 80-an lagi.
Menurut Pengerusi Pusat
Penerangan Rohingya di Malaysia, Yahya Ahmad, jumlah mereka kini sudah mencecah
hampir 30,000 orang iaitu 19,000 yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) Malaysia manakala
lebih 10,000 lagi tidak berdaftar.
Malangnya hingga sekarang
kedudukan mereka di sini masih terumbang-ambing. Yang berdaftar dengan UNHCR
tidak dibenarkan bekerja walaupun mereka tidak mendapat bantuan untuk menyara
hidup dan anak mereka juga tidak boleh bersekolah. Yang tidak berdaftar
menghadapi masalah lebih teruk lagi kerana dianggap sebagai pendatang haram
tanpa mempunyai sebarang hak. Nampaknya diskriminasi yang mereka hadapi di
Myanmar berterusan di sini dengan restu UNHCR dan mungkin juga pihak tertentu
di sini.
Sudah beranak pinak di sini
Malaysia tidak harus memejamkan
matanya terhadap masalah mereka yang ramai sudah beranak pinak di sini. Apakah
kita mahu berterusan membutakan mata untuk melakukan apa yang perlu demi
mengatasi keadaan yang tidak harus dibenarkan berterusan begini?
Memang benar ada usaha oleh pihak
Imigresen beberapa tahun lalu dengan mengeluarkan apa yang dinamakan kad
sementara IMM13 untuk cuba mengatasi persoalan ini tetapi tidak dilaksanakan
dengan serius hingga pihak tertentu boleh mengambil kesempatan membuat duit
daripada bangsa malang itu.
Kerajaan khususnya Kementerian
Dalam Negeri harus sedar masalah itu tidak akan selesai selagi tidak ada suatu
dasar menyeluruh menanganinya. Inilah yang tidak kelihatan hingga sekarang. Ia
memberikan gambaran pihak berkuasa di sini bersikap seperti burung unta
membenamkan kepalanya dalam pasir dan oleh kerana tidak dapat melihat sesuatu,
menganggap masalah tidak wujud.
Tiada dasar menyeluruh
Kita sebenarnya jangan pandai
mengecam Myanmar saja kerana berterusan menindas rakyat keturunan Rohingya
selagi kita sendiri tidak bermaya untuk menekan Myanmar menerima Rohingya
sebagai rakyat sah atau berusaha mencari jalan menempatkan mereka ke negara
ketiga secepat mungkin. Malangnya selepas mereka berada di sini lebih 30 tahun
dan terus merempat, masih tiada satu dasar menyeluruh untuk menangani masalah
Rohingya.
Apakah selepas sekian lama mereka
masih perlu menunggu untuk ditempatkan ke negara ketiga? Kiranya UNHCR tandus
dengan tindakan untuk dapat mengatasi kesulitan etnik Rohingya ini apakah kita
pun berterusan membiarkan keadaan ini berlarutan?
Diberitakan negara ketiga amat
liat menerima pelarian Rohingya ini hanya kerana mereka Islam. Dikatakan hingga
sekarang hanya Romania sanggup menerima mereka, itu pun hanya 40 orang setahun.
Negara lain seperti Australia enggan menerima mereka seperti juga Amerika Syarikat.
Kebanyakan etnik Rohingya yang
berada di sini tidak lagi mempunyai harapan ditempatkan semula di negara
ketiga. Ramai pula sudah berumah tangga dan beranak pinak di sini tetapi
berterusan tidak dibenarkan bekerja dan anak mereka pula tidak dibenarkan
bersekolah di sekolah kebangsaan.
Mereka terpaksa mengemis hanya
untuk menyara hidup dengan anak berkeliaran mengunjungi rumah ke rumah menjual
paparan ayat al-Quran dan surah Yasin. Apakah ini yang kita restui?
Persoalannya sampai bila kita
mahu memejamkan mata terhadap kesulitan yang berterusan dihadapi Rohingya ini?
Apakah selepas masalah ini berlarutan sehingga lebih 30 tahun, kita masih
ketandusan untuk mengadakan satu dasar menyeluruh yang boleh mengatasi masalah
ini dengan berkesannya?
Penulis ialah Felo Kanan di
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan