Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE
DALAM kita menyambut dan
memperingati Hari Kemerdekaan yang ke-55 esok, adalah amat wajar bagi semua
rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memberi tumpuan dan perhatian terhadap
pengukuhan patriotisme dan perpaduan.
Patriotisme dan perpaduan paling
penting dalam proses pembinaan negara selain daripada isu ekonomi dan
pembangunan sosial. Setiap tahun dalam meraikan Hari Kemerdekaan, rakyat
Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik melalui pelbagai cara
dan pendekatan.
Menyemai kebanggaan pada bendera
Jalur Gemilang merupakan satu ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat
Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang
kemegahan dan patriotisme kepada negara.
Salah satu cara menjadikan
generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme adalah dengan
mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan kempen 'Cintai
Bendera Kita' di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda mustahak bagi
memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan.
Bagi generasi warga emas, hari
kemerdekaan membawa ingatan kegigihan dan perjuangan menentang dan menghapuskan
cengkaman pihak penjajah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bebas dan
berdaulat. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya mereka yang lahir
selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan tidak lama dulu
menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik,
mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.
Bagi mereka hari kemerdekaan
hanya merupakan satu lagi cuti am - di mana mereka berpeluang bersantai dan
beriadah. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar memahami maksud hari
kemerdekaan ini. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan
dan menjadikan mereka lebih peka dan menghargai serta menghayati erti sebenar
hari kemerdekaan.
Memastikan anak-anak kita
menghormati dan mencintai bendera negara adalah penting demi untuk membina
generasi rakyat Malaysia akan datang yang berteraskan semangat utuh patriotik
dan kebanggaan nasional. Pada masa sama, saya juga perlu menegaskan mengibarkan
Jalur Gemilang bukanlah hanya cara untuk meluahkan semangat patriotik seseorang.
Patriotisme datang dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bersuara demi
mempertahankan negara di dalam konteks kepentingan negara, ia adalah satu
tindakan yang patriotik. Apabila kita tidak melakukan perbuatan vandalisme ke
atas harta benda awam atau membuang sampah di merata tempat ia boleh dilihat
sebagai tindakan patriotik.
Rakyat Malaysia boleh mempamerkan
semangat patriotik melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan demi kepentingan
dan pembangunan negara. Menjadi Patriotik juga bermakna menyumbang pandangan
dalam bidang-bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.
Walaupun hubungan antara kaum di
negara ini memuaskan secara umumnya, kita tidak seharusnya mengambil mudah soal
hubungan antara kaum dan keharmonian beragama. Perpaduan merupakan anugerah
yang tidak ternilai dan simbol kepada kemanusiaan sejagat. Ia adalah asas
kepada suatu perhubungan, kekeluargaan, masyarakat dan bangsa. Ia juga adalah
ikatan yang erat dalam jati diri rakyat Malaysia.
Perpaduan seharusnya bermula dari
pemikiran, emosi dan kelakuan seorang individu dan ini akan diterjemahkan
melalui layanan dan khidmat yang diberikan kepada orang lain.
Kebanyakan orang mengambil mudah
soal perpaduan. Perkembangan ini tidak sihat untuk sebuah negara yang berbilang
kaum seperti Malaysia. Usaha berterusan harus digalas oleh seluruh rakyat demi
memperkukuhkan perpaduan.
Marilah kita seluruh rakyat
Malaysia melibatkan diri dalam membina perpaduan nasional. Kita harus bercakap
dalam satu suara yang mewakili suara setiap kaum di Malaysia. Kita semua
menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara ini.
Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan