Jumaat, 31 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Merdekakah umat Islam hari ini?



WARTAWAN SINAR HARIAN

MERDEKA, merdeka, merdeka tiga kali dilaungkan, ungkapan itu benar-benar menaikkan semangat masyarakat majmuk negara ini. 31 Ogos 1957, tarikh  keramat pembebasan Malaysia setelah 153 tahun dijajah kuasa Barat. Sering kali dibincangkan mengenai pengisian kemerdekaan bagi membangunkan warga negara yang merdeka.

Ketua (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersilan) Pusat iLearn, Bahagian Hal Ehwal Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Mohd Nor Mamat menyifatkan kedua-duanya adalah elemen yang wajib untuk diakui bahawa kita, warga dan negara yang benar-benar merdeka. Andai negara merdeka, tetapi warganya tidak merdeka ataupun sebaliknya, masih membuktikan kita tidak merdeka sepenuhnya.

Kemerdekaan holistik

“Saya melihat erti kemerdekaan dari dua sudut pandangan; kemerdekaan fizikal ataupun kuasa menerajui negara dan kemerdekaan mental ataupun jiwa dan minda. Boleh kita fahami bahawa negara sememangnya sudah merdeka. Pada sudut perundangan dan dokumentasi, negara kita bukan lagi dijajah oleh kuasa luar.

“Pada sudut kedua pula, kemerdekaan dinilai pada individu warga negara, sama ada memiliki jiwa dan minda yang merdeka ataupun tidak. Jiwa dan minda kita masih terjajah dengan pengaruh luar yang bukannya identiti jati diri sebenar, umpamanya jati diri Melayu, jati diri Islam dan sebagainya. Kalau memperkatakan tentang kemerdekaan yang sebenar secara holistik, ia perlulah merdeka pada kedua-dua sudut berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dengan mendapat kemerdekaan negara semata-mata, tetapi sekiranya warganya belum merdeka jiwa dan minda daripada penjajahan bererti masih belum merdeka sepenuhnya. Malah inilah kesan yang sememangnya dirancang oleh penjajah agar tanah jajahan mereka yang diberi kemerdekaan tidak menjejaskan kuasa jajahan sepenuhnya.

Inilah yang disedari oleh seorang pemikir dan ilmuwan Islam yang terkemuka di bumi India tatkala India mendapat kemerdekaan dan berlaku perpecahan negara kepada India dan Pakistan, Abu A`la al-Maududi, beliau menyatakan:

“Telah pergi orang Inggeris yang berkulit merah (putih) namun mereka meninggalkan Inggeris berkulit sawo matang”.

Maksudnya meskipun penjajah telah pergi, namun bakal yang menggantikan mereka masih berfikiran seperti penjajah dalam menguruskan negara. Justeru, kiblat dan panduan masih ke Barat. Lantaran itu, laungan merdeka tidak wajar hanya menjadi retorik kosong. Ia perlu dilaungkan dengan semangat, jiwa dan minda yang merdeka daripada sebarang idea dan cara hidup penjajah.

Usah terleka dengan arus dunia

Tahun ini genap 55 tahun Malaysia merdeka. Sepanjat kesyukuran kepada Pencipta atas keizinan-Nya membebaskan kita daripada belenggu penjajahan. Namun, sayang seribu kali sayang umat Islam kini hanyut ditelan arus kemodenan sehingga mengabaikan akidah, syariat, ekonomi, dan sahsiah yang bertunjangkan Islam.

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Taufik Ismail berpendapat, saban tahun kita mengucapkan ungkapan merdeka, sana sini terhias indah Jalur Gemilang. Gah bukan!. Tetapi jika diteliti ke dasarnya makna pembebasan langsung tidak dihayati.

“Masyarakat kita semakin leka, isu akidah dan kegamaan dipandang sebelah mata. Lihatlah sahaja ajaran sesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Itu yang dipaparkan media. Yang kita tidak tahu berapa banyak. Sungguh menyedihkan.

“Syariat juga jangan dilupakan. Undang-undang Islam yang digubal ini perlu dituruti dalam mana-mana hal sekalipun. Kita perlu beralih daripada ideologi yang tidak betul kepada ideologi berlandaskan agama ALLAH SWT,” katanya kepada Rehal.

Menurutnya, usah singkatkan maksud kemerdekaan, merdeka mempunyai banyak maksud antaranya kita membebaskan belenggu kehidupan daripada gaya hidup yang langsung tidak bersesuaian dengan landasan agama kepada cara hidup tenteram dengan pengamalan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Menyentuh mengenai bidang ekonomi pula, umat Islam pasti bangga apabila banyaknya bank yang telah menukarkan sistem perbankan secara konvensional kepada perbankan Islam dan keadaan itu benar-benar mendatangkan kesan baik.

Remaja kini semakin liar?

Betapa runtuh hati ini melihat ‘meriahnya’ gejala sosial dalam kalangan remaja hari ini. Sikap mereka yang menyambut hari kemerdekaan dengan berpesta dan berzina sehingga melahirkan anak tidak sah taraf seolah-olah langsung tidak takutkan ALLAH SWT.

“Teruja benar cara sambutan mereka. Perasaan untuk membuat perkara tidak senonoh membuak-buak bagai air sedang mendidih. Inikah dia pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara?. Sedih!. Inilah gambaran merdeka daripada kaca mata remaja kita.

“Apa guna sambut merdeka kalau ada remaja yang berseronok melakukan maksiat, si lelaki berusaha mengajak si perempuan keluar, yang perempuan pula berhias dengan berpakaian menjolok mata. Daripada situasi itu, bagaimanakah caranya untuk elak zina?,” tegasnya lagi.

Usah berpesta sakan, sepatutnya menjelang hari pembebasan, kita hendaklah mengucapkan kata syukur dengan mengadakan solat hajat beramai dan melakukan perkara-perkara baik. Hari yang baik perlu diisi dengan pengisian yang mahmudah.

“Sorotilah makna merdeka sepenuhnya, hiasilah tarikh itu dengan perbuatan maaruf nahi munkar,” katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan