Rabu, 8 Ogos 2012

ISU KEPENGGUNAAN : Ramadan mencanai budaya berbelanja


Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Manusia secara fitrahnya dijadikan ALLAH sebagai makhluk yang berkecenderungan untuk melakukan perbuatan melampaui batas. Apatah lagi sekiranya nafsu dan akal manusia tidak terbimbing dengan nilai dan prinsip Islam sejati.

Justeru kedatangan Ramadan merupakan satu rahmat yang besar bagi umat kembali bermuhasabah dan meningkatkan kualiti keimanan serta martabat keinsanan sebagaimana aturan syariat. Ramadan bukan sahaja bulan menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.

Dalam kata lain, Ramadan bukan sahaja merupakan madrasah pengukuhan hubungan antara manusia dengan Penciptanya tetapi turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia. Tempoh sebulan yang penuh barakah di mana syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri.

Namun, ramai juga yang mensia-siakan peluang dan ruang diberikan ALLAH ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan sebagaimana terbudaya dalam diri selama ini. Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah ketika Ramadan ialah budaya berbelanja.

Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah sering kali tersasar daripada landasan sebenar. Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan ‘pesta berbelanja’ tidak kira dari segi makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya.

Bazar-bazar Ramadan juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja. Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutamanya ketika melalui fasa Ramadan 10 hari terakhir. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan ALLAH, termasuk malam Lailatulqadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang Aidilfitri.

Memanglah Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan.

Malah mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian indah semasa hari raya merupakan sebahagian daripada sunah sebagaimana disebut oleh Jabir yang pernah berkata: Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah khusus pada hari raya dan Jumaat.

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja.

Budaya sederhana dalam berbelanja merupakan salah satu ciri Ibadurrahman atau hamba-hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga di akhirat kelak sebagaimana digambarkan ALLAH dalam firman-Nya: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al-Furqan: 67)

Ciri-ciri hamba ALLAH yang diistilahkan sebagai ‘Ibadurrahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja sebagaimana acuan Islam ialah saranan agar umat sentiasa membudaya nilai Qonaah, iaitu salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian ALLAH. Qanaah juga merupakan suatu manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat Qonaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan Baginda setiap kali selesai solat dua rakaat sebagaimana berikut:

“Ya Tuhanku, jadikanlah diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau”

Justeru, amat penting agar umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan bermuhasabah dan latihan dalam berbelanja dan juga bersedekah agar sifat membazir dan bakhil mampu dijernihkan dalam diri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan