Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia
1. Alhamdulillah, segala rasa syukur
dipanjatkan kepada Tuhan yang Maha Berkuasa, lantaran dengan rahmatnya jua,
kita rakyat Malaysia berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat
kali yang ke-55.
Saudara dan saudari,
2. Sudah lebih lima puluh tahun, dengan
berpayungkan piagam asas nasional, yakni Perlembagaan Persekutuan serta
berpandukan ideologi kebangsaan Rukun Negara, Malaysia dan rakyatnya telah
bertatih dan bertapak membangunkan sebuah negara bangsa.
3. Maka, berteraskan muafakat dan kerjasama daripada semua pihak,
hari ini, saya boleh melaporkan kepada rakyat Malaysia bahawa, kemerdekaan yang
telah dicapai lebih lima dekad yang lalu, hasil perjuangan bapa-bapa pengasas
negara kita yang datang daripada pelbagai kaum, kepercayaan dan latarbelakang
ini, akan terus utuh.
4. Begitulah, perpaduan nasional yang
bertunjangkan kepelbagaian akan kekal
menjadi tiang seri kekuatan nasional. Dari sudut kemakmuran nasional pula,
ekonomi negara berkembang mapan dengan usaha sistematik dijalankan
kerajaan bagi memastikan kemakmuran dan
kesejahteraan dapat dirasai oleh semua.
5. Ternyata, kejayaan yang diimpikan Malaysia
bukan hanya kejayaan bersifat material tetapi kejayaan yang bersifat holistik.
Oleh kerana itu, di bawah payung Dasar Transformasi Nasional, prakarsa
transformasi bukan sahaja melibatkan kerajaan melalui GTP dan ekonomi melalui
ETP tetapi juga Transformasi Politik serta Transformasi Kawasan Luar Bandar.
6. Sesungguhnya, langkah berani pihak
kerajaan melaksanakan Program Transformasi Politik bagi mengimbangkan kebebasan
individu dan keselamatan negara telah membugar dan mengakarkan lagi demokrasi
di Malaysia, sebagai satu budaya yang menjadi asas kepada kestabilan nasional.
Saudara dan saudari,
7. Malaysia merupakan bukti dan manifestasi
janji ditepati dan harapan yang dipenuhi. Bagi memahami kebenaran dari
kenyataan di atas, setiap seorang
daripada kita perlu kembali kepada susurgalur sejarah. Hakikatnya pun, kita
mencapai kemerdekaan di tengah-tengah pemberontakan bersenjata Parti Komunis
Malaya dalam suasana di mana survival kita sebagai sebuah negara berbilang
bukan sahaja daripada segi kaum, bahkan juga agama dan bahasa, pernah
disangsikan oleh masyarakat dunia.
8. Terakam dalam kamar peristiwa, selama lima
puluh lima tahun kita berjaya melangkau jangkaan serta telahan yang dibuat
pelbagai pihak termasuk di kalangan warganegara sendiri. Terbukti, ramalan
kononnya apa yang dimenangi bapa-bapa pengasas negara secara aman serta
bijaksana tidak akan mampu dikekalkan apatah lagi ditambahbaik, adalah meleset
sama sekali.
9. Jelasnya, dari satu titik ke satu titik,
kita telah berjaya membawa kebebasan dan keamanan kepada sebuah negara yang
dahulunya terjajah dan terancam. Kita juga telah berjaya mentransformasikan
sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang mana suatu ketika dahulu
lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, dengan bergantung
kepada beberapa komoditi, menjadi sebuah negara dengan ekonomi bersifat pelbagai. Malah, dewasa ini,
berkembang pula sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi berpacu pantas
merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun
2020 kelak. Insya-Allah.
Saudara dan saudari,
10. Sepanjang detik yang berlari, kita telah
menggantikan kebimbangan dengan harapan, kita telah mencipta sebuah negara di
mana yang penting adalah kemahuan dan kesanggupan untuk bekerja keras. Juga, di
mana, anak seorang petani, pekebun kecil, buruh dan nelayan berjaya menjadi
usahawan serta profesional. Pucuk pangkalnya, kita telah mencipta sebuah negara
sehingga anak-anak Malaysia boleh mendambakan masa depan yang lebih baik.
11. Semuanya ini, merupakan nikmat daripada
perancangan penuh teliti dan pelaksanaan amat berkesan oleh pihak Kerajaan yang
telah diberi mandat mentadbir semenjak kemerdekaan diperoleh. Walau apapun,
kejayaan yang dikecapi bukan sepatutnya menjadi alasan untuk kita berpeluk
tubuh, sebaliknya, ia harus menjadi mangkin menuju sinar yang lebih terang
benderang pada hari muka.
12. Oleh itu, dua tahun yang lalu, kita
melancarkan fasa pertama Dasar Transformasi Nasional, iaitu Pelan Transformasi
Kerajaan dengan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara. Tujuh NKRA bagi fasa
pertama tersebut, akan tamat menjelang akhir tahun ini.
13. Sehubungan dengan itu, kerajaan akan
melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan Fasa ke-2
atau GTP 2 yang bakal melonjakkan lagi kemakmuran negara ke peringkat lebih
tinggi.
14. GTP 2 juga akan menyaksikan penglibatan
masyarakat yang lebih meluas sekaligus pembabitan yang lebih bermakna daripada
pertubuhan bukan kerajaan yakni NGO dan sektor korporat.
15. Namun, segala usaha dan prakarsa yang
dilakukan akan hanya tinggal sia-sia jika tidak didakap dan dimanfaatkan oleh
semua segmen masyarakat.
16. Kesimpulannya, sekarang, kita berada pada
satu kala masa yang amat monumental bagi Malaysia. Di sana-sini, rakyat boleh
melihat perubahan ketara bukan sahaja di peringkat individu hatta di peringkat
keluarga dan komuniti.
17. Justeru, marilah kita menjulang citra
Malaysia dengan memenuhi segala janji yang dipateri dan potensi yang dimiliki
demi seluruh warganya. Dari itu, saya ingin sama-sama berpesan, bahawa,
janganlah kita sampai mempunah binasa apa yang telah bersusah payah dipupuk dan
dicipta. Janganlah sesekali pula, diporak-peranda harmoninya watan yang telah
sekian lama terbina. Moga-moga Tuhan memberi perlindungan dan melimpahkan
rahmat-Nya.
Selamat Menyambut Ulang tahun Kemerdekaan Ke-55.
Dirgahayu Malaysiaku. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh
Sumber : http://www.pmo.gov.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan