OLEH : UTHAYA SANKAR SB
KETIKA berucap pada majlis
perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) pada 27 September 2012, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin
menyatakan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia
yang sama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) untuk murid di Sekolah Jenis
Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), bermula
dengan murid kohort Tahun Empat pada 2014.
Kumpulan Sasterawan Kavyan
(Kavyan) yang diasaskan pada 1999 menyokong penuh langkah ini ke arah
memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan
bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum; termasuk di sekolah
beraliran bahasa ibunda.
Kavyan berpendapat bahawa belum
terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK,
SJKT dan SJKC. Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu
dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata
pelajaran Bahasa Malaysia.
Buat masa ini, UPSR bagi mata
pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid
SK, SJKC dan SJKT. Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana
secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan
aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem
pendidikan yang berbeza.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
dilaporkan berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam
kalangan murid SJKC dan SJKT, dijangkakan kelas-kelas peralihan di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara akan dapat dimansuh menjelang 2017.
Kavyan juga sangat mengalu-alukan
dan sangat menyokong pemansuhan kelas peralihan secara sepenuhnya. Pada
pendapat Kavyan, tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu
memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu
mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di
SMK.
Kavyan juga bersetuju dengan
cadangan Menteri Pelajaran iaitu murid-murid
SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi
sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga
lima jam seminggu.
Sejak 1999, Kavyan terlibat dalam
mengendalikan pelbagai acara ke arah memartabatkan Bahasa Malaysia di SK, SJKT
dan SJKC. Berdasarkan pengalaman itu, Kavyan bersedia membantu Kementerian
Pelajaran bagi menjayakan hasrat meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam
kalangan murid-murid pelbagai kaum di SK, SJKC dan SJKT.
Kavyan juga berharap, guru-guru
Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan
untuk memblehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran
(P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa
Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda.
Ke arah itu, Kavyan juga bersedia
mengendalikan latihan berupa program Latihan Dalam Perkhidmatan bagi para guru
terbabit di seluruh negara. Kavyan bersedia berkongsi pengalaman, ilmu dan
panduan menjadikan P&P lebih menarik dan berkesan; khususnya di SKJC dan
SJKT.
Kavyan yang menggunakan slogan
“Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” terdiri daripada sekumpulan penulis dan
peminat sastera Bahasa Malaysia dalam kalangan kaum India. Sejak November 2011,
keahlian Kavyan terbuka kepada masyarakat pelbagai kaum sebagai usaha
mendaulatkan Bahasa Malaysia ke arah pembinaan Bangsa Malaysia menerusi karya
sastera kebangsaan.
Uthaya Sankar SB, Presiden
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan