OLEH : MOHAMAD ABDULLAH
SAMBUTAN Kemerdekaan Ke-55 negara
ini sepatutnya membuka mata kita untuk bersikap lebih matang dalam tindakan.
Tema 'Janji Ditepati' walaupun tidak disenangi sesetengah pihak sewajarnya
menjadi sumber muhasabah diri dalam menilai kematangan diri dan kesediaan kita
untuk bergerak ke hadapan dalam mencapai apa jua yang dicita-citakan.
Muhasabah diri hanya boleh
dilakukan jika kita berupaya keluar dari sikap taksub yang keterlaluan terhadap
banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita. Sikap taksub atau sesetengah
orang menganggap sebagai kepercayaan ekstrem menyebabkan kita gagal membuka
mata hati dalam membuat penilaian sewajarnya.
Dalam soal pendidikan misalnya,
ketaksuban terhadap apa yang dianggap hebat oleh orang lain, menyebabkan kita
gagal membuka mata kepada kejayaan yang kita capai selama ini. Kita hanya
menganggap apa yang kita capai itu hebat, hanya apabila pihak lain mengatakan
yang kita hebat.
Kerana itulah, apabila universiti
kita tidak ditarafkan sebagai antara yang terbaik maka kita menganggap sistem
pendidikan apatah pengajian tinggi kita bukan yang terbaik. Sedangkan hakikatnya
negara kita membangun dalam tempoh 55 tahun ini sebahagian besarnya lahir daripada cerdik pandai kita, sama ada yang
mendapat pendidikan dari dalam mahu pun dari luar negara.
Mereka yang banyak mengkritik
pengajian dan pendidikan kita pun sebenarnya lahir dari sistem pendidikan
negara yang memberi peluang dan ruang yang amat jelas dalam memberikan
kebebasan untuk menerokai segala yang kita ada dalam acuan dan dunia kita
sendiri tanpa mengetepikan dunia luar dan proses globalisasi yang membawa
kepada pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi sekarang ini.
Dalam tempoh 55 tahun ini juga,
banyak pencapaian besar yang hanya boleh diakui jika kita tidak taksub kepada
apa yang kita percayai semata-mata, atau taksub kepada perspektif yang
berteraskan kepada kumpulan atau mazhab yang kita anuti.
Kemerdekaan sebenar adalah
apabila kita berupaya bersikap lebih terbuka, bersedia menerima pandangan orang
lain dan pada masa sama mempertahankan nilai-nilai yang kita miliki dan yakini
sebagai teras pembangunan negara bangsa yang bersifat mandiri dan mempunyai
kedaulatannya yang tersendiri.
Kita patut bersyukur, kerana
dalam tempoh 55 tahun ini, banyak janji yang dilakarkan sejak 1957, kemudiannya
diperbaharui melalui pelbagai dasar utama negara dari Rancangan Malaysia
Pertama membawa kepada Wawasan 2020 dan teras Rukun Negara yang mencari citra
bangsa yang berdaulat dan merdeka, jelas berupaya menjadikan kita satu bangsa
progresif, berbudaya dan memandang jauh ke hadapan.
Walaupun pada asasnya bumiputera
diberikan keutamaan dalam pembangunan negara, namun hakikatnya kaum-kaum lain
tidak pernah diketepikan. Malah, dalam tempoh 55 tahun ini, tidak juga
menunjukkan orang Melayu atau mana-mana bumiputera yang berada pada kedudukan
tertinggi dalam senarai mereka yang terkaya, namun ini tidak pula bermakna yang
terdapat kumpulan tertentu yang disisihkan.
Oleh sedemikian janji-janji yang
diberikan oleh mana-mana pihak yang kerap pula bijak menaburkannya, haruslah
dilihat dengan realistik. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, janji-janji
manis mudah ditaburkan untuk memenangi hati orang ramai, golongan muda dan pihak-pihak
tertentu, namun hakikatnya, apa yang kita capai selama ini tidak harus
dikorbankan hanya kerana mengejar pelangi yang tidak tercapai tangan.
Sikap taksub yang keterlaluan
kerap menutup pandangan mata kita terhadap erti sebenar kejayaan dan pencapaian.
Sikap taksub juga boleh merosakkan pembangunan negara disebabkan oleh sikap
mengikut dan percaya secara buta tuli malah juga akan menjahanamkan satu bangsa
dan mewujudkan penjajahan baru yang lebih berbahaya. Apatah lagi jika pihak
atau individu yang diikut mempunyai kepentingan diri dan didalangi pihak
tertentu yang mempunyai kepentingan.
Kita telah pun melihat banyak
negara yang hancur hanya kerana kesilapan yang dibuat akibat percayakan pihak
tertentu. Walaupun pemimpin negara dijatuhkan disebabkan oleh pelbagai alasan,
namun yang menderita akhirnya ialah rakyat apabila negara menjadi kucar kacir.
Tidak salah untuk membuat teguran
terhadap kelemahan sesuatu sistem, namun teguran yang dibuat biarlah berhemah
dan bersikap objektif tanpa dipengaruhi oleh sesuatu pihak yang mempunyai
kepentingan tertentu. Rakyat dan masyarakat berhak melakukan perubahan dalam
sesuatu sistem dan proses kerja yang ternyata perlu dilakukan penambahbaikan
berterusan.
Tetapi ia tidak wajar dilakukan
atas kepentingan tertentu yang di luar batas agama, moral dan etika yang ada.
Anak-anak muda kita pula tidak mudah dipengaruhi oleh segala yang ideal dan
janji-janji manis yang hanya bermain dengan perasaan dan darah muda yang
sentiasa inginkan perubahan dan sesuatu yang baru dan segar.
Misalnya, apabila terdapat gesaan
mewujudkan proses demokrasi yang lebih bebas atau sistem yang dilakukan lebih
"bersih", ia harus dilihat dengan berhati-hati. Kebebasan keterlaluan
tidak akan menguntungkan sesiapa. Tiada kebebasan hakiki dalam apa jua yang
dilakukan, sebaliknya ia harus terkawal dan tidak mendatangkan kemudaratan
kepada orang lain.
Malah, hakikat sebenar dalam
mana-mana sistem pun, terdapat kelemahan dan kekurangan yang tidak mungkin
bersih sepenuhnya, namun kitalah yang akan menentukan apa yang dianggap bersih
atau tidak. Biar secantik mana pun sesuatu sistem, jika manusia yang
melaksanakannya tidak mempunyai integriti tinggi dan akauntabiliti, maka ia
sukar dilaksanakan.
Proses penambahbaikan dalam apa
jua pun yang mempunyai kepentingan masyarakat dan negara boleh dilakukan tetapi
bukan berasaskan ketaksuban kepada pegangan politik atau untuk pemimpin
tertentu tetapi mestilah berteraskan kebaikan bersama dan kepentingan
masyarakat, orang ramai dan negara.
Seorang pemimpin dihormati kerana
kepimpinannya yang terbukti jelas dan berupaya membawa masyarakat dan negara ke
hadapan menghadapi segala cabaran, bukannya mereka yang hanya bijak
berkata-kata, berani menabur janji dan bercakap berkobar-kobar membakar
semangat dengan segala retorik, tetapi tidak berteraskan kepada realiti, tidak
realistik dan hanya kata-kata manis yang payah diterjemahkan dalam tindakan.
Kerana itu, demi memastikan
kelangsungan masa depan rakyat dan negara, adalah wajar kita memerdekakan diri
daripada segala ketaksuban, hingga menjadikan kita buta walaupun mampu melihat,
pekak walaupun mampu mendengar kerana pada akhirnya sesebuah negara hanya
berupaya mengekalkan kemerdekaannya dengan keupayaan menghadapi segala cabaran
jika mempunyai jati diri, bersatu padu dan rakyat yang berilmu pengetahuan,
bijaksana dalam pertimbangan dan tidak mudah kalah dengan segala hasutan.
PENULIS ialah Timbalan
Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan