BULAN Ogos sudah berlalu.
September pula di penghujungnya. Bulan untuk melihat ke belakang dan
memperingati sejarah negara juga dalam simpanan lipatan memori untuk tahun ini.
Ogos dan September tahun depan
akan dibuka semula sejarah negara dan begitulah setiap kali datang bulan
kemerdekaan.
Tetapi kini masanya wajar untuk
memandang ke hadapan dengan menetapkan azam untuk memperbaiki negara bagi
kesenangan diri, keluarga dan keturunan masa depan.
Tentunya azam yang kuat akan
merintis kepada usaha. Sementara usaha berkesan akan membawa kepada mencapai
impian. Barulah harapan dapat dituai.
Tetapi apakah harapan rakyat
terhadap negara ini? Maka tentulah setiap penduduk di negara ini mengharapkan
kehidupan yang selesa bagi diri, keluarga dan keturunannya.
Untuk menuai harapan, impian
wajar jelas supaya berjaya dicapai. Impian setiap manusia adalah lebih kurang
serupa. Lebih jelas jika dapat digambarkan mengikut peringkat usia.
Bagi mereka yang berada di dalam
kategori warga emas, tentulah mereka mengharapkan persaraan yang tenang dan
dalam kesihatan yang sewajarnya baik.
Perkara utama bagi diri mereka
ialah tempat tinggal serta persekitaran yang mesra warga emas. Tuntutan
kerohaniannya berada di tempat utama.
Mereka mahu mudah melakukan
ibadah. Bukan saja surau dan masjid yang berhampiran tetapi juga kemudahan bagi
melakukan umrah dan haji umpamanya.
Selain itu, perkara penting
adalah penjagaan jasmaninya, seperti keperluan asas dan perkhidmatan kesihatan.
Untuk itu, tentulah mereka mengharapkan simpanan wang yang cukup untuk melalui
zaman-zaman akhir kehidupannya.
Tidak kurang juga kepentingan
untuk kepuasan bersosial. Sokongan kawan-kawan, jiran-jiran dan anak-anak cucu
yang melingkungi seseorang warga emas.
Inilah impian bagi semua manusia
terhadap kehidupan mereka di hujung usia.
Adakah Malaysia mampu memenuhi
impian dan harapan rakyatnya apabila mereka mencecah tangga hujung usia ini?
Atau impian ini hanya dapat dicapai oleh segelintir saja sementara kebanyakan
yang lain terpaksa melalui penderitaan yang hanya berakhir apabila meninggalkan
dunia?
Tetapi impian seseorang bukan
saja terhadap kehidupan yang selesa dan tenang di penghujung usianya. Malah
mereka juga ingin untuk melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup.
Apabila disebut berjaya tentulah
dirujuk kepada kehidupan kedua-dua sisi, rohani dan jasmani. Rohani pula bukan
semata-mata dari segi agama tetapi ketenangan jiwa.
Ini bermakna kehidupan keluarga
yang bahagia dengan membesarkan anak masing-masing. Untuk ini tentulah ia
memerlukan kerjaya yang bukan saja bermakna tetapi juga mendatangkan pendapatan
yang lumayan supaya keluarga dapat menjalani kehidupan selesa.
Ini kesemuanya adalah impian
setiap penduduk dalam mana-mana negara sekalipun.
Sementara anak-anak pula
mempunyai impian bahawa mereka akan memperoleh pekerjaan yang baik dan meraih
pendapatan lumayan. Untuk itu pula, mereka mengimpikan kemudahan pendidikan,
daripada peringkat sekolah hingga ke menara gading.
Impian dan harapan setiap manusia
dapat jelas digambarkan. Tentulah sepanjang kehidupan seseorang, mereka
perlukan kebudayaan yang di dalamnya terdapat kesenian sebagai hiburan supaya
kehidupan ini bukanlah suatu tempat yang memeritkan.
Sesebuah negara yang berjaya
mampu memberi harapan kepada rakyatnya untuk mencapai impian ini.
Untuk itu pula, setiap penduduk
negara ini pula perlu memainkan peranan masing-masing.
Bagaimanakah caranya seseorang memainkan
peranannya? Oleh sebab setiap manusia ada kedudukan tertentu, maka di situlah
peranannya. Umpamanya sebagai pekerja, pelajar, bapa, ibu dan lain-lain.
Mungkin semua ini dianggap
sebagai retorik, atau kata-kata yang sering dihamburkan sedangkan maknanya
sentiasa diketahui tetapi ia tidak mengubah keadaan.
Sebagai penulis ruangan, inilah
peranannya. Penulis ini berusaha menghasilkan buah fikiran yang boleh memberi
semangat atau sudut pandangan menarik serta segar kepada pembaca.
Sementara pembaca pula berperanan
untuk menimba ilmu pengetahuan atau mencari mutiara yang boleh membantunya
dalam kehidupan seharian.
Ada sudut pandangan yang mungkin
disetujui dan begitulah sebaliknya. Tetapi sering kali disebut bahawa peranan
akhbar adalah membuat sebuah negara bercakap kepada dirinya.
Maknanya akhbar dan media lain
adalah medan untuk rakyat bercakap antara satu sama lain, bertukar-tukar
fikiran supaya kesemuanya dapat menghasilkan aliran-aliran fikiran yang
bermanfaat.
Masing-masing mempunyai peranan
ke arah menggapai impian dan menuai harapan pada masa depan.
Sumber : http ://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan