Oleh
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
TIDAK dinafikan setiap individu mahu kesihatan mereka berada pada tahap
optimum, sama ada dari segi fizikal atau mental. Namun cara hidup yang semakin
pantas, sibuk dan sentiasa mengejar masa menyebabkan ramai hilang fokus hingga
mengabaikan kesihatan diri demi mencapai
kejayaan yang bersifat materialistik.
Walaupun wang yang dicari, ia bukan penyelesaian kepada segala persoalan
hidup dan apabila kesihatan merosot, kualiti hidup juga merudum hingga
menyebabkan seseorang itu menjadi murung.
Kesihatan mental dan fizikal saling berkait rapat. Kedua-duanya perlu
bergerak seiringan kerana sekiranya mental tidak sihat, ia akan memberi kesan
negatif kepada fizikal dan begitu juga sebaliknya.
Perangkaan di negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan Amerika
Syarikat menunjukkan kes bunuh diri banyak berlaku. Ini terjadi apabila wujud
masalah mental akibat pengurusan minda yang tertutup, harapan tinggi yang tidak
tercapai serta tekanan hidup yang mendorong perbuatan negatif itu.
Antara faktor yang menyumbang kepada kes bunuh diri semakin meningkat
adalah masalah pengangguran, ekonomi, kemurungan dan tekanan daripada
masyarakat sekeliling.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Profesor Madya Dr Khaidzir Ismail berkata, minda adalah bahagian yang
paling penting pada tubuh dan sekiranya ia tidak dijaga, pemikiran seseorang
menjadi bercelaru hingga menyebabkannya gagal mengurus diri serta hidup dengan
baik.
Apabila mental menjadi tidak sihat termasuk mengalami tekanan akibat
masalah hidup seperti putus cinta, bergaduh dengan rakan atau bercerai, hormon
menjadi tidak seimbang hingga ia kelihatan pada kulit.
"Kulit boleh timbul ruam dan kering akibat hormon yang bercelaru
disebabkan tekanan pada minda. Kadangkala kita ingatkan kulit kering kerana tidak
sapu losen tetapi sebenarnya ia terjadi kerana stres.
"Apabila mental tidak stabil, perubahan pada tubuh dapat dilihat
dengan nyata, antaranya fizikal menjadi tidak terurus, rambut kusut atau kulit
kering," katanya.
Beliau berkata, hal yang sebaliknya akan berlaku apabila seseorang
gembira dan berfikiran positif, mindanya akan tenang membuatkan hormon menjadi
stabil, seterusnya kulit kelihatan cantik dan berseri-seri.
Selain pemakanan yang teratur dan seimbang, kesihatan fizikal seseorang
turut mempunyai hubung kait yang rapat dengan mindanya hinggakan pemikiran yang
negatif mampu dilihat pada perubahan fizikal yang mungkin menjadi tidak bermaya
dan kulit kusam.
Menurutnya, pemakanan turut menyumbang kepada kesihatan diri. Apabila
seseorang itu mengambil pemakanan banyak karbohidrat, tubuh akan menjadi lesu
fizikal dan ia memberi kesan secara tidak langsung pada minda.
Begitu juga apabila seseorang mengambil makanan yang mempunyai kandungan
gula yang tinggi dalam diet, ia akan membuatkan diri menjadi terlalu aktif dan
mungkin mudah naik marah.
"Makanan sememangnya mempunyai hubung kait dengan kesihatan mental
kerana ia memberi kesan kepada kesihatan fizikal. Nutrien makanan seperti zat
besi dan protein memberi kesan pada tubuh.
"Setiap makanan yang diambil mempengaruhi tubuh. Oleh itu, untuk
mendapat mental yang sihat, pemakanan juga perlu dijaga kerana minda memerlukan
zat daripada pemakanan yang disalurkan ke dalam tubuh," katanya.
Dr Khaidzir berkata, seseorang itu perlu menjaga kesihatan mentalnya
dalam usaha memelihara kesihatan dirinya secara menyeluruh termasuk mengambil
pendekatan sentiasa berfikiran positif walaupun berhadapan dengan cabaran.
Menurutnya, setiap orang perlu mengetahui keupayaan diri masing-masing
supaya mereka dapat mengawal diri mereka daripada melakukan perkara tidak
sepatutnya.
"Seseorang itu tidak seharusnya suka menyalahkan pihak lain,
sebaliknya menerima sebarang dugaan yang datang dengan hati yang terbuka, reda
dan tenang kerana ia boleh menjaga kesihatan mental diri mereka.
"Mereka juga perlu tahu kaedah untuk mengawal diri sendiri kerana
minda yang tidak tenang akan menyebabkan seseorang berasa penat dan mudah
diserang penyakit, mudah meracau selain sukar menerima gurau senda rakan,"
katanya.
Beliau berkata, minda perlu sentiasa positif dan menerima dugaan serta
cabaran hidup dengan hati terbuka, seterusnya membuatkan seseorang memperoleh
kesihatan mental yang baik.
Bagi orang Islam pula, mereka perlu menjaga solat dan sentiasa berdoa dalam
usaha memperoleh ketenangan diri, seterusnya dapat menjalani hidup dengan lebih
gembira.
"Selain positif dan menikmati setiap saat hidup dengan gembira,
manusia perlu berkawan dan tidak seharusnya berseorangan. Ini kerana seseorang
perlu berkongsi apa yang ada dalam hatinya termasuk susah senang demi minda
yang sihat.
"Seseorang juga digalakkan terbabit dalam kegiatan riadah dan
aktiviti yang mampu menyibukkan diri mereka, berkawan dengan ramai orang selain
mempunyai hobi bagi membuatkan minda mereka sentiasa bekerja dan berfikir.
"Ada kata-kata hikmah yang mengatakan, minda yang kosong mudah
dimasuki syaitan dan ada kebenaran pada ayat itu. Oleh itu, kita perlu sibukkan
diri dengan perkara berfaedah," katanya.
Cara mendapat minda yang sihat:
Tahu keupayaan diri sendiri
Mengambil pemakanan seimbang
Berfikiran terbuka
Berfikir secara positif
Reda dengan dugaan
Sibukkan diri dengan aktiviti berfaedah
Beriadah
Berkawan dengan ramai orang
Bersolat dan berdoa
Kongsi perasaan
Kesan mental tidak tenang:
Kulit menjadi kering dan kusam
Timbul ruam
Hormon bercelaru
Penampilan kusut
Mudah tersinggung
Mudah penat
Mudah diserang penyakit
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan