Isnin, 3 September 2012

ISU PENDIDIKAN : Lebih baik tidak bersekolah!


Oleh : FADHLINA SIDDIQ

Lebih Baik Tidak Sekolah - tajuk sebuah buku kecil nukilan Bapak Sujono Samba yang memperkatakan tragedi  dan masa depan pendidikan di Indonesia. Dalam perkembangannya sekolah  ternyata tidak menjadi media pembebasan dan penanaman nilai-nilai kemanusiaan. Sekolah sudah menjadi penjara yang memisahkan anak didik daripada  dinamika persoalan masyarakatnya. Semakin lama seseorang bersekolah semakin besar jarak antara dirinya dan realiti kehidupan yang sebenarnya.

Sekolah bukan lagi tempat untuk belajar melainkan tempat murid diarahkan dan dicetak menurut pola yang sudah baku. Dengan demikian, lembaga pendidikan gagal menjalankan tugasnya yang paling dasar, iaitu membantu seorang menjadi manusia yang bebas dan merdeka. Sekolah sudah sepertinya factory atau kilang yang tugasnya hanya mencetak watak-watak manusia A+ dan menolak manusia lain yang hanya mendapat B dan C. Malah yang berstatus D dan F akan terus tersingkir dengan sendirinya.

Di Malaysia tidak kurang keresahannya. Dalam keributan menentukan sistem yang terbaik kita mula meminggirkan aspek teras bangsa dan budaya apabila berterusan meminggirkan Bahasa Melayu dan tulisan jawi. Keranda Bahasa Melayu diusung secara simbolik tanda protes bahawa watak bangsa akan terhapus dengan peminggiran Bahasa Melayu.

Sudah nampak riak akan berlaku kebobrokan dalam aspek nilai dan produk manusia dalam masyarakat dengan meningkatnya gejala sosial dalam kalangan anak muda saban hari.

Dari memaknai soal mendidik asalnya ia sudah menjadi mencetak, tatkala sekolah diperjuangkan untuk rakyat dan pendidikan percuma adalah hak asasi rakyat, aspirasi itu dimatikan dengan pembinaan institusi pendidikan swasta yang terus mematikan hasrat rakyat kononnya ia dibina demi kualiti pendidikan.

Begitulah seterusnya episod-episod menyayat hati dalam isu pendidikan negara yang kemudiannya menjadikan anak-anak kita sebagai eksperimen dan tikus makmal bagi menguji keberkesanan setiap kali dasar pendidikan baru dirombak.

Semua menjadi kalut dan cemas! Ibu bapa sudah tidak ketahuan jadual peperiksaan anak-anak. Guru-guru menggalas beban dengan kelas tambahan dan tuisyen. Anak-anak sudah terobses dengan kecemerlangan akademik atas permintaan pasaran dan prosedur dunia. 

Ivan Illich pernah mengejutkan masyarakat dengan gagasan kontroversinya tentang deschooling society (masyarakat tanpa sekolah). Illich meramalkan bahawa jika pengetahuan dan tingkat kedewasaan masyarakat sudah berkembang dengan wajar maka institusi-institusi pendidikan formal tidak lagi diperlukan.

Masyarakat akan mampu menjalankan fungsi pendidikan lewat elemen sosial dan budaya yang luas tanpa harus terikat dengan autoriti perlembagaan seperti sekolah. Ertinya dalam masyarakat ini sekolah sudah tidak diperlukan lagi. Gagasan ini sampai sekarang masih belum terbukti dalam kehidupan konkrit. Tetapi jika dilihat dengan mendalam, maka betapa tepatnya Illich dalam menilai dan mendekripsi peranan pendidikan.

Dalam serba ketidaktentuan arah pendidikan ini, terbitnya buku Excellence Wihout Soul karya Harry R Lewis - membicarakan tentang Universiti Harvard yang sudah kehilangan roh dan menghadapi bencana kehilangan arah tujuan. Ketika Harvard memikul jenama universiti tertua, ternama dan terunggul di dunia, mereka telah melupakan the fundamental job of undergraduate education tanggungjawab dasar terhadap anak didik termasuk to help them grow up, to learn who they are, to search for a larger purpose for their lives and to leave college as better human beings.

Oleh yang demikian, sistem pendidikan negara sewajarnya menjaja pendidikan keinsanan yang mana seharusnya ia memaknai sabda nabawi khairu ‘n-nas anfa’uhum li n-nas (orang yang terbaik adalah yang paling berguna kepada orang lain).

Anak bangsa ini harus dididik untuk terus menjadi warga yang baik, anak yang meletakkan sifat keinsanan serta mengangkat darjat karamah insaniyyah serta menjadi manusia yang terus memanfaatkan manusia lain. Ini juga nyata bertepatan dengan kata pujangga Melayu dalam menggambarkan erti manusia yang baik dan bermanfaat itu adalah;

Bagaikan kayu besar di tengah padang,
Rimbun daunnya tempat berteduh,
Kuat dahannya tempat bergantung,
Kukuh batangnya tempat bersandar,
Besar akarnya tempat bersila.

* Penulis ialah Naib Presiden (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan