KUALA LUMPUR –
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 begitu komprehensif dan menyeluruh.
“Pelan tindakan itu
adalah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada semua pihak, termasuk
pandangan dari pendidik tempatan dan antarabangsa,” katanya ketika melancarkan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di sini, Selasa.
Beliau berkata,
pelan jangka panjang itu akan menggariskan 11 anjakan dan akan menjadi cabaran
kepada semua pihak berkenaan.
“Tugas yang menanti
adalah satu cabaran kerana ia bukan saja melibatkan orang di dalam mahupun luar
dewan ini tetapi semua 28 juta rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata,
pelan itu bukan saja bertumpu kepada pengetahuan dan kemahiran tetapi
nilai-nilai yang betul untuk menjamin masa depan negara.
“Demonstrasi
jalanan dan menjatuhkan maruah orang lain bukan nilai-nilai kita.
“Kita memerlukan
nilai-nilai untuk memastikan generasi muda masa kini berupaya memacu negara ke
peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau turut
berkata, semua pemimpin harus mempunyai keberanian moral untuk mengetepikan
politik daripada sistem pendidikan.
“Ini untuk
memastikan bahawa kita membuat keputusan demi kepentingan terbaik anak-anak
kita dan negara,” katanya.
Terdahulu, Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memberikan
taklimat selama 25 minit kepada tetamu yang hadir menyaksikan pelancaran pelan
tindakan tersebut.
Sebanyak 11 anjakan
yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah:
1.
Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf
antarabangsa.
2.
Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
3.
Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
4. Transformasi
keguruan sebagai profesion pilihan.
5.
Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
6.
Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan
keperluan.
7.
Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.
8.
Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.
9.
Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
10.
Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.
11.
Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam.
Sumber : http://mynewshub.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan