Oleh : Amidi Abdul Manan
Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
bagi tempoh 2013 hingga 2025 sudah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak kelmarin. Ia disambut dengan pelbagai reaksi oleh pelbagai golongan
sama ada yang terbabit secara langsung atau secara tidak
langsung dengan pendidikan.
Terkandung di dalamnya ialah laporan maklum balas yang
diterima daripada sesi dialog pendidikan, persidangan, seminar dan perbincangan
meja bulat yang diadakan oleh pihak yang berminat mengenai pendidikan negara.
Proses mencanai potensi
Pendidikan bagi sesebuah negara adalah satu perkara yang
amat penting. Di sinilah proses mencanai perkembangan dan potensi serta
menakrif ciri dan identiti warga negara pada masa hadapan. Bagi pendidikan di
Malaysia ia terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang
mendefinisikan matlamat dan fungsi pendidikan di negara kita ini.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menggariskan
hala tuju pendidikan negara bagi tempoh 22 tahun akan datang. Ia satu tempoh
yang penting dan amat getir kerana dalam tempoh berkenaan kita akan melalui
tahun 2020 yang menakrifkan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Penulis tidak berhasrat untuk membincangkan PPPM secara
keseluruhan dalam ruang yang terhad dan terbatas ini, tetapi sekadar berkongsi
pandangan kerana PPPM masih pada peringkat draf dan ruang masih terbuka bagi
maklum balas diajukan kepada Kementerian Pelajaran.
Dalam PPPM, perkara yang paling menonjol adalah hasrat untuk
melonjakkan pendidikan di Malaysia ke tahap antarabangsa, baik dari sudut guru,
kemudahan pendidikan, pembangunan kurikulum, pembangunan pelajar mahupun
kemahiran berfikir. Semuanya diletakkan kayu ukur yang menepati piawaian
antarabangsa.
TIMS dan PISA yang juga satu rujukan penting bagi menilai kedudukan negara dalam pembelajaran Sains dan Matematik turut menjadi perhatian dalam PPPM ini. Ia sekali lagi satu ujian terhadap kemampuan kognitif pelajar. Sudah sampai masanya kita mencirikan pembelajaran Sains dan Matematik berakar umbi kepada masyarakat kita.
Sains umpamanya perlu diajar seiring dengan nilai kehidupan
dan kemanusiaan. Ia adalah satu bidang ilmu yang meliputi cakupan pancaindera
dan bermatlamatkan untuk mengenali Allah sebagai Pencipta. Ia sarat dengan
nilai yang mengukuhkan keyakinan kepada Allah. Menerusi nilai ini ia akan
melahirkan individu yang mempunyai akhlak yang baik dan terpuji.
Sains dalam dimensi ini tidak mendapat tempat pada peringkat
antarabangsa. Maka tidak hairanlah tamadun Barat yang berteraskan kemajuan
sains dan teknologi akhirnya menjerumuskan mereka ke dalam satu krisis
kemanusiaan yang parah. Ramai pakar pendidikan mereka sudah mula mengkritik
sistem pendidikan mereka sendiri yang gagal melahirkan insan.
Seperkara menarik dalam PPPM ini adalah mengenai pelaku
pendidikan iaitu golongan guru. Secara jelas dan spesifik martabat guru akan
diangkat bermula daripada calon guru sehinggalah kepada latihan dan skim
perkhidmatan.
Sememangnya ia disambut baik oleh kita semua kerana guru
adalah kelompok terpenting dalam mencorakkan masa depan negara menerusi
pendidikan. Namun seharusnya hasrat ini melimpah kepada guru di sekolah agama
yang bukan di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran seperti sekolah agama
rakyat, sekolah menengah agama kerajaan negeri dan sekolah agama persendirian.
Aspek kokurikulum juga masih memerlukan perhatian yang
sewajarnya. Seharusnya wujud satu kaedah untuk membantu sekolah jenis ini bagi
menghadapi perubahan sistem pendidikan yang semakin kompleks.
Pantau sekolah antarabangsa
Persoalan yang timbul sejak Laporan Razak perlu diselesaikan
segera. Jika dulu kita berhadapan dengan sekolah vernakular, kini kita
berhadapan pula dengan sekolah antarabangsa yang semakin subur dan mendapat
sambutan masyarakat. Ia secara terang memberikan pilihan untuk rakyat keluar
daripada sistem pendidikan arus perdana jika tidak ditangani dengan
berhati-hati.
Persoalan pendidikan menggamit perhatian banyak pihak. Ia
membabitkan masa depan kita, masa depan negara dan yang lebih penting adalah
masa depan kita di hadapan-Nya.
Sumber : http : //www.bharian.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan