Oleh : MOHAMAD ABDULLAH
SETIAP tahun beribu-ribu orang
anak muda berlumba-lumba untuk memasuki universiti. Ada yang datang menangis
dan merayu dengan pelbagai cara untuk memastikan mendapat tempat walaupun tidak
memenuhi kelayakan dan sedar yang ia sukar untuk dipenuhi. Ada juga yang datang
berjumpa pihak pengurusan universiti dengan surat daripada pihak-pihak
tertentu.
Kenapa orang berlumba-lumba untuk
memasuki universiti? Walaupun universiti dikritik dengan pelbagai perkara,
dicari segala kelemahan dan kekurangannya, namun ia tidak mematahkan semangat
untuk mereka yang percaya bahawa universiti berupaya mengubah nasib dan masa
hadapannya untuk terus mendapat tempat, mencari ilmu dan memastikan mendapat
segulung ijazah sebagai pengiktirafan terhadap proses penguasaan ilmunya.
Upacara konvokesyen masih menjadi
antara acara penting yang perasaan bangganya tidak pernah kurang untuk dirakamkan
foto dan diletakkan di atas meja atau menghiasi dinding sebagai menunjukkan
pengiktirafan terhadap ilmu yang dipelajari di universiti. Malah, ada ibu bapa
dan graduan yang marah jika tidak berpeluang naik ke pentas mendapat ijazah
masing-masing kerana ia amat istimewa dan bermakna.
Bagi mereka yang pernah
melaluinya, sukar menafikan bahawa universiti adalah makmal hidup yang bermakna
bagi mereka yang bijak mengambil peluang dan kesempatan yang ada.
Walaupun filem dan drama kita
lebih banyak memaparkan kisah-kisah cinta kampus dari sisi penerokaan ilmu yang
sebenar, universiti menyediakan begitu banyak ruang untuk seseorang itu
menetapkan pandangan hidupnya terhadap alam kehidupan yang ada. Kehidupan
kampus kerap kali dikaitkan dengan idealisme unggul yang kadang-kadang tidak
berpijak di bumi nyata. Kehidupan yang dilihat dari sudut ilmu dan idealisme
yang dibangunkan sangat istimewa, ideal dan kerap kalinya mempunyai perspektif
dan sudut pandang yang berbeza daripada kehidupan sebenar.
Di sinilah seseorang mahasiswa
akan diuji dari sudut kekuatan ilmu dengan kehidupan sebenar yang dilaluinya.
Kerap kali mahasiswa ini membuat perbandingan yang sangat indah dari perspektif
ilmunya yang jika tidak diseimbangkan dengan pengetahuan terhadap dunia sebenar
akan menjadikannya cepat terpesong dan melihat orang lain sebagai punca dan
salah.
Walaupun Akta Universiti dan
Kolej Universiti (AUKU) yang dipinda membolehkan para mahasiswanya menyertai
politik, kampus universiti sewajarnya tidak diperjudikan untuk tujuan itu.
Berpolitiklah di luar kampus kerana jika dibawa secara besar-besaran dalam
kampus, akan mudahlah diprovokasi dan dipergunakan oleh sesetengah pihak yang
tidak bertanggungjawab untuk menjadikan idealisme anak-anak muda ini mengikut
kepentingan sendiri.
Yang menerima padah tentunya
anak-anak muda yang sepatutnya bergelut untuk menguasai ilmu dan kebijaksanaan
serta hikmah yang ada untuk pembangunan masyarakat dan negara pada masa
hadapan.
Kerana itulah kita dapati,
sesetengah orang cepat berubah pandangan hidupnya berbanding dengan tatkala
berada di kampus universiti setelah melalui dunia sebenar yang mempunyai
pelbagai cabaran dan hakikat yang di luar daripada jangkaannya. Namun, jika
seseorang itu bijak menggunakan kesempatan yang ada, universiti adalah
persediaan yang bermakna untuk menghadapi masa hadapan.
Politik dalam kampus sewajarnya
sekadar menjadi asas untuk memahami secara lebih luas bukan untuk mencari kuasa
dan tujuan-tujuan lain, apatah lagi apabila pelbagai pihak saling berusaha
untuk menguasai pemikiran anak-anak muda ini.
Kampus adalah makmal hidup untuk
mencari pengalaman baru, misalnya dari segi penguasaan bahasa dan pergaulan,
universiti mempunyai pelbagai kemudahan dan kesempatan. Memandangkan hampir
semua kampus universiti mempunyai pelajar dari pelbagai negara luar, maka di
sinilah peluang untuk anak-anak muda ini belajar memahami bahasa dan budaya
lain serta berusaha menyesuaikan diri dengan diri dengan dunia global yang
sebenar.
Apatah lagi, peluang untuk
mengikuti pengajian selama satu atau dua semester di negara luar sentiasa
terbuka luas jika mereka tahu mengambil kesempatan daripadanya. Ini bermakna
bukan sahaja mereka boleh belajar bahasa asing secara formal tetapi juga proses
sosialisasi yang tidak formal yang terbuka luas.
Malah, mereka yang berada di
universiti juga boleh mengambil kesempatan mempraktikkan idea keusahawanan sama
ada berniaga secara formal, belajar untuk menguasai keusahawanan malah
menceburinya secara terus seawal mungkin. Hampir semua universiti tempatan
sekarang ini mempunyai kelab keusahawanan atau jabatan-jabatan tertentu yang
menguruskan penglibatan mahasiswa dalam bidang ini.
Banyak peruntukan diberikan
selama ini untuk mendorong mahasiswa terlibat dalam keusahawanan sebagai
sebahagian usaha untuk memastikan mereka dapat meneruskannya apabila tamat
pengajian kelak. Dalam konteks ini keusahawanan harus dilihat sebagai cara
kreatif dan inovatif untuk meneroka peluang baru dalam meneruskan kehidupan pada
masa hadapan.
Begitu juga dengan usaha
mewujudkan semangat kesukarelaan dalam kalangan anak-anak muda. Universiti
adalah tempat terbaik untuk melatih mereka secara formal atau tidak formal
dalam menanamkan semangat untuk menolong orang lain dan menjulang nilai-nilai
kemanusiaan bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan malah juga masyarakat
dunia di mana sahaja.
Program-program latihan yang
tersusun boleh diterokai dalam memastikan anak-anak muda kita bersedia untuk
membantu orang lain, belajar berkomunikasi dan menjalin hubungan tanpa ada
batas sempadan dari segi bahasa, budaya, agama atau apa sahaja yang membezakan
manusia.
Apatah lagi bagi komuniti
universiti yang pelbagai, dengan kumpulan mahasiswa dari ceruk rantau negara
dan bangsa, kaum dan agama serta warna kulit yang tidak pernah menghalang untuk
saling berkomunikasi, memahami dan hidup rukun damai. Sekali gus belajar untuk
menghargai kepelbagaian yang ada dan memanfaatkannya untuk mengkayakan dengan
pengalaman dan kekuatan bersama.
Soalnya, dengan pelbagai
kemudahan infrastruktur, infostruktur untuk komunikasi dan teknologi maklumat
serta ruang dan peluang ada, mampukah seseorang yang memasuki kampus universiti
untuk berubah dan menjadi berbeza daripada sebelum memasukinya.
Tentunya mereka yang memilih
untuk berdiam diri, tidak bercampur dengan orang lain dan hidup dalam dunia
angan-angan, fantasi yang di awang-awangan atau enggan menerima pendapat dan
pandangan orang lain, jumud pemikirannya dan enggan untuk berubah, maka
universiti tidak jauh berbeza daripada sebuah sekolah atau tempat untuk belajar
di bilik darjah dan kuliah dan kemudian luahkan semula di atas kertas
peperiksaan.
Universiti adalah makmal
kehidupan yang sangat menarik dan menyeronokkan bagi mereka yang percaya kepada
diri, mempunyai fokus dalam hidup, ingin memanfaatkan ilmu dan menerokainya
sejauh mungkin serta bersedia untuk menggunakan setiap peluang dan ruang yang
ada untuk menjadi seseorang yang mampu berfikir dan menggunakannya sebaik
mungkin untuk diri, masyarakat, agama dan negara.
Walaupun dunia kampus sebahagian
besarnya dipenuhi oleh idealisme, tetapi hakikatnya itulah makmal terbaik untuk
menyediakan kita dengan dunia sebenar yang jika diadunkan dengan ilmu, akan
menyelesaikan banyak masalah yang ada dengan penuh kebijaksanaan dan hikmahnya.
PENULIS ialah Timbalan
Pendaftar Pejabat Naib Canselor Universiti Sains Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan