Oleh : NIZAM YATIM
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
telah mendesak kerajaan supaya memasukkan syarat mewajibkan pemaju swasta
membina 35 peratus rumah mampu milik bernilai antara RM60,000 hingga RM150,000
ketika pembentangan Bajet 2013 tidak lama lagi.
Langkah itu adalah bagi memastikan lebih ramai rakyat termasuk 1.4 juta
kakitangan awam dapat membeli rumah di kawasan bandar kerana jika jarak pergi
balik dari kediaman ke tempat kerja lebih 100 kilometer, ia tidak relevan dan
praktikal.
Sekarang ini hanya di kawasan luar bandar sahaja menawarkan rumah mampu
milik berharga tidak melebihi RM300,000, sedangkan ramai kakitangan awam
bekerja di bandar.
Isu yang dibangkitkan oleh CUEPACS itu bukanlah baru kerana perkara itu
telah lama disedari kerajaan dan ia terbukti apabila kerajaan mengumumkan skim
Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ketika pembentangan Bajet 2012.
Skim itu membolehkan golongan berpendapatan sederhana antara RM3,000
hingga RM6,000 sebulan di kawasan bandar dan pinggir bandar membeli kediaman
mampu milik pada harga di antara RM150,000 dan RM300,000 seunit.
Ia menawarkan beberapa keistimewaan seperti pengecualian duti setem dan
pinjaman sehingga 105 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 30 tahun.
Usaha kerajaan tersebut memang dialu-alukan oleh rakyat, tetapi 42,000
unit yang dijangka dibina di bawah fasa pertama skim PR1MA adalah tidak mencukupi
berikutan jumlah golongan berpendapatan sederhana yang ramai.
Jika kita mengharapkan pemaju hartanah swasta untuk turut membina rumah
mampu milik seperti yang disaran CUEPACS, sambutannya setakat ini adalah sangat
mendukacitakan.
Mengulas perkara itu, Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan
Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin berkata,
dakwaan pemaju bahawa kos pembinaan yang tinggi adalah punca mereka tidak
berbuat demikian adalah tidak benar.
Katanya, ia sebenarnya berpunca daripada keinginan pemaju swasta untuk
mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
"Saya difahamkan oleh beberapa pemaju, kos harga pembinaan sebuah
rumah sebenarnya adalah separuh daripada harga jualan rumah terbabit.
"Justeru kerajaan perlu mengambil langkah dan memantau keuntungan
para pemaju ini kerana ada kes pemaju memperoleh keuntungan sehingga 50 peratus
selepas sesebuah rumah itu dijual," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui antara punca harga rumah melambung
tinggi adalah disebabkan berlakunya pembelian atas tujuan pelaburan oleh pihak
yang mengaut keuntungan berganda melalui penjualan semula.
Menyifatkannya sebagai perkara tidak sihat, jelas Amir, spekulasi
hartanah seperti itu perlu dibendung kerana ia antara punca berlakunya masalah
ekonomi di negara-negara Barat.
"Ketika ini rumah harus dianggap sebagai keperluan asas rakyat sama
seperti beras, justeru tidak wajar wujud pelaburan dan spekulasi
mengenainya," jelas beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden Persatuan Pemaju
Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk FD Iskandar FD Mansor mencadangkan
kerajaan mengenakan levi kepada para pemaju hartanah bagi membolehkan kerajaan
mendapat pendapatan untuk membina sendiri rumah mampu milik bagi keperluan
rakyat.
Beliau berkata, kaedah itu lebih berkesan daripada mewajibkan pemaju
perumahan memperuntukkan kuota 30 peratus rumah mampu milik sebagai
tanggungjawab sosial korporat.
"Kami bukan mahu lari dari tanggungjawab tetapi arahan tersebut merugikan
pemaju kerana rumah-rumah tersebut yang dibina jauh dari bandar seperti di Hulu
Selangor tidak mendapat sambutan," katanya.
Justeru, katanya, adalah lebih baik kerajaan mengenakan levi untuk
disumbangkan kepada satu tabung atau agensi yang terlibat dalam perumahan
seperti Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) dan Perbadanan Program Perumahan
1Malaysia.
"Lebih baik kerajaan yang bina sendiri rumah-rumah jenis ini dan
terserahlah sama ada rumah berkenaan mahu jual atau disewakan," katanya.
Apa yang dicadangkan oleh beliau itu adalah antara perkara yang perlu
diteliti oleh kerajaan bagi memastikan lebih banyak rumah untuk golongan
berpendapatan sederhana dan rendah dapat dibina.
Kaedah sewa beli untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi golongan
berpendapatan rendah boleh juga diperluaskan membabitkan rumah skim PR1MA.
Cara ini telah digunakan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) yang
membina rumah untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah di Singapura.
Langkah yang dilaksanakan oleh HDB itu telah mendapat sambutan
menggalakkan apabila kira-kira 80 peratus penduduk republik itu memilih rumah
yang dibina oleh lembaga itu.
Untuk mengelakkan penggantungan kepada bank-bank yang mensyaratkan
pembeli membayar balik pada kadar berlipat kali ganda daripada harga asal
rumah, rakyat republik itu juga dibenarkan mengeluarkan caruman Kumpulan Wang
Simpanan Pusat (CPF) bagi membiayai pembelian rumah berkenaan.
Bagi membolehkan lebih banyak rumah dibina, selain tanah kerajaan, boleh
juga dibangunkan tanah rizab Melayu yang terdapat berdekatan ibu kota.
Antaranya tanah-tanah di Kampung Sungai Pusu berdekatan Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak dan Hulu Langat, Selangor yang harganya
masih lagi rendah.
Dalam pada itu, kaedah yang digunakan kerajaan Korea Selatan boleh
dicontohi bagi menangani perbuatan membeli rumah untuk tujuan spekulasi.
Antara syarat yang dikenakan, rakyat hanya dibenarkan membeli rumah
selepas lima tahun daripada pembelian rumah sebelumnya dan kerajaan juga sering
menjalankan siasatan terperinci bagi mengelak spekulator tidak membayar cukai.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizzuddin Nooh berkata, orang ramai
tidak seharusnya mengharap segala masalah perumahan mereka diselesaikan oleh
kerajaan sahaja.
Beliau berkata, isu kenaikan harga rumah yang drastik dan tidak
munasabah terutama di Kuala Lumpur dan Selangor ketika ini adalah disebabkan
suara pengguna tidak kuat.
"Sekiranya pengguna di negara ini bergerak sebagai sebuah entiti
yang kuat, pastinya suara mereka dapat memberi tekanan kepada pemaju-pemaju
perumahan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik," katanya.
Dalam masa sama, Mohamad Noorizzuddin turut bersetuju dengan pendapat
bahawa pemaju perumahan ketika ini mencatat keuntungan yang keterlaluan hasil
jualan projek-projek perumahan mereka.
Sehubungan itu, sempena pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini,
pihak kerajaan dan rakyat hendaklah saling bekerjasama bagi mengatasi isu
kenaikan harga rumah yang terlampau tinggi.
Kepada kerajaan negeri yang dikuasai pihak pembangkang, ketepikan
perbezaan politik dan benarkanlah tanah rizab Melayu dibangunkan dengan projek
rumah mampu milik.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan