Rabu, 3 Oktober 2012

ISU BAHASA : Bahasa Melayu mampu sampaikan pemikiran kritis


Oleh : Prof Dr  Teo Kok Seong
 
Pemberian peruntukan tambahan RM500 juta dalam Belanjawan 2013 untuk mempertingkat kemahiran mengajar dalam kalangan pendidik untuk empat subjek teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, amat dialu-alukan. Ia bertujuan mengembangkan kemahiran berfikiran kritis dalam kalangan pelajar oleh guru.

Sehubungan ini, Sejarah yang diangkat menjadi subjek teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, perlu turut dimasukkan dalam latihan perguruan ini. Selain subjek wajib, ia antara kurikulum penting yang dapat memupuk asas dan perspektif nasional yang dikongsi bersama. Kemahiran berfikir aras tinggi sebagai aspirasi penting dalam PPPM, akan cuba dicapai melalui tiga cara. 

Pertama, dengan penguasaan kemahiran berfikiran kreatif dan inovatif, pelajar diajar untuk memperoleh kepandaian menjana prospek baharu, selain mencipta gagasan dan pengetahuan baru. 

Kedua, melalui penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah dan menaakul, pelajar dilatih untuk bersedia berdepan dengan sebarang masalah, yang kemudian diselesaikan selepas menaakul dengan kritis dan logik, agar keputusan yang dibuat itu bernas.

Ketiga, melalui penguasaan kemahiran keupayaan belajar, pelajar diasuh untuk memiliki ketangkasan mendorong diri sendiri untuk terus menimba ilmu sepanjang hayat mereka, bagi menjadi warga yang berpengetahuan.

Diakui bidang ini tidak dirangkumi dalam sistem pendidikan negara sebelum ini. Justeru, pelajar kita didapati bukan saja tidak mampu menerapkan ilmu yang diperoleh. Tetapi yang lebih mudarat lagi mereka gagal berfikir secara kritis, khususnya dalam konteks akademik baru.

Sehubungan latihan ini, sesetengah pihak meragui kemampuan guru dalam memperoleh kemahiran begini untuk diri mereka sendiri, sebelum disampaikan kepada pelajar. Dalam hal ini, kita harus meyakini keupayaan guru yang sudah memiliki ilmu mengenai bidang pengkhususan masing-masing, selain ilmu pelajar yang berbagai-bagai dari segi kecerdasan dan lain-lain, serta ilmu pedagogi untuk pendidikan yang berkesan.

Apabila setiap kali subjek Sains dan Matematik disentuh dan kali ini dalam konteks pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi melalui dua subjek ini, sebahagian daripada masyarakat yang kepingan dan fanatik dengan bahasa Inggeris, menggunakan kesempatan ini untuk cuba mengembalikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sudah dimansuhkan. Alasan yang sama diberikan dan mereka yang menyokong pemansuhannya pula akan memberi hujah yang sama.

Sehubungan ini, sudah tiba masanya PPSMI ini dilupakan dan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dikembangkan.

Hal ini sebenarnya ditekankan dalam PPPM melalui Anjakan Kedua yang akan memastikan setiap pelajar memiliki kecekapan yang sama dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, iaitu kedua-duanya saling melengkapi sebagai bahasa kemajuan. Untuk ini, bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, bahasa Inggeris pula adalah bahasa sumber ilmu.

Dari segi ilmu linguistik, bahasa Melayu kini adalah bahasa moden, yakni bahasa yang mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam apa-apa juga bidang ilmu. Justeru, dengan upaya sebegini, kita tidak perlu meragui, apatah lagi mempertikai kehandalannya untuk mengendalikan sistem pendidikan negara.

Bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, dari segi linguistik, adalah wahana komunikasi, dengan cara dan pola masing-masing yang boleh dengan jayanya digunakan untuk menyampaikan gagasan pemikiran kritis, selain yang logik, oleh penggunanya yang kreatif dan inovatif. Maka tidak timbullah persoalan bahawa bahasa Inggeris lebih ekspresif sifatnya berbanding bahasa Melayu.

Sifat ini, yakni kebolehan menyatakan perasaan, fikiran dan seumpamanya, dengan baik dan lancar, sesungguhnya terletak pada kecekapan berbahasa seseorang itu dan tidak semata-matanya pada sistem bahasa. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu yang kreatif dan inovatif berjaya menghasilkan ungkapan Ini sabun baharu. Ini baharu sabun yang indah lagi bermaklumat untuk tujuan pengiklanan sesuatu barangan.

Kita harus meyakini keupayaan bahasa Melayu untuk terus mendidik anak bangsa yang mampu bersaing di persada dunia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan