Nik Aziz (tengah) ditemani Awang (kiri) ketika menyempurnakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan semalam.
Oleh : ROSMIZA KASIM
KOTA BHARU - Menteri Besar
Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menegaskan bahawa beliau tidak
sesekali bersikap anti kepada bahasa asing bahkan baginya amat perlu untuk
mempelajarinya.
Nik Abdul Aziz berkata, orang
ramai perlu mempelajari bahasa asing terutamanya bahasa Arab yang merupakan
bahasa mulia serta bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.
Namun baginya, sekiranya
menidakkan keperluan Bahasa Melayu sehingga menjadikannya kelas kedua di tanah
air sendiri hakikatnya merupakan satu tindakan yang akan menghakis ketuanan
bahasa tersebut.
“Penggunaan Bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu perlu diperkasakan dengan sehebat mungkin. Malah saya malu dan
kesal terhadap sikap segelintir daripada kita yang lebih gemar bertutur dengan
bahasa asing di dalam majlis kita dalam
kalangan kita sendiri.
“Ini kerana persepsi kononnya bercakap dengan
bahasa asing lebih moden dan lebih dihormati. Akhirnya, wujudlah sindrom
bercakap guna bahasa campuran. Melayu pun tidak, Inggeris pun tidak,” katanya
dalam ucapan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 peringkat Negeri Kelantan
di sini, semalam.
Hadir sama pada program itu,
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan dan Ketua Eksekutif
Yayasan Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.
Sehubungan itu, dalam
memperkasakan Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, beliau mencadangkan ia
dijadikan sebagai bahasa ilmu.
“Sekarang ini ilmu dipelajari di
seluruh dunia jarang sekali disusun di dalam Bahasa Melayu. Kita lebih
mengenali bahasa asing sebagai bahasa ilmu.
Ini ditambah pula dengan langkah
janggal sebahagian daripada kalangan orang Melayu sendiri yang mengambil langkah ke belakang dengan memansuhkan bahasa
Melayu di dalam beberapa subjek di sekolah.
“Tanpa disedari, langkah seperti
ini sebenarnya lambat laun akan memusnahkan ketuanan Bahasa Melayu dalam
kalangan rakyat Malaysia sendiri. Alhamdulillah, langkah ini telah ditarik
balik selepas terbukti ia tidak sesuai dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut
menegaskan kepentingan tulisan jawi selaku tulisan asal kepada bahasa Melayu
dan katanya, di Kelantan, selaku pemerintah pihaknya mewajibkan setiap papan
tanda yang ingin dipaparkan hendaklah mengandungi tulisan jawi.
“Hari ini, dalam pada kita
bercakap soal pemerkasaan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, di manakah
pula keprihatinan kita di dalam memartabatkan tulisan jawi? Oleh itu, saya amat
mengharapkan pihak berwajib dapat melipatgandakan usaha meningkatkan penguasaan
tulisan jawi di kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
“Jika tidak, tidak mustahil kita
akan menyaksikan tulisan ini pupus dan masyarakat masa depan hanya akan
mengenali tulisan rumi selaku tulisan bahasa Melayu,” katanya.
Sumber : http :
//www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan