MINGGUAN : Secara umum apa
pandangan peribadi Sheikh terhadap Malaysia? Apa yang membuatkan Malaysia
berbeza dengan negara-negara Islam yang lain?
MOHAMMAD KHALIFA : Untuk
mengetahui mengenai Malaysia perlu ditanya orang yang pernah tinggal di sini.
Saya telah tinggal di Malaysia selama enam tahun. Secara peribadi saya ada
ikatan dengan negara ini. Malaysia ada kekuatan dari sudut keamanan, politik,
ekonomi dan pembangunannya. Jika dilihat di seluruh dunia khususnya dalam
kalangan negara-negara Islam, saya mendapati Malaysia adalah negara terbaik dan
boleh dijadikan contoh dari sudut keamanannya. Saya juga melihat Malaysia
sebuah negara yang sangat stabil dari sudut politik dan ekonominya. Jika
dilihat dari sudut ekonomi, Malaysia berada pada kedudukan ke hadapan dalam
kalangan negara-negara Islam. Begitu juga dengan wujudnya pelbagai bangsa, kaum
dan agama yang mana terlihat corak kehidupan yang begitu bertoleransi.
Kehidupan saya di sini bukti bahawa negara ini sebuah negara yang aman yang
penuh sifat toleransinya. Keadaan ini sama dengan kisah tertubuhnya Universiti
Antarabangsa Madinah (Mediu) di sini.
MINGGUAN : Bagaimana tercetusnya idea untuk meletakkan
universiti ini di Malaysia?
MOHAMMAD KHALIFA : Peringkat awalnya kami berbincang dengan bekas
Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau secara terbuka menawarkan
kami datang ke Malaysia dan menubuhkan universiti ini di sini. Dalam masa yang
sama kami juga ada menerima tawaran lain seperti di Bahrain dan di United
Kingdom (UK). Tetapi oleh kerana kemudahan yang diberikan oleh kerajaan
Malaysia ketika itu menyebabkan kami terpanggil untuk mengasaskan universiti di
sini. Kerajaan Malaysia juga cukup membantu dengan memudahkan serta melicinkan
penubuhan universiti.
MINGGUAN : Apakah faktor-faktor lain yang mendorong pihak
Sheikh menubuhkan universiti ini di Malaysia?
MOHAMMAD KHALIFA : Malaysia merupakan antara negara Islam yang
boleh dianggap sebagai tonggak, contoh daripada sudut kemajuannya,
pembangunannya, kestabilan politiknya dan keamanannya. Sebab itu kami membuat
keputusan untuk meletakkan universiti ini di Malaysia. Keputusan ini juga ada
kaitannya dengan kecenderungan kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini
sebagai pusat pendidikan. Kami juga mendapati urusan di sini iaitu antara
kementerian -kementerian begitu mudah dan lancar terutama yang membabitkan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). KPT telah menghulurkan bantuan yang cukup
besar kepada kami.
MINGGUAN : Adakah faktor keamanan, kestabilan politik
serta ekonomi penting kepada keputusan tertubuhnya universiti ini di Malaysia?
MOHAMMAD KHALIFA : Memang tidak dinafikan lagi dari sudut
pandangan dunia terutama negara-negara Islam terhadap Malaysia dari sudut
kestabilan politik dan ekonominya Malaysia kehadapan. Begitu juga dengan
kemajuan prasarana serta faktor keamanannya. Apa yang lebih menarik adalah
penguasaan dan kepakaran rakyat Malaysia khususnya dalam bidang-bidang teknikal
seperti teknologi maklumat. Kami memanfaatkan kepakaran rakyat Malaysia dalam
membantu kami untuk mencapai tahap yang lebih baik daripada sudut teknikal,
latihan serta pengajian. Kami meyakini Malaysia sebagai sebuah negara yang
lengkap dan sempurna. Dan atas faktor-faktor itu kami terpanggil untuk tubuhkan
universiti di sini. Keadaan yang seperti ini sangat penting untuk memastikan
kejayaan sesuatu institusi. Alhamdulillah tonggak-tonggak yang membawa kejayaan
semuanya ada di Malaysia.
MINGGUAN : Sama ada Sheikh sedar atau tidak sedar
perpaduan sebenarnya telah menjadi isu di Malaysia sejak sekian lama ekoran
berlakunya perbezaan ideologi politik. Boleh Sheikh memberi penjelasan bahawa
Islam menuntut umatnya bersatu tanpa mengira ideologi politik?
MOHAMMAD KHALIFA : Jika kita teliti di dalam al-Quran dan
as-Sunnah, Islam menuntut perpaduan dan menentang segala bentuk perpecahan.
Banyak ayat al-Quran yang membicarakan soal perpaduan antaranya surah ali-Imran
ayat ke 103:''Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah (agama Islam)
dan janganlah kamu bercerai berai.''
Dalam satu lagi firman Allah
dalam surah al-Anbiya ayat ke 92 ''Sesungguhnya umat (para anbiya') ini adalah
umat kamu iaitu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu. Oleh itu sembahlah
Aku.''
Kedua-dua ayat merupakan perintah
Allah untuk kita bersatu dan larangan daripada berpecah. Perpecahan hanya akan
melemahkan umat Islam. Perpaduan ini penting iaitu dari hujung timur hingga ke
barat iaitu di mana-mana sahaja yang ada umat Islam. Perpaduan akan memberi
kekuatan. Pertelagahan pula jika isu ini tidak dibendung dengan baik ia akan
membawa kepada perpecahan yang tercela. Oleh itu setiap perselisihan yang
berlaku hendaklah diselesaikan dengan adab dan bukannya melalui persengketaan
yang akhirnya membawa kepada perpecahan. Sebab apa kita perlu terus berselisih
dan berpecah sedangkan dalam keadaan sekarang pun dunia Islam dan negara Islam
telah dihina manakala hak-hak orang Islam telah diambil. Adakah kita mahu
berterusan dalam keadaan seperti ini. Sepatutnya kita memikirkan perpaduan
antara kita. Ini juga merupakan agenda orang yang benci dan anti kepada Islam
di mana mereka sentiasa merancang untuk menjatuhkan Islam.
Kita berpecah daripada pelbagai
sudut. Berpecah di sudut akhlak, berpecah di sudut perpaduan dan antara
puncanya disebabkan berbeza ideologi politik.
Oleh itu jika kita tidak kembali
apa yang dituntut oleh Islam sudah tentu kita terus berada dalam keadaan hina.
Sebenarnya banyak kelebihan yang Allah SWT berikan kepada negara-negara Islam
dan ini semuanya adalah hikmah yang Maha Esa kepada kita. Antaranya di
negara-negara Islam terdapat sumber petroleum, hasil pertanian serta
bahan-bahan galian yang sangat banyak. Umat Islam juga tidak kurang hebatnya
dalam bidang teknikal dan pelbagai bidang lain. Ini semua adalah anugerah Allah
kepada kita. Namun begitu kita terus berpecah dan akibatnya juga terdapat umat
Islam yang hidup di dalam kejahilan dan kefakiran. Cukuplah perpecahan yang
berlaku ketika ini. Persoalannya mengapa kita terlalu tertumpu kepada
perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita berpecah. Mengapa kita tidak
mencari titik temu dalam kita membina semula perpaduan serta kekuatan?
MINGGUAN : Dalam konteks perpaduan di Malaysia, mahu
tidak mahu kita terpaksa akui punca berlakunya perpecahan adalah disebabkan
wujud perbezaan ideologi politik. Secara spesifik berlaku pertembungan antara
UMNO dan Pas. Apa pandangan Sheikh?
MOHAMMAD KHALIFA : Kita perlu melihat dari sudut pandangan yang
lebih luas. Kita tidak harus bersifat jumud dalam menyelesaikan setiap
permasalahan yang berlaku sesama umat Islam. Pertembungan antara parti politik
jika kita mahu jadikannya titik perpecahan, titik perselisihan itu merupakan
satu pandangan yang amat salah.
Sewajarnya parti-parti politik
ini perlu memikirkan tentang hal dan masalah perpecahan umat yang lebih besar.
Sesungguhnya jika mereka berpadu dan bersatu, ia akan memberi kekuatan.
Nasihat saya, mereka perlu
bermuzakarah dengan berlapang dada dan terbuka. Mereka ini pemimpin-pemimpin
umat, maka mereka perlu memberi contoh yang terbaik. Saya yakin melalui proses
perbincangan ia boleh membuka ruang dalam usaha kedua-dua pihak mencari titik
persamaan. Saya ingin menyentuh satu perkara iaitu selama ini mereka adalah
punca menyebabkan negara ini membangun, negara ini maju. Oleh itu kita jangan
sama sekali gadaikan kebaikan-kebaikan yang telah mereka lakukan kepada kita
dengan menolak mentah-mentah tanpa ada perbincangan dan toleransi terutama
dalam usaha menyelesaikan permasalahan umat.
MINGGUAN : Setiap umat Islam di negara ini tanpa mengira
ideologi politik masing-masing wajib mempertahankan keamanan negara. Apa
pendapat Sheikh?
MOHAMMAD KHALIFA : Menjadi kewajipan kita setiap umat Islam
mempertahankan keamanan sedia ada. Bukan itu sahaja bahkan kita perlu melihat
maslahah umum terutama isu-isu yang berkaitan dengan umat Islam ketika ini. Jangan
disebabkan kepentingan politik kita mengenepikan kemaslahatan umum khususnya
jika kita bercakap tentang akidah, akhlak yang mana terdapat laporan baru-baru
ini yang menyatakan Malaysia adalah antara negara yang tinggi peratusannya
dalam isu pembuangan bayi. Ini bukan melibatkan parti politik tertentu tetapi
melibatkan kemaslahatan umat Islam. Jadi keruntuhan akhlak seperti zina yang
akhirnya boleh memberi kemudaratan umat Islam perlu ditangani bersama. Kita
perlu selesaikan kemaslahatan yang lebih besar. Kita perlu tinggalkan
kepentingan-kepentingan politik dalam usaha kita membebaskan umat Islam
daripada perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan mereka.
MINGGUAN : Kebanyakan pemimpin-pemimpin politik lebih
mengutamakan kepentingan politik mereka daripada menyelesaikan masalah umat.
Komen Sheikh?
MOHAMMAD KHALIFA : Antara puncanya terjadi perkara ini adalah
disebabkan taksub. Pemimpin seperti ini melihat dirinya sahaja yang betul orang
lain semua salah sedangkan prinsipnya jelas. Sewajarnya kita perlu mengetahui dan
perlu berpegang padanya ada kebenaran dan padanya ada kebatilan. Begitu juga
dengan diri kita padanya ada kebenaran dan padanya ada kebatilan. Perlu ada
saling mengiktiraf yang diri manusia ini ada kelemahan dan kebaikan.
MINGGUAN : Apa keburukan perasaan taksub ini?
MOHAMMAD KHALIFA : Taksub ini boleh membawa kepada berlakunya
pembohongan dan pendustaan. Taksub boleh membawa kepada perasaan hasad dengki.
Taksub juga boleh membawa perpecahan dan ini berlaku disebabkan mereka mahu
mempertahankan kebatilan. Mereka mahu membenarkan kebatilan.
Manusia sepatutnya berpegang
kepada kebenaran di mana sahaja mereka berada.
MINGGUAN : Apa pandangan Sheikh ada pihak yang menolak
salam perpaduan oleh satu pihak yang lain?
MOHAMMAD KHALIFA : Allah
berfirman di dalam surah al-Maidah ayat ke 2 ''Dan bertolong-tolonglah dalam
kebaikan dan ketakwaan, janganlah kamu bertolong-tolongan dalam dosa dan
pencerobohan.'' Berdasarkan ayat di atas tiada pilihan lain sekiranya seseorang
muslim itu jika menghulurkan tangan untuk kebajikan dan ketakwaan tetapi
seseorang Islam yang lain menolaknya. Sesungguhnya kehidupan seseorang muslim
itu sama seperti solat berjemaah. Apabila masuk ke dalam masjid kita masuk
bersama-sama, apabila masuk saf secara bersama-sama dan apabila mengikut imam
pun bersama-sama. Apabila imam bertakbir makmum pun bertakbir. Apabila imam
sujud makmum pun bersujud, apabila imam rukuk makmum pun rukuk dan inilah
kehidupan sebagai seorang muslim. Ada ketua dan ada pengikutnya. Ini contoh
yang wajib dipraktikkan oleh semua muslim sama ada dalam urusan pentadbirannya
mahupun kehidupan hariannya. Kita masuk ke dalam masjid bukan semestinya orang
kaya berada di saf hadapan dan orang miskin di saf belakang. Kita masuk ke
masjid dalam keadaan yang sama. Inilah hakikat kehidupan yang wajar dijadikan
panduan. Kita perlu berbuat baik sesama insan sama ada dengan keluarga,
sahabat, jiran tetangga mahu pun teman-teman sepejabat. Kita bukan malaikat
kita adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan salah dan
silap. Sebagai manusia juga ada mereka yang berjaya dan ada yang gagal. Bagi
mereka yang berjaya mereka hendaklah memberi bantuan kepada mereka yang gagal.
MINGGUAN : Berbalik kepada penubuhan Mediu di sini,
bilakah universiti ini memulakan pengajiannya di Malaysia dan apakah konsep
yang dijalankan?
MOHAMMAD KHALIFA : Konsep universiti ini dibuat secara wakaf.
Diasaskan pada 2006 dan memulakan pengajian serta mula mengambil pelajar pada
tahun 2008. Sehingga kini tiga lepasan pelajar telah menamatkan pengajian
mereka di universiti ini dan mereka terdiri daripada pengajian di peringkat
sarjana dan sarjana muda. Insya Allah pada tahun depan universiti ini akan
mengeluarkan pelajar di peringkat ijazah kedoktoran. Universiti ini ada
beberapa kelebihan kerana di sini kami mempraktikkan pengajian secara langsung
iaitu dengan kehadiran di bilik kuliah dan juga secara maya atau talian.
Universiti ini bukan bersifat
perniagaan yang memfokuskan kepada keuntungan. Universiti ini juga bukan
bersifat cawangan sebaliknya universiti ini berpusat di sini. Walaupun berpusat
di Malaysia tetapi universiti ini bersifat antarabangsa. Sebab itu lima tahun
pertama kami lebih fokus kepada pasaran luar berbanding daripada pasaran dalam.
Pelajar-pelajar yang ada di sini pula datang dari 90 buah negara iaitu dari New
Zealand sehingga Kanada. Kelebihan universiti ini juga ada kaitan dengan
tumpuannya terhadap bidang teknologi. Namun begitu bermula tahun depan pihak
universiti akan memulakan pengambilan pelajar-pelajar dari Malaysia. Kebetulan
kami akan berpindah ke sebuah bangunan baru yang lebih selesa. Di sana kami
akan kumpulkan pelajar dalam negara dan luar negara. Bangunan baru ini juga
terletak di Shah Alam.
MINGGUAN : Bagaimana pula
kursus-kursus yang ditawarkan di universiti ini?
MOHAMMAD KHALIFA : Kami di
sini menawarkan pelbagai kursus antaranya bahasa, pengajian Islam, pengurusan,
teknologi maklumat, kejuruteraan dan pendidikan. Pelajar-pelajar kita
keseluruhannya kira-kira 3,000 orang. Jumlah ini termasuk mereka yang mengikuti
pengajian secara talian atau maya dan mereka ada di seluruh dunia manakala para
pensyarah terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mereka datang dari 40
buah negara. Ada yang datang dari Mesir, Arab Saudi dan Syria.
MINGGUAN : Apakah harapan
Sheikh kepada Malaysia dan negara-negara Islam yang lain?
MOHAMMAD KHALIFA : Sekali
lagi saya katakan Malaysia adalah sebuah negara yang maju, sebuah negara yang
mula memiliki tamadunnya yang tersendiri. Harapan saya negara-negara dari dunia
Islam yang lain mengambil Malaysia sebagai contoh dalam usaha membina kejayaan
di negara masing-masing.
Sheikh Prof. Dr.
Mohammad Khalifa Al-Tamimi ialah Reaktor Universiti Antarabangsa Madinah, Shah Alam, Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan