KUALA LUMPUR 5 Okt. -
Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan
pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan
memberi mereka penempatan pada tahun depan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,
keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan
guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Menurut Timbalan Perdana Menteri,
pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan
kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga
dikendalikan suruhanjaya itu.
"Sehubungan itu, graduan
pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.
"Mengikut rekod Kementerian
Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan
pengajian mereka pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini
hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran menjelaskan, sebanyak 2,960 graduan telah dikenal pasti menamatkan
pengajian mereka sebelum 1 Julai 2012 dan telah dijadualkan untuk ditemu duga
oleh SPP.
Pecahan mereka adalah seperti berikut:
* Seramai 2,478 orang
daripada program Jawi, al- Quran, Arab dan Fardu Ain (j-Qaf);
* Sejumlah 368 orang
daripada program Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL);
* Sebanyak 90 orang
daripada program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) IPG dan IPTA, termasuk
mereka daripada Program Pelajar Cemerlang (PPC);
* Seramai 14 orang
daripada program Bahasa Perancis
* Sejumlah 10 orang
calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.
Muhyiddin menjelaskan, sementara
SPP menyelesaikan urusan temu duga, kementerian akan membuat penempatan secara
interim bagi kumpulan berkenaan mulai 16 Oktober ini manakala pelantikan tetap
adalah tertakluk pada keputusan temu duga oleh suruhanjaya itu.
Bagi kumpulan yang akan
menamatkan pengajian mereka selepas Jun 2012 iaitu seramai 7,755 orang,
ujarnya, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk pelantikan ke jawatan PPPS
Gred DG41 kepada SPP supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.
"Penempatan mereka yang
lulus temu duga SPP akan dibuat pada 2013.
"Kepada mereka yang berjaya
dan akan dilantik sebagai pendidik kelak, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh
dedikasi," kata beliau.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan