Khamis, 4 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : Melestarikan pendidikan berkualiti


Oleh : PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

SEJAK setahun lalu, pendidikan menjadi tumpuan ramai baik dalam kalangan yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Ini kerana pendidikan dianggap penyumbang utama kepada pembinaan dan pengisian sesebuah negara bangsa termasuk Malaysia.

Pengajian asas dilihat penting untuk membolehkan negara terus bersaing dengan negara-negara lain terutama negara maju.

Bajet yang dibentangkan minggu lalu jelas memaparkan komitmen kerajaan terutama melalui Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi sistem pendidikan ke arah pembentukan masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama; masyarakat yang mempunyai pengetahuan, skil dan kemahiran diselaputi dengan nilai, semangat patriotisme dan moral dalam melahirkan modal insan yang berkarakter tinggi dengan adanya nilai intelektual, spiritual, emosi dan fizikal; hubungan konstruktif ke arah masyarakat kelas pertama, cerminan falsafah pendidikan kebangsaan untuk melahirkan pembangunan holistik dalam kalangan pelajar.

Yang penting dalam Bajet 2013 bertemakan 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati', adalah 'kualiti' untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk mentransformasi sistem pendidikan dan turut memperkasakan sistemnya.

Sebanyak RM11.1 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial yang turut melibatkan pendidikan dan latihan. Sektor pendidikan diperuntukan 21 peratus (%) daripada bajet untuk memperkukuhkan pemetaan kelangsungan pendidikan sebagai tunggak pembentukan negara bangsa dengan berfokuskan kepada kemakmuran dan kesejahteraan sosial negara.

RM38.7 bilion pula akan diperuntukan untuk memperbaiki kualiti pendidikan dan tambahan sebanyak RM500 juta untuk mengembangkan latihan guru dalam bidang subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik ke arah pembangunan skil pemikiran yang lebih baik.

Kerajaan juga memperkenalkan inisiatif seperti insentif bebas cukai dan geran untuk membuka tadika baru; RM1.2 bilion untuk pembangunan prasekolah dan RM1 bilion untuk penambahbaikan sekolah, RM400 juta untuk sekolah kebangsaan di samping RM100 juta untuk sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil, mubaligh, agama, berasrama penuh dan MRSM.

Ada pihak yang mencadangkan agar PTPTN dimansuh, diberikan pendidikan percuma dari prasekolah sehingga universiti serta RM500 sebagai elaun khas untuk guru tetapi ia lebih dilihat sebagai pendekatan populis untuk memanipulasi pemikiran umum seolah-olah untuk memberikan harapan kepada pemegang saham dalam pendidikan daripada kaca mata mereka sendiri.

Namun, kerajaan secara berterusan memberikan sokongan dan bantuan secara realistik yang diterima dan disokong. Malahan, untuk menggalakkan tabungan pendidikan, mereka yang menyumbang kepada Skim Tabungan Pendidikan diberikan pelepasan cukai RM6,000 berbanding dengan RM3,000 sebelumnya.

Baucar RM100 untuk murid sekolah rendah dan menengah serta RM250 baucar buku untuk pelajar institusi pengajian tinggi dengan kenaikan RM50 daripada sebelumnya; diskaun untuk pembayaran semula pinjaman PTPTN berasaskan kepada pembayaran konsisten menunjukkan bahawa yang mahu dilahirkan adalah pelajar yang bertanggungjawab dan memahami bahawa PTPTN bukan 'hak' tetapi adalah satu 'keistimewaan'.

Mengenal pasti aspirasi dan cabaran yang diperincikan dalam laporan awal pemetaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012, 'pelaksanaan' menjadi tumpuan dan tunjang utama daripada pembentangan bajet ke atas sektor pendidikan.

Kerajaan sedar bahawa hanya melalui hasil akhir pelaksanaan yang bersifat empirikal, umum akan memberikan pengiktirafan dan kepercayaan ke atas sistem pendidikan negara.

Menteri Kewangan memberi kepastian bahawa Unit Pelaksanaan Pendidikan akan memainkan peranan penting dalam proses penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Untuk meninjau dan melangkah ke hadapan dalam pendidikan, maka pendidikan akan memberi fokus kepada pelaksanaan dengan bantuan sistem sokongan yang strategik.

Pendidikan adalah satu proses dan umum perlu memberikan ruang kepada kesemua yang terbabit dalam pelaksanaan untuk meneruskan agenda yang sudah dirangka dengan perancangan Bajet 2013.

Melestarikan sistem pendidikan dalam kerangka holistik hanya akan berjaya sekiranya kesemua yang terlibat secara implisit mahupun eksplisit bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan ketara, agar visi mentransformasi negara ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 dapat direalisasikan dengan jayanya.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan  Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www,utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan