Oleh : SUHARNE ZAINUDIN
"MEMANG wujud kesukaran dalam mencipta sesuatu istilah," kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.
Namun begitu katanya, hal itu bukanlah
alasan untuk melabelkan bahasa Melayu sebagai satu bahasa tiada standard. Hal
ini tidak berlaku pada bahasa Melayu sahaja, bahasa lain turut menghadapi
keadaan serupa termasuklah bahasa Inggeris.
Dalam bahasa Inggeris, lebih 65
peratus daripada kosa kata, tidak
termasuk istilah, bukan asli berasal daripada bahasa tersebut.
Ada yang diambil daripada bahasa Arab dan Perancis.
"Contohnya perkataan bread
(roti) diambil daripada bahasa Jerman, brott dan menurut kamus dwibahasa RJ
Wilkinson, perkataan compound (kompaun) berasal daripada perkataan
kampung," jelasnya.
Awang berkata, dalam bidang sains istilah atau perkataan
sebahagiannya diambil daripada perkataan bahasa asing kerana amat sukar untuk
dicari atau dipadankan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, perkataan atau istilah
asing yang diperoleh diambil dan diubah suai.
"Mencipta sesuatu istilah
bukan mudah. Ia memerlukan kajian mendalam dan memakan masa lama. Harus
diingat, mencipta istilah atau menggubal sesuatu istilah bukan bidang kuasa DBP
sebaliknya golongan cendekiawan atau sarjana yang terlibat secara langsung
dalam bidang berkenaan.
"Peranan DBP sebagai
penyelaras yang melantik dan mempertemukan ahli ilmu daripada pelbagai bidang
sebagai jawatankuasa istilah bagi tujuan menggubal dan mencipta istilah menurut
bidang masing-masing," katanya sambil memberitahu DBP antara lain
berperanan memberi khidmat nasihat dari segi bahasa, tatabahasa dan ejaan.
Menjawab pertanyaan, mengapa
banyak berlaku keadaan penggunaan bahasa asing yang diubah suai sedangkan
bahasa Melayu mempunyai perkataan bagi maksud serupa, beliau berkata, hal ini
terjadi kerana mereka tidak merujuk DBP
terlebih dahulu.
"Contohnya perkataan bajet,
kita ada belanjawan; konsisten, kita ada tekal; kolaborasi, kita ada kerjasama;
informasi, kita ada maklumat. Tetapi orang tidak peka.
"Mahu juga menggunakan
bahasa asing yang diubah suai sendiri, seterusnya kekal dan diisytiharkan
sebagai bahasa, sedangkan belum lagi diangkat sebagai bahasa baku," ujar
Awang.
Di dalam kamus DBP, beliau
menambah, mana-mana perkataan ditandakan dengan BP adalah penanda bagi merujuk
perkataan tersebut sebagai bahasa percakapan umum.
"Saya mengajak supaya agensi
kerajaan, pihak swasta mahupun NGO merujuk DBP terlebih dahulu sebelum
mencipta sesuatu singkatan, istilah ataupun mencipta sesuatu perkataan. Ini penting
dalam usaha menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan