Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) mengemukakan 15 resolusi kepada kerajaan untuk meningkatkan
kualiti pembelajaran, termasuk penambahbaikan segera kelemahan sistem
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Permintaan lain ialah menggubal segera jadual gaji baru
pegawai perkhidmatan pendidikan dan dilaksanakan pada Januari depan dan
mengehadkan 1,000 pelajar di setiap sekolah.
Kesatuan juga meminta kepemimpinan pengurusan serta
pentadbiran peringkat kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran
daerah dan sekolah mesti mempunyai latar belakang pendidikan dan perguruan.
Resolusi diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin oleh Presiden NUTP, Hashim Adnan, bersama barisan kepemimpinan
tertingginya pada majlis dihadiri 5,000 ahli kesatuan semalam yang turut
berikrar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
Menurut resolusi itu, kelemahan PBS perlu diperbaiki kerana
ia antara isu utama guru dan dianggap membebankan, manakala cadangan mengehadkan
jumlah pelajar bagi membolehkan kawalan kualiti pelajar serta guru secara
berkesan oleh pentadbir sekolah.
Laksana segera peraturan
Kementerian juga diminta melaksanakan segera peraturan yang
sudah dipinda bagi memantapkan disiplin pelajar sekolah dengan jelas dan tepat.
Muhyiddin dalam ucapannya menyifatkan resolusi khas itu
sebagai penting dan memberi jaminan kementerian akan berbincang dengan NUTP
dalam tempoh dua minggu sebelum laporan diserahkan kepadanya.
Katanya, cadangan yang munasabah akan dikemukakan kepada
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan
sewajarnya.
“Sejak dulu kita komited melihat profesion keguruan sentiasa
hebat. Kita perlu memastikan sistem pendidikan dapat menjana modal insan lebih
cemerlang dan sebahagian besarnya terletak atas tanggungjawab guru. Justeru,
kita sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan guru,” katanya.
Mengenai isu PBS, beliau berkata, ia diperkenalkan berikutan
pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebagai anjakan mengubah sistem
pendidikan negara yang terlalu menjurus kepada pencapaian dalam peperiksaan
awam.
Langkah penambahbaikan
“Ia mungkin memerlukan beberapa langkah penambahbaikan. Saya
sedar kerana mendapat maklum balas kesulitan guru. Bagaimanapun, saya yakin
apabila sudah diatasi, ia tidak menjadi masalah. Mungkin pada peringkat awal,
ia dianggap beban kerana kerja baru,” katanya.
Pada sidang media kemudian, Muhyiddin berkata, kementerian
mengamalkan sikap terbuka kepada pandangan atau tuntutan.
Mengenai sama ada perkara yang dibangkitkan NUTP akan
ditambah dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, beliau berkata
ia akan dilaksana berdasarkan keperluan.
Resolusi lain:
- Mewujudkan segera jawatan pembantu guru Gred N17 di semua sekolah bagi mengatasi masalah urusan pentadbiran inventori dan pengurusan data serta maklumat pelajar.
- Struktur majlis permuafakatan kesatuan/ persatuan guru dikaji supaya lebih demokratik dan berkesan berdasarkan bilangan keahlian dan peraturan rasmi.
- Peruntukan kewangan mencukupi bagi pembayaran gaji guru ganti diturunkan ke JPN/PPD pada awal tahun bertujuan mempermudah pengambilan guru ganti, termasuk guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT)
- Setiap program membabitkan guru mesti mengambil kira peruntukan kewangan standard dan mencukupi bagi melancarkan pelaksanaan secara berkesan dan berkualiti menjurus kemenjadian murid.
- Mewujudkan perjawatan dan peluang naik pangkat lebih cerah di Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan