Oleh : PROFESOR DR SIDEK BABA
Ulama dalam maksud yang luas
tidak hanya memiliki ilmu atau pengkhususan mengenai Islam. Ia memiliki
perancangan dan program bagaimana pengkhususannya direalisasikan dan menjadi
contoh ikutan yang memberi manfaat kepada manusia.
Ulama bukan sekadar memiliki imej
luaran, tetapi harus memiliki kebijaksanaan bagaimana sumber al-Quran dan al
Hadith, ijmak dalam kalangan ulama tersohor dijadikan panduan dan pedoman serta
tegak dalam sistem dan model perubahan serta kemajuan.
Menginsafi umumnya orang yang
berimej ulama memiliki keterbatasan dalam bidang ilmu dan pengkhususan, para
ilmuwan dalam bidang tertentu dan profesional berjiwa Islami amat diperlukan
untuk melengkapkan kerja-kerja ulama.
Perubahan dalam sistem dan
pemerintahan tidak boleh didekati dengan semangat dan retorik semata-mata.
Ulama, ilmuwan dan profesional yang memiliki kepakaran dalam bidang syariah
umpamanya dan memiliki latar fiqh dan usul-fiqh yang hebat akan sentiasa
menyumbang terhadap pembangunan tijarah dan muamalah serta akhirnya mampu
membangunkan sistem ekonomi Islam itu sendiri.
Cabaran sedang menunggu di
hadapan kita kini tidak sekadar ulama dan ilmuwan yang tinggi produktiviti
rohaniahnya, tetapi hebat dalam produktiviti amaliahnya.
Hasil kerjanya tidak saja
terlihat dalam watak dan peribadi yang tawaduk sifatnya, tetapi memiliki
kebijaksanaan yang tinggi dan terus istiqamah dalam melakukan perubahan
meskipun berdepan dengan cabaran pelbagai.
Kadang-kadang para ulama
mengharapkan pihak lain melakukan perubahan ikut acuan yang Islami. Tetapi
orang atau pihak yang diharapkan itu tidak memiliki keupayaan dan kekuatan
untuk melakukan perubahan.
Di sini pentingnya ulama,
profesional, orang atau pihak lain melakukan sinergi supaya kemampuan dan
bidang peranan yang berbeza boleh menyebabkan tercetusnya perubahan serta
kemajuan mengikut acuan diperlukan.
Sebab itu amat penting ulama
diprofesionalkan dan profesional diberikan orientasi ulama supaya sinergi ini
mampu mengangkat martabat Islam. Malah kalau umarak dapat diulamakan dan ulama
yang holistik kemampuannya diberikan peranan memimpin, cetusan perubahan boleh
terjadi.
Islam bukan sekadar suatu sistem
kepercayaan yang rohaniah sifatnya. Ia adalah suatu cara hidup membangun
landasan tamadun.
Ilmu yang diperlukan tidak
sekadar ilmu mengurus diri yang sifatnya diniah, tetapi juga ilmu mengurus
sistem yang memberi kemampuan sains dan teknologi supaya Islam tidak saja
terlihat dalam disiplin diri dan hati, tetapi terpancar dalam disiplin sains
dan teknologi untuk mengurus sistem.
Al-Quran tidak saja menekankan
pentingnya manusia memiliki kekuatan ibadah yang tinggi, tetapi juga sebagai
khalifah mengurus diri, keluarga, umat dan sistem. Sebagai ibadullah dan ibadur
rahman, kualiti ketaatan, kepatuhan, keakuran dan ketundukan amat dituntut
supaya terbangun jiwa kekhalifahan yang mampu mengurus sistem.
Oleh itu sinergi ulama dan
profesional adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Adalah suatu kemujuran
pengalaman profesional hari ini terdedah dengan kesedaran rohaniah dan
tarbiyyah sejak belajar di dalam dan luar negara lagi. Dukungan ulama’
menyantuni professional boleh menyebabkan perubahan tercetus dan model Islami
dalam sistem terjadi.
Ulama tidak sewajarnya terlihat
dalam pengasingan dan dirujuk dalam hal-hal agama semata-mata. Ulama yang
relevan dengan perubahan zaman dan cabaran lingkungan adalah yang bersedia
mengajar orang lain dan belajar daripada orang lain juga.
Profesional pula tidak harus
bergantung kepada pengkhususan yang dimiliki saja, tetapi menghubungkan daya
profesionalnya dengan pedoman agama supaya hasil kerjanya menjadi sebahagian
daripada kerja-kerja ibadah.
Cabaran kini adalah teknologi
tinggi (high-tech). Bagaimana ulama mampu menyantuni sains dan teknologi
dengan pendekatan keinsanan (high-touch) supaya teknologi dilihat
selamanya alat bukannya matlamat.
Keupayaan memahamkan nilai guna
yang betul adalah suatu keperluan supaya teknologi dipedoman dengan etika dan
nilai yang baik, di samping perisian dan program yang bermanfaat.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan