Selasa, 25 Disember 2012

ISU SOSIAL : Belanja wang bonus secara hemah



Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Ramai penjawat awam sudah menerima sebahagian wang bonus sebagaimana yang dijanjikan kerajaan dalam Bajet 2013 lalu.

Malah tidak kurang juga syarikat-syarikat swasta yang turut mengisytiharkan dan membayar wang bonus kepada pekerjanya sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap segala penat-lelah yang disumbangkan.

Hakikatnya, menerima wang berlebihan dalam saku merupakan suatu rahmat yang amat bermakna bagi setiap penerimanya. Namun bagi orang Islam, apa lebih mustahak ialah bagaimana untuk membelanjakannya mengikut prinsip dan lunas-lunas digariskan Islam.

Sememangnya aspek perbelanjaan dan pengurusan kewangan merupakan antara ciri-ciri utama mukmin. Bahkan dalam permulaan surah Al-Baqarah, kedudukannya disejajarkan ALLAH dengan ibadah sembahyang sebagaimana firman-Nya: (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. (Al-Baqarah: 3).

Ayat ini jelas mengisyaratkan, rezeki dan harta yang dimiliki merupakan kurniaan ALLAH yang wajib dibelanjakan berasaskan prinsip dan nilai syariat. Dalam konteks ini, syariat Islam sememangnya jelas memperincikan ikatan dan batasan dalam perbelanjaan.

Ditegaskan ALLAH dalam surah Al-Furqan ayat 67 sebagai sebahagian daripada ciri-ciri Ibadurrrahman: “Dan juga mereka (yang diredai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.

Dalam ayat ini ALLAH jelas mengisyaratkan bahawa pendekatan berbelanja adalah berpaksikan pada prinsip wasatiyyah atau kesederhanaan dan menengah antara bakhil dan boros.

Pendekatan berbelanja ini semestinya menyebati dalam kehidupan kita sebagai orang beriman, bahkan bertitik-tolak pada keyakinan mutlak bahawa ALLAH sahajalah penentu rezeki kita sebagaimana ayat:

“Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya” (Al-Isra’:30).

Kita harus sedar setiap sen daripada harta akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH pada setiap insan. Ini disebut jelas dalam Hadis Nabi SAW bahawa setiap anak Adam apabila dia mati maka antara soalan wajib yang akan ditanya malaikat adalah mengenai hartanya: Dari mana dia peroleh dan bagaimana pula dia membelanjakannya? (Hadis Sahih dalam Sunan Tirmizi 4/612)

Sebagaimana seorang Muslim tidak bebas untuk memperoleh harta daripada sumber haram, maka dia juga tidak bebas untuk membelanjakan hartanya dalam perkara haram. Bahkan dia tidak dibenarkan untuk berbelanja secara berlebih-lebihan walaupun dalam perkara halal.

Begitulah hebatnya Islam berbanding agama-agama lain yang membenarkan penganutnya untuk menikmati kehidupan di dunia. Walau bagaimanapun Islam juga membatasi kebenaran yang diberikan ini agar manusia tidak melanggar had-had keseimbangan.

Islam menentang keras, bahkan mengisytiharkan perang menentang kecenderungan bermewah-mewahan. Al-Quran jelas menyebut kemewahan merupakan ciri-ciri utama penghuni neraka yang bakal mendapat kemurkaan dan seksa pedih daripada ALLAH.

Firman ALLAH: Dan golongan kiri, siapakah golongan kiri itu? Dalam (seksaan) angin yang amat panas dan air panas mendidih, dan dalam naungan asap hitam, tidak sejuk dan tidak menyenangkan. Sesungguhnya mereka sebelum itu hidup bermewah-mewah. Dan mereka terus-menerus mengerjakan dosa besar. (Al-Waqiah: 41-46)

Jika diselidiki secara rasional dan objektif, kita dapati kecenderungan untuk hidup mewah dan bergayalah yang sering kali menjerumuskan seseorang untuk berbelanja kadangkala melebihi kemampuan. Keghairahan untuk memenuhi tuntutan gaya hidup bermewah-mewahan jugalah yang sering menjerumus seseorang untuk berhutang melalui kad kredit mahupun produk pembiayaan peribadi yang lain.

Justeru, pendidikan menguruskan kewangan dan perbelanjaan berhemah merupakan suatu keperluan mendesak untuk diperluas dan diperhebatkan dalam masyarakat ketika ini. Umat harus dididik agar dalam keghairahan mereka berbelanja jangan sampai terjerat dalam kancah hutang yang membinasakan.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan