Oleh : Akhbar Satar
Di Malaysia secara keseluruhan
setiap hari sembilan kanak-kanak didera atau seorang bagi setiap tiga jam.
Penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan peningkatan yang ketara dan
semakin kronik. Menurut laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebanyak 9,474
kes dera dilaporkan dalam tempoh tiga tahun ini. Kebanyakan kes tidak
dilaporkan kerana takut diugut, bimbang menjejaskan nama keluarga dan juga demi
masa depan kanak-kanak terutama kanak-kanak perempuan.
Penderaan bermaksud perbuatan
zalim yang dilakukan terhadap golongan kanak-kanak yang berusia kurang daripada
18 tahun. Kajian menunjukkan, kebanyakan mangsa mengenali pendera. Faktor
hubungan erat ini sering dieksploitasikan sebagai jalan keluar, malah aduan
anak kecil perlu diberi perhatian oleh ahli keluarga. Mengikut statistik Polis
Diraja Malaysia (PDRM), 40 peratus daripada pelaku adalah daripada kalangan ibu
bapa dan 19 peratus membabitkan pengasuh. Kanak-kanak yang didera adalah dalam
lingkungan umur satu hingga tujuh tahun dan 41 peratus daripadanya adalah
lelaki.
Pendera dikategorikan sebagai
tidak berperikemanusiaan kerana ada antara pendera adalah ibu bapa kandung,
tiri, kekasih dan keluarga terdekat. Kes terbaru berlaku ke atas Muhammad Faiz
Iqhmal Iskandar, dua tahun, meninggal dunia dengan kesan lebam di muka dan
kecederaan pada testis dipercayai akibat didera teman lelaki ibu kandungnya.
Kanak-kanak sering didera sama
ada dari segi fizikal, mental atau seksual. Penderaan dari segi fizikal ialah
penderaan yang meninggalkan kesan akibat dipukul, diterajang, dicucuh puntung
rokok dan lain-lain. Penderaan dari segi mental berlaku akibat kritikan
berterusan, ugutan serta ketiadaan kasih sayang dan diabaikan penjaga. Mangsa
akan mengalami kesan psikologi seperti tekanan jiwa, gangguan emosi dan mental.
Stres antara penyebab penderaan
Penderaan secara seksual adalah
apabila seseorang kanak-kanak digunakan untuk mencapai kepuasan seks, seperti
menyentuh bahagian sulit kanak-kanak, sumbang mahram, dirogol, diliwat dan
eksploitasi komersial menerusi produksi bahan lucah.
Peningkatan kes penderaan
kanak-kanak dilihat mempunyai korelasi dengan masalah stres akibat sikap
kebendaan masyarakat yang rela dibebani hutang demi keinginan menjalani gaya
hidup mewah. Masalah ekonomi juga mendorong ibu bapa untuk berkerja dan
menghabiskan waktu lebih lama di pejabat. Apabila tertekan, kecewa dan marah
akan mudah diterjemahkan dalam bentuk keganasan. Biasanya mereka yang lemah dan
tidak berupaya untuk melawan iaitu kanak-kanak sering menjadi mangsa.
Tambahan pula tabiat anak yang
masih kecil memang suka merengek dan menangis kerana mereka perlukan perhatian
sedangkan ketika itu ibu bapa dalam keadaan stres menyebabkan mereka melepaskan
geram terhadap anak mereka.
Ada juga antara ibu bapa yang
mendera anak mereka kerana krisis rumah tangga kerana terlalu cemburu atau
pertengkaran disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi
lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai
kekasih. Apabila ibu bapa bergaduh, mereka tidak mempunyai pertimbangan yang
baik di mana anak menjadi mangsa. Suami tidak boleh memukul isteri dan sebagai
ganti, suami akan memukul anak yang tidak mampu melawan.
Denda RM20,000
Perpisahan atau perceraian ibu bapa menjadi salah satu faktor berlakunya kes penderaan kanak-kanak yang menunjukkan trend peningkatan di negara ini. Pakar kriminolgi berpendapat faktor alam sekitar iaitu ‘crime is learned’ juga mempunyai kaitan dengan kes dera. Jika sekiranya kanak-kanak selalu diperlakukan dengan tindakan negatif seperti didera ketika kecil, mereka akan menjadi ganas apabila meningkat dewasa dan melakukan perkara yang sama kepada anak mereka kerana sudah biasa dengan perlakuan sedemikian.
Mana-mana pihak yang melakukan
penderaan terhadap kanak-kanak dan disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman
mengikut Seksyen 31(1) (a) mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan
hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya
sekali. Mahkamah wajar mengenakan hukuman maksimum kepada sesiapa saja yang
mendera kanak-kanak. Mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang boleh
menyebabkan juga pendera berasa takut hukuman yang bakal mereka hadapi dan
tidak akan melakukan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan.
Ibu bapa penting mengenal pasti
tanda-tanda penderaan seksual seperti perubahan tingkah laku, berahsia, marah,
menyisihkan diri, takut kepada gelap dan mengigau. Ahli keluarga, jiran serta
masyarakat memainkan peranan penting membuat laporan segera kepada pihak
berkuasa seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika mengesyaki
penderaan kanak-kanak berlaku. Talian Nur 15999 dikendalikan 24 jam menerima
laporan kes penderaan dan lain lain. Bagaimanapun, JKM perlu mencari jalan,
menghebahkan kepada masyarakat luar bandar cara yang sesuai dan mudah untuk
melaporkan kes-kes penderaan kepada JKM.
Budaya ‘menjaga tepi kain orang’
seharusnya dipandang secara positif oleh masyarakat dalam usaha membendung
masalah penderaan, khususnya membabitkan kanak-kanak.
Penulis ialah pakar kriminologi
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan