Jumaat, 14 Disember 2012

ISU SOSIAL : Persediaan hadapi risiko dituntut


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Era globalisasi, perkembangan dunia semakin pesat, dinamik dan penuh persaingan ini, kemungkinan pekerja untuk berdepan pelbagai bentuk kesukaran serta kemungkinan risiko sama ada yang boleh diduga mahupun tidak adalah tinggi.

Justeru, selain merancang dan berusaha untuk mencapai sasaran atau matlamat, pekerja perlu menyiapkan diri dengan persediaan serta kekuatan mengurus risiko. Risiko bermaksud perkara yang tidak dijangka dan ketidakpastian yang memberi kesan buruk atau negatif kepada kita.

Contoh risiko ialah penyakit, bencana, kemalangan dan sebagainya. Risiko boleh berlaku disebabkan faktor manusia sama ada disebabkan kekurangan, kecuaian atau kelalaian, proses kerja, kewangan, sistem dan peralatan.

Persediaan hadapi risiko

Oleh itu, mengurus risiko berkait rapat dengan persediaan menghadapinya, pemantauan dan penilaian yang berterusan untuk mengurangkan kemungkinan berlaku kejadian tak diingini. Ia adalah suatu aspek dalam mengurus kerja yang kadangkala terlepas pandang kecuali apabila ia sudah berlaku.

Jika bidang kerja memang terdedah dengan risiko seperti keselamatan dan pencemaran bak pepatah Melayu mengatakan sudah terhantuk baru tengadah.

Usaha persediaan bagi mengelakkan daripada risiko adalah suatu tuntutan dalam Islam. Sesuai dengan matlamat syariah untuk memelihara umat dan mengembangkan kebaikan serta menghindarkan keburukan.

Tawakal selepas berusaha

Satu hari Rasulullah SAW melihat seorang Arab Badwi meninggalkan untanya tanpa ditambat. Baginda bertanya kepada Badwi itu: “Mengapa kamu tidak menambat untamu? Badwi itu menjawab: “Aku bertawakal kepada Allah SWT.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Tambat unta kamu kemudian bertawakallah kepada Allah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain menunjukkan maksud tawakal adalah dengan berusaha terlebih dulu kemudian barulah berserah kepada Allah SWT, nasihat Rasulullah SAW juga membuktikan persediaan perlu dalam mengurus risiko.

Dalam konteks ini, risikonya ialah kehilangan unta. Malah, dalam sabda Baginda yang masyhur mengenai merebut lima perkara nikmat juga membuktikan ajaran Islam menggalakkan kita bersiapsiaga sebelum datangnya lima risiko keadaan atau keburukan.

Sabda Rasulullah SAW: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara. (Iaitu) muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Sikap hadapi risiko

Justeru, antara pelbagai pendekatan Islam yang boleh diaplikasikan ialah pertama, persiapan sebelum berdepan risiko dan kedua, sikap ketika berdepan risiko.

Persiapan untuk mengurangkan risiko bermula dengan kesedaran dan kefahaman bahawa risiko adalah ujian. Manakala sikap yang perlu ada apabila mendepani risiko ialah tabah dan tidak mudah putus asa atau berpantang mati sebelum ajal.

Pekerja yang faham mengenai ujian dalam kehidupan akan lebih mudah menerima hakikat risiko dan berdepan dengannya secara tenang, tidak mudah berputus asa serta bersikap terburu-buru dalam tindakan atau dengan mudah pula menuding jari kepada yang lain.

Ujian sekadar mendidik

Pemikiran positif yang ditanamkan mengenai ujian ialah ia untuk mendidik bukannya menghukum. Menurut Sheikh al-Imam Ibn ‘Ataillah al-Sakandari dalam al-Hikam, ujian mendidik kita supaya menilai kelemahan diri, tindakan, amalan, mendidik jiwa sabar, taubat supaya bertakwa kepada Allah SWT.

Apabila manusia terdidik melalui ujian ini, Allah SWT akan memberikan pertolongan serta meninggikan pula kedudukannya.

Iktibar boleh diambil dalam peristiwa Perang Badar seperti pertolongan Allah SWT dalam firmanNya: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan daripada Tuhan kamu, lalu diperkenankan oleh-Nya bagi kamu: Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.” (Surah al-Anfal, ayat 9)

Peluang capai matlamat

Begitu juga dalam konteks risiko. Kejayaan mengurus risiko bererti pekerja berjaya membuka lebih banyak peluang untuk mencapai matlamat disasarkan yang akan membawa kepada peningkatan pencapaian organisasi.

Manakala ketika berdepan dengan sebarang ujian atau risiko pula kita perlu tabah dan tidak mudah berputus asa. Kita diingatkan bahawa berputus asa adalah sikap orang yang sesat lagi dibenci Allah SWT.

Penulis ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan