Ahad, 1 Januari 2012
ISU AGAMA : Azam patut seimbang usaha cari reda Ilahi
Oleh Ustaz Syed Abi Ghufran Syed Ahmad al-Idrus
KITA sekali lagi diberi peluang melangkah kaki ke tahun baru Masihi 2012. Sama ada sedar atau tidak, kedatangan tahun baru menandakan usia meningkat dan kita kian menghampiri saat kematian.
Sudah menjadi tradisi, apabila tiba tahun baru, kita menyambutnya dengan semangat baru, diari baru dan segalanya baru. Sebenarnya dalam Islam tiada istilah tahun baru atau lama kerana kita sentiasa dituntut taat kepada Allah setiap masa, dari awal tahun hingga akhir tahun, daripada umur baligh hingga ke liang lahad.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr, ayat: 99 yang bermaksud “...dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba kepada kamu kematian...”.
Tidak menjadi kesalahan apabila budaya menyambut tahun baru ini kita selarikan dengan kehendak dan tuntutan syarak. Justeru, kita sepatutnya lebih mengutamakan kebaikan, menjauhi kejahatan, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan jujur dalam gerak kerja.
Kita wajar sentiasa bermuhasabah setiap masa agar menepati saranan dituntut Allah SWT supaya menjadi hamba yang taat kerana ini asas yang perlu dibina dalam mencari tujuan hidup sebenar iaitu beribadat kepada Allah SWT bukan mencari keseronokan duniawi semata-mata. Firman Allah SWT dalam surah azd-Dzariyaat, ayat 56 yang bermaksud: “dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.”
Setahun berlalu pasti melakarkan catatan penting yang boleh dijadikan iktibar. Jika tahun lalu, banyak kepincangan dalam hidup kita secara disengajakan atau tidak, maka tahun ini kita berazam tidak mengulangi kepincangan sama.
Jika tahun lalu kita menempa kejayaan, maka tahun ini biar kita mencipta kejayaan lebih baik kerana seseorang Muslim sentiasa mengarahkan diri ke arah lebih baik, seperti kata Saidina Umar: “Celakalah bagi Muslim yang hari ini lebih buruk daripada semalam dan esok lebih buruk daripada hari ini.”
Sesuatu yang lumrah, tahun baru sering dikaitkan dengan soalan, apakah azam dan cita-cita tahun baru? Golongan artis pasti memasang azam lebih cemerlang dalam lagunya dan menghasilkan filem atau album lebih meletup.
Ahli perniagaan pula bercita-cita mengembangkan perniagaan agar mendapat keuntungan berlipat ganda, manakala ahli sukan menggandakan lagi usaha menempa nama negara di mata dunia.
Amat jarang kita dengar, orang menyuarakan cita-cita menjadi hamba Allah lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih patuh atau taat kepada hukum Allah dan lebih menghayati ajaran Islam secara syumul.
Tidak salah menanam azam tetapi biar seimbang dalam usaha mencari kecemerlangan dunia dan akhirat. Selain itu, usaha bersungguh-sungguh perlu disusuli supaya azam menjadi realiti. Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran, ayat 159 yang bermaksud: “Maka apabila engkau berazam, bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Perkara lain yang perlu diberi perhatian serius ialah pengisian sambutan tahun baru. Kita bimbang dan sedih apabila melihat sambutan tahun baru sering dicemari dengan upacara penuh unsur maksiat yang jelas menyalahi hukum dan menyimpang daripada adat dan budaya Melayu.
Ada pihak menganjurkan sambutan dengan acara nyanyian yang melalaikan, minum arak dan pergaulan bebas.
Penganjuran seumpama ini membuka satu lagi ruang bagi mengundang kemurkaan Allah SWT. Maka sudah muda-mudi yang dahagakan hiburan akan terpikat dengan program ini. Maka terlena dan hanyutlah mereka sehingga ada yang tenggelam dalam maksiat.
Sepatutnya tahun baru disambut penuh rasa syukur kepada Allah dengan berdoa atau menganjurkan majlis ilmu yang boleh membina minda untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT. Marilah kita jadikan tahun baru ini titik tolak untuk memperelokkan akhlak dengan mencontohi peribadi Rasulullah SAW.
Diharapkan juga tahun baru ini menjadi tahun kegembiraan. Dalam mengimpikan hasrat ini, usaha dan tekad perlu selari kerana kejayaan tidak datang bergolek. Begitu juga dengan kebaikan, tanpa azam dan pegangan kukuh pada nilai murni, ia tidak akan dapat dicapai.
Penulis ialah guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Satak, Raub, Pahang
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU EKONOMI : Ketidaktentuan cabaran ekonomi tahun baru
Oleh ROHAMI SHAFIE
TAHUN 2012, menurut pemenang Nobel Laureate dalam bidang ekonomi, Profesor Joseph E. Stiglitz merupakan permulaan bagi sesuatu yang baru dan berkemungkinan ia fasa yang lebih menggerunkan yang mana malapetaka ekonomi yang paling teruk bakal berlaku dalam tempoh tiga perempat abad ini. Kenyataannya, tahun 2012 adalah tahun yang penuh dengan misteri ketidaktentuan. Sukar dijangka apa akan berlaku pada tahun ini.
Meskipun pada tahun lalu, negara telah mengharungi liku-liku dengan sebaik mungkin dan pertumbuhan ekonomi tumbuh lebih baik berbanding negara-negara lain di rantau ini, tahun ini cabaran yang lebih besar lagi perlu dihadapi.
Pertama, keadaan ekonomi benua Eropah dijangka memberi kesan kepada negara-negara Asia, tidak terkecuali Malaysia. Mungkin ada yang berpendapat, Malaysia akan menerima kesan yang amat minimal, namun, itu tidak bermakna kita boleh berasa selamat tanpa mengambil pendekatan bersiap-siaga.
Krisis hutang Eropah memberi pengajaran sangat berguna betapa pentingnya mengurangkan hutang isi rumah rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, perlu diingat, banyak negara Asia seperti China juga bergantung harap pada negara-negara Eropah, maka secara tidak langsung jika ekonomi China berada dalam keadaan suram kesan daripada krisis hutang Eropah, negara-negara Asia yang lain juga akan terima kesannya.
Dunia juga tidak boleh mengharapkan Amerika Syarikat (AS) untuk menyelamatkan ekonomi dunia. Mana mungkin negara yang tenat ekonomi seperti AS mampu menyelamatkan ekonomi dunia.
Cabaran kedua, faktor geopolitik dunia memberi kesan kepada ekonomi dunia. Buktinya, apabila berlaku kebangkitan rakyat di negara-negara Asia Barat, bursa-bursa saham negara lain juga terkena tempiasnya. Kestabilan politik dunia tunjang kepada ekonomi dunia. Perbalahan, persengketaan dan peperangan tidak langsung memberi kebaikan kepada ekonomi dunia. Yang nyata, iktibar daripadanya wajar menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang mana Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja pada tahun ini.
Mana-mana negara sekalipun memerlukan kerajaan yang kuat untuk membangunkan ekonomi secara berterusan. Kerajaan yang lemah akan menyebabkan dasar dan polisi ekonomi sukar dilaksanakan secara efektif. Gelora politik yang tidak berkesudahan membantutkan pembangunan ekonomi. Jika ini berlaku, rakyat akan menanggung kerugian yang amat besar.
Cabaran ketiga mengekalkan momentum pertumbuhan 5-6 peratus untuk kekal di landasan yang betul menuju Wawasan 2020. Mampukah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) melonjakkan ekonomi negara dan seterusnya menjadi penampan kepada krisis hutang Eropah dan AS?
Fokus utama sudah tentu pada pelaburan langsung domestik (DDI) selain tidak boleh sesekali meminggirkan pelaburan langsung asing (FDI). Tumpuan pastinya ke arah sektor-sektor seperti hartanah, automotif, kewangan dan pelancongan selain minyak dan gas yang selama ini menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara. Keyakinan pelabur dan pengguna kunci utama pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini.
Selain krisis hutang Eropah, krisis tenaga dan makanan dunia memberi cabaran seterusnya kepada ekonomi negara. Bencana alam yang sukar diramal boleh berlaku pada bila-bila masa meningkatkan lagi kesan krisis tenaga dan makanan dunia. Antara yang perlu dipantau ialah harga minyak dan gas yang memberi kesan kepada harga barang dan tenaga elektrik.
Agenda negara untuk meningkatkan kuantiti tenaga boleh diperbaharui bakal mengurangkan tekanan harga tenaga elektrik yang akan ditanggung oleh pengguna akibat peningkatan kos penjanaannya. Tambahan lagi, krisis makanan terutamanya beras yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia juga akan menambahkan beban pengguna.
Banjir yang telah berlaku di Thailand akan meningkatkan harga beras yang diimport. Strategi terbaik beralih kepada negara-negara lain seperti Pakistan agar harga beras kekal tanpa membebankan pengguna.
Tahun ini juga daya saing menjadi cabaran utama kepada syarikat-syarikat tempatan. Dijangkakan lebih banyak pengambilalihan, penggabungan dan penyenaraian syarikat-syarikat di Bursa Malaysia. Antara yang berkemungkinan berlaku, penggabungan bank-bank tempatan.
Namun, proses penggabungan tidak semudah yang disangka. Pemilihan bank-bank untuk bergabung sesama sendiri pun satu episod yang cukup mencabar. Ini belum dikira pengekalan jenama korporat bank-bank yang akan bergabung dan proses penyelesaiannya akan memakan masa yang lama.
Sekiranya ia tidak diurus dengan baik, pengabungan akan memudaratkan urusan perniagaan bermula dari pihak atasan sehingga kepada para pekerja dan pihak luar serta para pelanggan bank tersebut.
Cabaran seterusnya pelaburan kerajaan melalui Khazanah Nasional Berhad yang mana pegangan kerajaan akan dikurangkan bagi menambah kecairan di pasaran. Pegangan ini wajar direbut oleh syarikat-syarikat tempatan supaya tidak terlepas kepada pihak asing. Tragedi ESSO terlepas kepada pihak asing pada tahun lalu seharusnya menjadi iktibar kepada syarikat-syarikat tempatan.
Cabaran terakhir yang tidak kurang pentingnya ialah dalam menangani penyelewengan, pecah amanah dan rasuah. Kesemua ini meningkatkan kos perniagaan yang akhirnya memudaratkan ekonomi negara.
Justeru, para pemimpin dan rakyat perlu sentiasa berganding bahu dan bersedia menghadapi cabaran-cabaran ekonomi 2012. Sebarang kelekaan boleh membawa padah kepada ekonomi negara.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/