Jumaat, 20 Januari 2012

ISU SOSIAL : Konsep wasatiyyah bawa keamanan


SERUAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menolak keganasan dan ekstremisme dalam semua bentuk serta mendukung kesederhanaan cara bergerak ke hadapan yang patut diberi pujian dan harus disokong semua orang yang berfikiran rasional dan menyayangi keamanan.

Dalam ucaptama pada perasmian Persidangan Antarabangsa mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global, Perdana Menteri menyatakan keperluan untuk mendengar daripada kumpulan sederhana daripada semua agama dan diberi penjelasan mengenai konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.

Dalam ucapan sulungnya pada sesi ke-65 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September 2010, Najib menggesa pemimpin dunia untuk menggerakkan pembangunan Pergerakan Kesederhanaan Global daripada semua fahaman kepercayaan untuk mendukung agenda keamanan dan pragmatisme yang akan meminggirkan golongan pelampau.

Terbukti berkali-kali di banyak tempat di dunia, bahawa pelampau dalam apa jua bentuk menimbulkan ancaman terbesar kepada keamanan dan keharmonian.

Sudah tiba masa untuk semua rakyat yang cintakan keamanan berdiri teguh mendukung kesederhanaan. Dunia mesti menerima kesederhanaan dan menjadikannya sebagai amalan dalam semua aspek kehidupan.

Bagaimanapun, ia mesti diberi penekanan bahawa untuk menjayakan pendekatan kesederhanaan, ia bukan saja mesej di bibir, malah ia perlu dimartabatkan dan diamalkan oleh rakyat serta pemimpin.

Tingkah laku dan sikap sederhana berasaskan hormat menghormati dan saling menerima boleh memastikan perubahan positif untuk kebaikan negara.

Ekstremisme tidak boleh diterima kerana ia terbukti membawa kerosakan kepada masyarakat dan negara, oleh itu hanya kesederhanaan yang boleh membuka jalan bagi keamanan dan keharmonian.

Di samping kita ingin melihat kesederhanaan di pentas dunia, kita di Malaysia mesti menerajui dan menjadi contoh dengan mempraktikkan kesederhanaan sebagai amalan kehidupan seharian kita.

Dalam hal ini, pemimpin politik dan agama serta semua ahli komuniti di Malaysia mesti komited dengan kesederhanaan di dalam ucapan dan perbuatan mereka.

Tiga inisiatif yang diumumkan oleh Najib, iaitu penubuhan Institut Wasatiyyah di bawah naungan pejabat Perdana Menteri, Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global dan mewujudkan kerusi di Universiti Malaya adalah langkah yang positif untuk menggalakkan konsep kesederhanaan sebagai cara ke arah keharmonian, keamanan, dan kestabilan.

Konsep 1 Malaysia yang menggabungkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara adalah gambaran wasatiyyah dan selaras dengan kesederhanaan. Apa yang menjadi keutamaan ialah supaya kita semua memberi komitmen untuk melaksanakannya.

LEE LAM THYE,
Pemegang Amanah,
Yayasan 1Malaysia.

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan jadi perisai paling berkesan


Oleh Khaled Nordin
bhnews@bharian.com.my


Dasar sederhana Malaysia menerusi modal insan berilmu mampu atasi ekstremisme

GAGASAN kesederhanaan dan penubuhan Institut Wasatiyyah seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini jelas menggambarkan komitmen dan iltizam Malaysia meletakkan kesederhanaan sebagai asas pemikiran dan pembangunan modal insan yang tepat untuk negara juga dunia. Kesederhanaan mendorong pemikiran manusia menolak perbuatan melampau atau ekstremisme, sebaliknya mempromosi keseimbangan yang mengutamakan kesejahteraan bersama.

Perbuatan melampau sering dikaitkan dengan tahap ilmu seseorang yang rendah, menjadikan emosi dan semangat keterlaluan sebagai asas bertindak terhadap sesuatu perkara. Maka timbullah implikasi tidak baik yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan mengancam keselamatan awam juga negara.

Oleh kerana itu, Malaysia meletakkan pendidikan sebagai agenda utama negara bukan saja untuk melahirkan tenaga kerja bagi memenuhi keperluan negara, tetapi mengupayakan pemikiran rakyat agar rasional, seimbang dan berpijak di bumi nyata. Pendek kata, mereka yang tahu dan mahu meletakkan keutamaan membangunkan masyarakat serta negara dan bukan memusnahkannya.

Kita sangat bertuah kerana sejak merdeka, kerajaan sememangnya amat komited terhadap pendidikan rakyat. Memang tidak dinafikan, bidang pendidikan mendapat peruntukan besar setiap tahun, misalnya untuk tahun ini, sebanyak RM50.1 bilion disediakan. Daripada jumlah itu, RM37.2 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, manakala RM12.9 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Lebih penting, matlamat dan tujuan pendidikan mendasari peruntukan besar ini, dan ia tidak lain dan tidak bukan, selari dengan gagasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.’ Kerajaan mahu membangun dan memaksimumkan potensi setiap rakyat, yang mana pendidikan perlu dinikmati semua yang berkelayakan tanpa mengira kaum, agama mahupun status sosial. Ia juga usaha murni menterjemah pendemokrasian pendidikan di negara ini apabila rakyat bebas menguasai ilmu dan kemahiran.

Bagi tujuan pendemokrasian pendidikan ini juga, tiga pendekatan diambil kerajaan. Pertama, menyediakan akses kepada pengajian tinggi mencukupi. Untuk sesi akademik 2012/2013, dianggar sebanyak 190,000 tempat disediakan bagi program pengajian sama ada di peringkat ijazah pertama, diploma dan sijil di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Ini tidak termasuk kira-kira 310,000 tempat yang akan disediakan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), sama ada bertaraf universiti, kolej universiti dan kolej swasta.

Bagi menambah akses pada masa depan, 121 kursus baru diluluskan dan akan diperkenalkan mulai tahun ini dan 2013. Daripada jumlah itu, 44 kursus ditawarkan di peringkat ijazah pertama yang kebanyakannya menjurus kepada Bidang Ekonomi Utama Nasional atau NKEA seperti kejuruteraan teknologi dan sains kesihatan.

Kedua, akses saja tidak memadai. Oleh itu, kerajaan juga menyediakan subsidi bagi mereka yang menyambung pengajian di peringkat tinggi. Selain peringkat ijazah pertama, mereka yang menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah, iaitu sarjana dan PhD turut diberikan biasiswa melalui program MyMaster (RM10,000 setahun) dan MyPhD (RM20,000 setahun). Untuk 2012, kementerian menyediakan peruntukan sebanyak RM80 juta untuk 8,000 tempat MyMaster manakala RM50 juta untuk 1,000 pembiayaan MhPhD dan 100 bagi PhD Industri.

Ketiga, selain akses dan subsidi, pembiayaan berbentuk pinjaman turut disediakan untuk mengurangkan beban rakyat. Sejak diperkenalkan pada 1997, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meluluskan pinjaman RM42.9 bilion untuk kira-kira 1.9 juta pemohon.

Pendekatan dan inisiatif ini jelas menggambarkan bagaimana pendidikan amat mudah dinikmati seluruh rakyat.

Jika di beberapa negara lain masih berlaku halangan mendapatkan pendidikan sama ada disebabkan faktor gender, sosial dan tahap ekonomi, Malaysia meneraju dengan meletakkan asas pendemokrasian pendidikan yang kukuh.

Sudah pastinya pelaburan besar yang lakukan kerajaan dalam bidang pendidikan dapat menyumbang kepada kemajuan, pembangunan dan kesejahteraan negara. Pendidikan asas kepada kebajikan dan kesejahteraan. Melalui pendidikanlah, ia mengupayakan masyarakat keluar daripada kemiskinan, bersedia menghadapi kehidupan dan melayakkan mereka mengambil peluang demi kemajuan masa depan.

Dalam konteks ini, pendidikan diharap menjana modal insan dan modal intelektual atau bakat yang akan mendukung pelan transformasi negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020.

Kita percaya dengan pelbagai bidang pengajian ditawarkan IPT, sama ada berbentuk akademik mahupun kemahiran, ia akan dapat menyediakan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Apatah lagi, dalam era ekonomi bersumberkan kreativiti dan inovasi, modal insan sebegini menjadi pemacu dan tonggak utama kepada keperluan dan masa depan negara.

Lebih jauh daripada itu, kita mesti menerima hakikat pendidikan bukan saja membawa kemakmuran dan kemewahan ekonomi negara semata-mata, tetapi ia adalah tunjang kepada pertahanan dan keselamatan negara. Seperti ungkapan Education is our first line of defense, pendidikan tidak lagi memenuhi keperluan konvensionalnya saja, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan negara.

Negara yang kuat, kukuh dan selamat, tidak lagi bergantung kepada kekuatan tradisional semata-mata, tetapi kini amat berkait rapat dengan faktor pendidikan yang menyediakan modal insan berilmu dan berpengetahuan tinggi.

Mereka ini bukan saja akan menyumbang kepada pembangunan negara, tetapi apa yang lebih penting, menerbitkan pemikiran tepat, solidariti tinggi dan meletakkan keutamaan kepada negara dan bukan diri sendiri.

Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Gembleng tenaga pastikan politik, akhlak berjalan selari


Oleh Ustaz Zaman
bhnews@bharian.com.my


ANTARA definisi atau pengertian kalimah ‘politik’ ialah menunaikan kehendak dan keperluan orang lain serta menjaga kebajikan manusia. Menurut Syekh Hasan Musallam (bekas Mufti Mesir), politik ialah kebijaksanaan seseorang dalam berinteraksi dan berurusan dengan orang lain. Bagaimanapun tiada definisi tepat melainkan perkara berkaitan kenegaraan, kebijaksanaan, muslihat, parti dan kumpulan tertentu.

Ini bermakna ia tidak jauh daripada istilah Islam yang bermaksud: “Pengurusan kebajikan sesama insan, menjauhi kerosakan dan fasad dalam masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.” (Ibnul Qayyim-I’lam al-Muaqii’n).

Menunjukkan bahawa menjaga kebaikan semua adalah matlamat utama politik yang dianjurkan oleh Islam. Ia juga menafikan unsur pragmatis yang bermatlamatkan kebendaan semata-mata.

Politik dan akhlak ialah pelengkap antara satu sama lain kerana memenuhi tuntutan teori dan praktikal. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman kenapa kamu tidak kotakan apa yang kamu ucapkan kerana ia amat buruk di sisi Allah SWT apabila kamu hanya mampu berkata-kata saja”. (As-Saf ayat 2 & 3).

Jelaslah bahawa ciri-ciri mereka yang beriman adalah melaksanakan apa yang diucapkan melalui hati, pancaindera dan pelaksanaan dalam tindakan.

Politik tanpa akhlak umpama senjata tajam yang berada di tangan orang yang ganas dan berbahaya. Natijah yang akan terhasil ialah kerosakan yang amat parah. Maka perubahan yang bakal berlaku adalah perubahan yang palsu tanpa meninggalkan kesan yang baik dalam pembentukan masyarakat cemerlang.

Jika dirujuk kepada suasana hari ini, khususnya pergolakan dunia Arab dan Islam menunjukkan bahawa sudah berlaku proses menentang fitrah manusia yang bencikan penindasan dan kezaliman. Allah juga tidak sekali kali akan merestui segala penindasan yang dilakukan sesama manusia. Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka yang dimatikan dalam keadaan menindas orang yang lemah akan ditempatkan ke neraka jahanam”. (An-Nisa’ ayat 97).

Sesungguhnya bencana yang menimpa dunia pada hari ini berpunca daripada penindasan sesama manusia kerana ia bercanggah dengan prinsip semua agama langit didatangkan untuk membasmi penindasan dan kezaliman.

Kebebasan yang menjadi perbualan setengah masyarakat terkadang hanyalah untuk kumpulan tertentu saja sehingga mengetepikan kehendak orang lain yang mana ada negara Barat melarang wanita Islam untuk bertudung menurut agama mereka. Malah ada dalam kalangan kaum Muslimin sendiri yang sentiasa berbicara mengenai Islam tetapi malangnya semua tindakan dilakukan tidak menjurus kepada agama Islam itu sendiri. Apa lebih menyedihkan lagi ialah sokongan setengah umat Islam terhadap musuh untuk menghancurkan bumi umat Islam seperti berlaku di negara Arab kini. (Dr Muhammad Imarah).

Agama Islam sudah meletakkan prinsip syura dalam menangani pelbagai masalah umat dengan menampilkan hujah dan pandangan yang baik untuk kebaikan umat. Firman Allah SWT: “Dan mereka dianjurkan bermusyawarah antara mereka dan menafkahkan rezeki kurniaan Allah SWT ”. (As-Syura ayat 38).

Allah SWT mengaitkan syura dengan rezeki kurniaan-Nya bagi menyatakan bahawa keberkatan dan rahmat akan wujud dengan berlakunya syura di kalangan kaum Muslimin.

Ulama serta cerdik pandai hendaklah menggembleng tenaga bagi memastikan politik dan etika akhlak berjalan selari bagi memastikan perubahan yang bakal berlaku mendapat keredaan Allah SWT. Kita sering diingatkan dengan kalimah suci selepas mendirikan solat melalui firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa Allah yang mempunyai kekuasaan dengan memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan akan mencabut kekuasaan tersebut kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya”. (Al-Imran ayat 26).

Segala prinsip yang digariskan oleh Islam adalah bertujuan untuk memastikan manusia sentiasa berada di dalam keamanan dan ketenteraman seterusnya mendapat keampunan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Nikmatilah kurniaan yang melimpah ruah daripada rezeki anugerah Tuhanmu. Itulah negeri yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT.” ( Saba’ ayat 15).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU UMUM : Islam jadikan Melayu maju


Oleh Norakmah Mat Youb dan Suzalina Halid
bhnews@bharian.com.my


Pengaruh, pendekatan rasional wujud kerjasama politik pelbagai kaum

KUALA LUMPUR: Pengaruh pemikiran rasional yang disumbangkan Islam kepada kaum Melayu menjadikan Melayu bangsa yang maju, moden dan bertolak ansur, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui pendekatan yang rasional juga, pemimpin terdahulu berjaya mendapatkan kemerdekaan dan mewujudkan kerjasama politik pelbagai kaum untuk mentadbir negara bersama-sama.

“Dengan pendekatan rasional ini, kita berjaya mengharungi beberapa episod hitam dalam sejarah hubungan kaum dan kemudian bangkit membina kekuatan sebagai negara bangsa yang maju serta bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Asal Usul Melayu-Induknya di Alam Melayu anjuran Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, pemikiran rasional membolehkan Melayu dan kaum lain di negara ini menerima perbezaan sebagai sebahagian daripada fitrah kehidupan masyarakat majmuk yang pelbagai budaya, agama dan tradisi.

“Kita tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang untuk terus hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni. Sebaliknya, dengan semangat perpaduan dan penerimaan antara kaum kita menjadikan kepelbagaian sebagai aset utama membina negara bangsa yang padu,” katanya.

Beliau berharap konvensyen itu dapat mengupas unsur positif dalam sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu yang dapat menyumbang kepada kemajuan Melayu dan kerukunan pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Katanya, unsur positif pastinya dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus melangkah dengan semangat yang kental dan jitu mencipta kegemilangan pada masa depan.

“Diharapkan konvensyen ini dapat menyemarakkan lagi semangat untuk terus menggali dan mengenali sejarah dan tradisi sesuatu bangsa di negara ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/