Selasa, 14 Februari 2012
ISU SOSIAL : Kes Jual Bayi Berleluasa Ekoran Harga, Permintaan Tinggi
KUALA LUMPUR: Harga serta permintaan yang tinggi bagi bayi dikatakan merupakan antara punca kegiatan menjual bayi masih berleluasa.
"Polis percaya sindiket penjualan bayi yang sudah lama wujud ini semakin berleluasa kerana terdapat permintaan yang sangat tinggi terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan kepada Bernama.
Beliau turut berkata seorang bayi boleh mencapai harga melebihi RM20,000 berdasarkan kesempurnaan dan kecerahan warna kulit.
"Harga menjadi lebih tinggi sekiranya disertakan dengan dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran semasa pembelian," katanya.
Abdul Jalil menjelaskan kebanyakan bayi dijual pada lingkungan umur satu hingga tiga bulan namun ada juga kanak-kanak berusia sehingga enam tahun turut dijual.
"Kegiatan terancang ini bermula dengan penjagaan rapi yang diberikan kepada ibu-ibu yang mengandung di pusat penjagaan haram, bagi menghasilkan bayi yang sihat demi mendapatkan nilai jualan yang tinggi.
"Wanita yang dihantar ke pusat penjagaan haram ini biasanya terdiri daripada gadis yang mengandung anak luar nikah dan juga wanita warga asing yang tidak mahukan bayi kandungan mereka dan sanggup menjual untuk mendapatkan wang," katanya.
Statistik D7 mencatat sembilan kes menjual bayi tahun lalu berbanding 20 kes pada tahun sebelum itu.
Misalnya pada Januari 2011, polis berjaya menumpaskan kes penjualan bayi yang berumur antara lima hingga tujuh hari yang dijual dengan harga antara RM15,000 hingga RM20,000.
Polis turut berjaya menyelamatkan tiga orang bayi, seorang ibu kepada salah seorang bayi ini serta dua wanita yang sarat mengandung di Selangor.
Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah), Jeevan S.Ramamurthy juga tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual bayi berlaku di kawasan pedalaman.
"Sindiket pemerdagangan bayi semakin rancak di kawasan pedalaman kerana kebanyakan keluarga amat terdesak untuk mendapatkan duit. Namun ia sukar dikesan," katanya.
Beliau turut mempertanggungjawabkan kepada segelintir klinik swasta yang sanggup bekerjasama dengan sindiket untuk memalsukan rekod kelahiran bayi, bagi memudahkan bayi dijual. - BERNAMA
ISU PENDIDIKAN : Gabungan sains, iman bentuk insan bertakwa
Oleh Rizal Abd Rahman
Gesaan menuntut ilmu jelas terkandung dalam al-Quran, patut dijadikan panduan
ISLAM adalah satu-satunya agama yang sangat menumpukan kepada ilmu pengetahuan. Ini boleh dibuktikan melalui penurunan wahyu Allah SWT yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Surah Al-Alaq yang mencerminkan bahawa Islam ingin mewarnakan gaya hidup umatnya dengan budaya keilmuan. Pemerolehan dan pembelajaran terhadap ilmu itu termasuklah dalam lapangan sains dan teknologi.
Walaupun begitu, baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan yang memberitahu kemerosotan ketara minat pelajar terhadap bidang sains. Fenomena itu adalah sesuatu yang seharusnya diselidiki secara mendalam dan tindakan susulan harus dilakukan untuk meningkatkan minat terhadap bidang sains.
Dalam al-Quran tidak terdapat istilah sains yang dinyatakan oleh Allah secara jelas, akan tetapi secara epistimologinya bidang sains dan teknologi jelas terangkum apabila kita merujuk secara mendalam dalam banyak ayat Allah yang memperkatakan mengenai ilmu pengetahuan.
Perhatikan firman Allah yang jelas mengajak umat manusia mengkaji dan meneroka alam ciptaan-Nya menerusi ilmu sains menerusi Surah Fussilat, ayat ke-53 bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar.”
Ayat Allah itu terkandung pentingnya ilmu sains seperti biologi, fizik, kimia, astronomi, oseanologi, botani malah banyak lagi cabang sains. Ini kerana untuk memperhatikan apa saja tanda kekuasaan Allah di alam jagat ini, pendekatan pengkajian sains diperlukan untuk memantapkan penghayatan serta pemahaman.
Melalui ilmu sains yang mantap, maka akan hadir keinsafan kita bahawa segala yang diciptakan Allah ini sangat bermakna dan berharga, sekali gus akan memperkukuhkan keimanan dan takwa.
Kita perlu sedar dan insaf bahawa nabi dan rasul Allah diutuskan selain daripada menyampaikan ajaran tauhid, mereka juga diamanahkan untuk menjadi perintis dalam ilmu sains. Misalnya mereka memberitahu umat manusia berkenaan asal usul kejadian manusia, fungsinya serta kesudahannya. Hal ini sebenarnya jelas terangkum dalam ilmu sains.
Malah ilmu sains sudah bermula sejak zaman Nabi Adam lagi. Ertinya ilmu sains setua sejarah manusia di muka bumi ini. Hanya dunia Barat saja yang memesongkan fakta yang kononnya merekalah yang menjadi peneroka awal ilmu sains.
Kita ambil contoh di sini supaya kita sama-sama jelas akan hal itu. Allah mengajar Nabi Adam mengenai ilmu sains boleh kita tafsir menerusi ayat ini, “Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama-nama benda dan gunanya….” -(Surah al-Baqarah ayat 31).
Bukankah ayat itu tergolong dalam pendekatan pengajaran ilmu sains. Menurut Ibnu Abbas, kata ‘benda-benda’ dalam ayat itu bermaksud sesuatu yang terdapat di dunia seperti manusia (anatomi), gunung, laut, tanah, haiwan dan sebagainya (Ilmu biologi dan oseanologi).
Sambil itu seorang pengkaji lagi, Ibnu Al-Athir pula mengatakan bahawa Nabi Adam juga diajarkan oleh Allah melalui malaikat Jibril mengenai kaedah membuat besi dan menanam pokok. Jadi, di sini cukup bukti bahawa Allah begitu mementingkan umat-Nya memperoleh ilmu sains dalam usaha menjana kehidupan yang bermakna dan sejahtera.
Sekarang kita tinjau pula perkembangan ilmu sains dan teknologi pada era Nabi Nuh. Nabi Nuh adalah nabi keempat diutuskan Allah selepas Nabi Adam, Syis dan Idris serta lahir selepas 126 tahun kewafatan Nabi Adam. Baginda adalah pakar dalam bidang ilmu sains dan teknologi pembuatan.
Ini dapat dilihat dengan jelas melalui perintah Allah kepadanya agar membina bahtera atau kapal sebagai persiapan menghadapi taufan dan banjir besar. Hal itu dijelaskan Allah, “Nuh berdoa; “Wahai Tuhanku, bantulah aku kerana mereka mendustakan seruanku. Lalu Allah mewahyukan kepadanya: Buatlah bahtera dengan pemerhatian dan petunjuk Allah.” -(Surah al-Mukminun ayat 26-27).
Menurut sejarawan Islam, kapal Nabi Nuh diperbuat daripada kayu dan logam besi. Kayu-kayu diperoleh daripada pokok yang ditanamnya sendiri. Maka, dapatlah kita rumuskan di sini bahawa Nabi Nuh adalah seorang pakar dalam ilmu fizik dan matematik tinggi, juga sangat mahir dalam kemahiran pelayaran atau boleh dianggap sebagai seorang nakhoda yang hebat.
Bidang teknologi pembuatan kapal dikuasai Nuh yang memiliki kepakaran memilih bahan seperti kayu dan logam untuk dibuat bahtera.
Ini menjadi bukti bahawa dunia Islam seharusnya dicorakkan secara aktif dan berdaya dinamik dalam aspek ilmu sains dan teknologi. Kita sebagai mukmin tidak boleh ketinggalan dari arus dunia yang nampaknya lebih condong kepada penguasaan bidang berkenaan.
Namun begitu, perlu diingatkan, galakan dari Allah agar kita meneroka bidang sains dan teknologi itu tidak menjadikan kita lupa daratan dan hilang pedoman sehingga mengakui kehebatan diri sendiri.
Seharusnya semakin mendalam memperoleh ilmu itu, semakin menebal keimanan dan takwa terhadap Allah.
Dengan kesepaduan antara ilmu dan keimanan, akan terbina watak insan mengenali dan mengetahui mengenai Tuhan penciptanya, Allah lalu mencerna karakter iman dan takwa yang tinggi.
Oleh yang demikian, kita tidak seharusnya memandang isu menguasai ilmu sains dan teknologi sebagai hal yang remeh-temeh, sebaliknya hendaklah seluruh mukmin menjadikan bidang itu sebagai pemangkin kepada keunggulan ummah.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN :Aliran sastera senang lulus, mudah cari kerja
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
Peratus pelajar ikuti jurusan sains kian menurun
PELUANG pekerjaan yang terbuka luas, gaji lumayan dan mudah lulus dikenal pasti antara punca ramai pelajar sekolah memilih aliran sastera sehingga peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun 29 peratus tahun ini.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, ramai pelajar yang beranggapan aliran sains sukar untuk lulus dan selepas menamatkan pengajian belum tentu mereka diterima bekerja kerana kekosongan jawatan yang terhad.
“Di UPSI, kami terpaksa melatih semula graduan bidang Sains dan Matematik untuk mengajar subjek lain disebabkan semakin ramai pelajar memilih aliran sastera sehingga menutup peluang mereka menjadi guru dua subjek itu,” katanya kepada media bersempena dengan kunjungan rasmi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UPSI di Tanjung Malim, Perak, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.
Mohamed Khaled sebelum itu dalam amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini dan keadaan itu berterusan ke peringkat universiti.
Beliau berkata, jika keadaan itu berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan program inovasi dan teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju serta berpendapatan tinggi.
Dalam perkembangan lain, Prof Zakaria berkata, sebuah sekolah makmal yang menempatkan prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas akan dibina di tapak seluas 18.4 hektar di Kampus UPSI di Bandar Proton, Tanjung Malim.
Katanya, pembinaan bangunan berkenaan menerusi peruntukan awal RM15 juta masing-masing RM10 daripada dana UPSI dan RM5 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Beliau berkata, sekolah itu memudahkan latihan amali dan eksperimen pelajar UPSI, manakala semua tenaga pengajar, kurikulum dan pengetua sekolah itu dilantik pihak universiti.
“Selain itu, UPSI bakal menubuhkan Makmal Penyelidikan Pendidikan untuk kemudahan pensyarah menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.
Mengenai tindakan sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi haram di pekarangan UPSI, baru-baru ini, katanya hanya dua pelajar universiti itu terbabit dan mereka sudah dikenakan tindakan tatatertib.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU BAHASA : Istilah sains dan teknologi perlu tepat
Oleh SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH
SATU cabaran dalam bidang berkaitan sains dan teknologi adalah menggunakan istilah yang tepat, apa lagi jika istilah itu dipinjam daripada bahasa asing.
Inisiatif memperkenalkan istilah-istilah bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi sudah berjalan sejak sekian lama dengan usaha awal dilihat berlaku semasa penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970. Cabaran menjalankan program sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan turut merangkumi aspek pengistilahan.
Hari ini kita boleh merujuk pelbagai bahan rujukan berhubung istilah sains dan teknologi di dalam kamus dan glosari seperti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malah portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dikelolakan oleh DBP juga menjadi rujukan popular dewasa ini bagi memastikan istilah yang digunakan tepat.
Dengan pelbagai platform yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja (baik bahan elektronik atau cetak), masih ada pihak yang nampaknya mengambil mudah soal penggunaan istilah yang tepat. Ramai daripada kita yang pastinya masih ingat isu penterjemahan kandungan portal Kementerian Pertahanan yang menterjemahkan frasa bahasa Melayu ke bahasa Inggeris secara harfiah.
Jika dalam isu itu, banyak pihak yang cepat melenting kerana penggunaan bahasa Inggeris yang salah, saya melihat tidak banyak pihak pula yang prihatin dan peka terhadap kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang amat berleluasa. Ini memberikan gambaran yang penggunaan bahasa Melayu yang tepat seolah-olah tidak penting.
Saya terpanggil memberikan pandangan mengenai isu ini apabila terbaca di dalam portal sebuah akhbar tempatan (bukan Utusan Malaysia) bertarikh 11 Februari 2012 yang melaporkan mengenai kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).
Kempen MPSJ ini yang dipanggil "Kempen Penggunaan Plastik Mampan" mahu menggalakkan masyarakat menggunakan plastik biodegradable yang diistilahkan oleh MPSJ sebagai 'plastik mampan'.Istilah 'mampan' itu, menurut Portal PRPM, membawa maksud 'mampu terus berkembang dan mencapai tahap prestasi yang baik'.
Saya yakin MPSJ tidak maksudkan plastik yang mampu terus berkembang atau plastik yang boleh mencapai tahap prestasi yang baik apabila melancarkan kempen ini. Seandainya MPSJ maksudkan mampan, istilah ini membawa makna 'tidak berubah-ubah dan sudah diterima umum'. Saya juga yakin bukan ini yang dimaksudkan oleh MPSJ.
Jika dilihat kepada mesej yang hendak disampaikan adalah mengenai penggunaan plastik biodegradable. Sepatutnya istilah yang digunakan adalah "plastik biorosot" atau "plastik terbiodegradasi". Memang tidak dinafikan bahawa istilah yang lebih tepat ini nampak asing dan mungkin janggal bagi sesetengah orang.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita tidak membiasakan diri dengan menggunakan istilah yang tepat, maka kita akan selama-lamanya terbiasa dengan istilah-istilah yang salah.
Bagi saya, tanggungjawab menggunakan istilah yang tepat adalah tanggungjawab semua pihak. Kita sebagai pengguna bahasa seharusnya lebih peka dengan istilah-istilah yang kita gunakan. Hari ini sebenarnya tiada alasan bagi kita untuk tidak menggunakan istilah yang betul. Ini kerana capaian kepada rujukan istilah boleh diperolehi dengan mudah apa lagi dengan kepelbagaian fungsi telefon pintar sedia ada.
Ramai yang sudah boleh mencapai Internet sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer. Keluasan capaian Internet juga sudah semakin baik di negara kita. Jadi, apabila berhadapan dengan situasi untuk memilih istilah yang tepat, kita dengan mudah boleh mencapai Portal PRPM bagi membuat rujukan. Alternatif lain sudah tentulah dengan merujuk kepada kamus dan glosari yang sepatutnya dijadikan rujukan dalam memilih istilah yang sesuai dan tepat.
Pastinya cabaran yang berat digalas oleh DBP dalam aspek pemantauan bahasa. Namun, sekiranya semua pihak boleh berganding bahu, pastinya tugas memastikan penggunaan istilah dan bahasa yang baik, betul dan tepat dapat direalisasikan. Jika ramai yang prihatin dengan penggunaan bahasa Inggeris yang tepat, saya berpandangan kita juga perlu prihatin dengan penggunaan bahasa Melayu yang bukan sahaja baik tetapi tepat.
Perhatian yang lebih perlu diberikan kepada istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu supaya tidak berlaku penggunaan istilah yang salah. Memang merugikan apabila niat kempen itu baik dan murni tetapi istilah yang digunakan tidak melambangkan mesej sebenar yang hendak disampaikan menerusi kempen tersebut.
PENULIS ialah Pengarah Eksekutif, Yayasan Ilmuwan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/