Selasa, 6 Mac 2012
ISU BAHASA : Muzik, budaya dan sastera faktor utama pelajari bahasa Melayu
PUTRAJAYA 5 Mac – Tak kenal maka tak cinta. Perumpamaan itu sememangnya sesuai untuk mencerminkan kepetahan semua peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2012 bertutur dalam bahasa Melayu.
Rata-rata peserta yang ditemui Utusan Malaysia menyatakan keindahan budaya, muzik, filem dan sastera Melayu merupakan faktor utama mendorong mereka mempelajari bahasa Melayu.
Pemidato dari Amerika Syarikat, Sara White, 24, berkata, dia mempelajari bahasa Melayu kerana minat yang mendalam terhadap lagu-lagu Melayu.
Menurut White atau nama Melayunya Sarawati, dia mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mempelajari bahasa Melayu dan mengikut pengamatannya bahasa rasmi negara itu bukanlah bahasa yang susah untuk didalami memandangkan ia kini boleh diajar di mana-mana negara.
“Saya belajar dalam bidang komunikasi dan amat meminati sastera serta lagu-lagu Melayu, penguasaan dalam bahasa Melayu membantu saya mendalami muzik Melayu.
“Bahasa Melayu sebenarnya bukan susah untuk dipelajari, saya mempelajari bahasa ini secara berkumpulan dengan kawan-kawan yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Sementara itu, jika minat terhadap muzik Melayu mendorong White mempelajari bahasa Melayu, lain pula ceritanya dengan Narmin Hasanova dari Azerbaijan yang meminati budaya Asia Tenggara.
“Saya amat meminati budaya Asia Tenggara khususnya Tamadun Melayu, minat yang mendalam mendorong saya melawat Indonesia dan Malaysia berkali-kali.
“Penyertaan saya dalam PABM 2012 ini juga secara tidak langsung untuk memperkenalkan budaya negara saya kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai negara,” katanya.
Selain itu katanya, faktor persamaan agama juga menjadi faktor utama dia mempelajari bahasa Melayu dan budaya Malaysia.
“Agama Islam yang dianuti saya dan kebanyakan rakyat Malaysia sememangnya mempunyai persamaan dari segi budaya dan juga peradaban,” katanya.
Dalam pada itu peserta Jepun, Yota Tamura berkata, bahasa Melayu wajar dipelajari kerana ia merupakan bahasa pertuturan yang paling utama di Asia Tenggara.
Sumber : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Bahasa Arab, Mandarin lemah
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Guru tak terlatih, tiada makmal bahasa punca pelajar gagal kuasai subjek
GURU tidak terlatih dan tidak tersenarai antara lima subjek dinilai peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikesan antara punca penguasaan murid bagi dua subjek elektif iaitu bahasa Arab dan Mandarin berada pada tahap kurang memuaskan.
Turut menyumbang kepada kekangan penguasaan bahasa antarabangsa itu ialah kebanyakan murid hanya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas sedangkan kegiatan itu perlu dijalankan di makmal bahasa.
Timbalan Pengarah Pusat Perkembangan Kurikulum, Dr Mohd Nor Mohd Taib, berkata pada keseluruhannya pencapaian murid mengikuti subjek itu hanya menguasai perkataan asas seperti nama, khabar, asal dan arah sesuatu tempat.
Katanya, pada dasarnya P&P dua mata pelajaran itu bergantung kepada kemampuan sekolah melaksanakannya dengan mengambil kira kepakaran guru.
“Bagi sekolah yang tiada kepakaran dan gagal menyediakan kemudahan makmal, sukar melaksanakan proses P&P dengan berkesan.
“Subjek elektif ini sebenarnya dikhususkan kepada murid bukan penutur bahasa terbabit dan mengikuti persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Mohd Nor berkata, berdasarkan statistik seramai 1.5 juta murid mengikuti pembelajaran bahasa Arab di 4,776 sekolah di seluruh negara sehingga 2010 manakala bahasa Mandarin seramai 34,449 di 461 sekolah sehingga awal tahun lalu.
Mengenai murid Cina dan India bukan Islam yang mengikuti pembelajaran bahasa Arab, beliau berkata jumlahnya terlalu rendah iaitu sekitar seorang hingga lima orang di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, ramai murid Melayu dan India mengikuti subjek bahasa Mandarin berikutan kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan menguasai bahasa berkenaan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU BAHASA : Karya sastera hebat
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Maksud luas pengarang terpancar kepada yang membaca dengan berfikir
KARYA sastera mempunyai maksud lebih luas daripada sekadar luahan perasaan pengarang dalam kisah cinta yang sempit atau memenuhi selera hiburan ringan pembaca kerana hakikatnya ia sebenarnya wadah perjuangan dalam masyarakat jika ruang lingkup negara, serantau dan dunia, diambil kira.
Daripada perjuangan yang mewakili golongan tidak berpeluang dan bernasib baik kepada iltizam untuk mengikat manusia pelbagai negara dan bangsa, idealisme itulah yang bakal menentukan sama ada pengarang benar-benar memanfaatkan kreativiti yang dimilikinya.
Karya kecil dan ringan hanya meletakkan pengarang pada kedudukan yang tidak lebih daripada penghibur, manakala ideologi dan tujuan kepengarangan yang lebih mulia mengangkat mereka sehingga diiktiraf bukan saja di tanah air, bahkan di luar negara.
Tujuan kepengarangan inilah yang menjadi inti pati dalam Diskusi Bertemu Pengarang di Bank Bangkok, Bang Rak, Bangkok, baru-baru ini, sekali gus menjadi medan perkongsian antara Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011.
Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Laos, Bounthanong Xomxayphol, menjadikan perjuangan yang mewakili mereka yang tidak mempunyai hak kemasyarakatan sepenuhnya dan tidak bernasib baik sebagai ideologi, tujuan dan misi penulisannya.
“Saya ibaratkan sastera dan penulisan kreatif sebagai kenderaan untuk memperjuangkan kemanusiaan, kebaikan dan kebebasan kepada semua lapisan masyarakat khususnya yang tidak bernasib baik.
“Sastera juga digunakan untuk melawan dan menentang ketidaksamaan yang berlaku dalam masyarakat, sekali gus menjadi wakil kepada mereka yang tidak mendapat peluang yang sama,” katanya pada diskusi yang dipengerusikan Timbalan Presiden (Perhubungan Awam), Bank Bangkok, Suwit Indrachalerm dan Pensyarah Universiti Chulalongkorn, Prof Madya Dr Surapeepan Chatraporn.
Ideologi, tujuan dan misi kepengarangannya terserlah pada karyanya, American Bones, yang mengambil latar peristiwa kerajaan Amerika Syarikat (AS) menghantar pasukan ke Laos untuk menjejaki anggota tenteranya yang hilang ketika bertugas (MIA) pada Perang Indochina.
“Sebenarnya pada ketika itu, AS dan Laos tak memiliki sebarang hubungan diplomatik, tetapi kerajaan kami membenarkan pasukan terbabit untuk masuk. Pada masa sama, ada fakta yang mengejutkan apabila tiga juta tan bom pernah digugurkan di Laos yang mempunyai kira-kira tiga juta rakyat,” katanya yang turut menggunakan nama pena Sahaifai.
Bounthanong berkata, misi itu sebenarnya adalah peristiwa besar dalam konteks kemanusiaan yang diperlihatkan oleh Laos kerana bukan hanya AS mengalami kehilangan anggota tenteranya, sebaliknya rakyat Laos sendiri hilang keluarga dan saudara mara.
“Ia isu sensitif kerana misi itu sebenarnya menunjukkan tindakan ‘pengampunan’ dari Laos kepada AS, meskipun kuasa besar itu tidak pernah melahirkan kekesalan atau membayar ganti rugi terhadap kemusnahan kesan daripada ledakan bom mereka.
“Lebih menyedihkan lagi, kira-kira tujuh peratus daripada bom yang pernah digugurkan di Laos masih lagi aktif sehingga ke hari ini,” katanya.
Pandangan Bounthanong itu diperkukuhkan oleh keyakinan Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Malaysia, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, terhadap peranan pengarang dengan meluahkan perasaan dan pemikiran yang jujur dalam karya sastera mereka.
“Pengarang tidak boleh bertindak sebagai propagandis, sebaliknya mereka perlu tampil untuk menjadi diri sendiri dan menghasilkan karya yang lahir daripada jiwa.
“Mereka menulis tidak kira apa saja genre bukan kerana kehendak atau perintah pihak lain, sebaliknya berdasarkan fikiran dan tindakannya yang jujur itu,” katanya.
Hakikat itu memberi kelebihan kepadanya dan pengarang yang lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan berbeza, sekali gus menyampaikan makna yang lebih besar kepada kemanusiaan serantau dan sejagat.
“Ini kerana sastera sebenarnya berperanan untuk menggabung dan mengikat semangat daripada manusia pelbagai bangsa dan negara untuk hidup bersama.
“Apa yang penting adalah bukannya kita untuk bersetuju tentang semua perkara, sebaliknya kita memahami antara satu sama lain,” katanya.
Sekiranya pengarang memahami semangat kesusasteraan itu, SM Zakir berkata, mereka berupaya untuk melahirkan karya yang lebih jujur dan mempunyai makna yang lebih besar kepada manusia sejagat.
Namun, ia tidaklah bermakna prinsip dan unsur agama perlu didiamkan dalam karya, sebaliknya seperti tekad Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Brunei Darussalam, Mohd Zefri Ariff Mohd Zain Ariff, karya sastera dan seni perlu menjadi alat dakwah Islamiah.
“Sastera dan seni berupaya untuk memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat, sekali gus digunakan sebagai cara dalam dakwah Islamiah.
“Saya percaya pengarang bertanggungjawab untuk menyampaikan karya yang baik dan memiliki nilai yang dapat mendorong pembaca untuk menjadi manusia dan rakyat yang baik,” katanya.
Penerima Anugerah SEA Write 2011 dari Thailand, Jadej Kamjorndet, berkata karya sastera perlu digunakan untuk menegur sikap sendeng dalam masyarakat yang lebih mengutamakan moraliti sekiranya berkait dengan kepentingan sendiri tetapi mengambil sikap tidak kisah sekiranya ia tidak kena-mengena dengannya.
“Hal ini boleh diibaratkan seorang isteri yang mengupah penyiasat persendirian untuk mengekori suaminya, sekali gus menyiasat sama ada lelaki itu bermain kayu tiga dengan wanita lain.
“Selepas penyiasat membuat siasatan, dia memberitahu si isteri bahawa suaminya tidak curang, sebaliknya melakukan kejahatan lain tetapi wanita itu tidak ambil kisah kerana ia tidak kena-mengena dengan perkahwinan mereka,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/