Rabu, 28 Mac 2012
ISU SOSIAL : Lari dari rumah singkat fikiran
Oleh ROSMAH DAIN
KISAH orang hilang semakin hari semakin banyak dipaparkan di dada media. Pelbagai peringkat umur dan kriteria kehilangan dilaporkan. Terkini, kes-kes kehilangan remaja yang berumur dalam lingkungan 13 hingga 17 tahun pula dilaporkan semakin menjadi-jadi.
Sekiranya kes yang dilaporkan adalah berunsur jenayah membabitkan mangsa diculik mungkin ia boleh dianggap faktor di luar dugaan mangsa dan keluarga.
Tetapi bagaimana pula jika remaja yang hilang itu bukan sebab diculik atau perbuatan jenayah? Sebaliknya hanya mahu lari dari rumah. Lebih teruk lagi, lari dari rumah untuk mengikut teman lelaki. Walaupun ini juga dikategorikan sebagai orang hilang, bezanya mereka lari daripada ibu bapa dan keluarga akibat kedangkalan pemikiran.
Menurut kaunselor berdaftar, Hushim Salleh, kes orang hilang terdiri daripada dua kategori iaitu kes jenayah yang melibatkan penculikan oleh sindiket mahupun individu tertentu yang mahu menjadikan mangsa sebagai pelacur, peminta sedekah, pengambilan organ dan sebagainya serta kategori kedua ialah 'hilang' kerana kemahuan sendiri.
''Orang hilang kerana menjadi mangsa kepada keadaan berlainan dengan kes kedua yang hilang kerana melarikan diri dari rumah.
''Faktor yang kedua ini agak membimbangkan. Kes ini biasanya terjadi kepada para remaja yang berumur belasan tahun yang masih cetek pemikirannya, belum matang, ketika jiwanya sedang bergelora, tidak tenteram dan sedang mencari identiti mereka serta pengaruh cinta," katanya.
Hushim memberitahu, daripada kajian yang dijalankannya, setiap 10 daripada remaja yang bermasalah, lima daripada mereka sebenarnya berisiko untuk melarikan diri dari rumah.
Mereka juga katanya, cenderung terbabit dengan masalah sosial yang lebih besar di luar rumah sekiranya keadaan itu tidak dibendung segera.
Persoalan kenapa remaja melarikan diri dari rumah katanya berdasarkan atas faktor menarik dan menolak yang ada dalam persekitaran rumah itu sendiri.
''Ini semua berbalik kepada ibu bapa itu bagaimana mereka berperanan mendidik anak-anak menggunakan pendekatan komunikasi, kurangnya mendengar dan tiada sentuhan kasih sayang.
''Ibu bapa yang tidak mempunyai naluri dan ilmu keibubapaan pastinya menyebabkan anak-anak tidak mesra dengan mereka. Sepatutnya ibu bapa perlu jadi tempat rujuk anak-anak dan tidak terlalu sombong dan merasakan dirinya sahaja yang benar.
''Apabila tidak mesra, anak-anak akan lebih banyak berbual dan mencurahkan permasalahan dengan rakan-rakan sebaya atau orang luar. Ini mengakibatkan hubungan anak akan menjadi lebih dominan dengan rakan-rakan atau orang lain berbanding ibu bapa sendiri.
"Pada waktu itu anak gadis atau anak remaja ini mempunyai hubungan cinta pula, apa lagi bertambahlah, kerana mereka sendiri mempunyai tempat pergantungan sekarang, " jelasnya.
Katanya, kesilapan ibu bapa pada hari ini ialah keengganan untuk memeluk anak-anak apabila sudah besar.
Mereka berpendapat hubungan kemesraan itu tidak perlu lagi memandangkan anak-anak sudah remaja.
Persepsi itu adalah silap memandangkan saat seperti itulah golongan berkenaan memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa.
Perkara itu katanya, cukup jelas di mana ibu bapa sekarang semakin jauh dengan anak-anak apabila mereka semakin dewasa atau meningkat remaja dengan alasan sudah boleh berdikari.
Apabila ditanya mengapa isu bergaduh dengan ibu bapa menjadi alasan kepada remaja untuk keluar dari rumah, Hushim menjelaskan itu sebenarnya adalah alasan yang kecil.
Hasrat untuk melarikan diri sebenarnya dibina hasil daripada hubungan kekeluargaan yang rapuh.
''Anak-anak ini lari kononnya untuk mencari keadaan yang lebih selesa mengikut insan yang dicintai atau mereka yang memberikan lebih empati yang kononnya sanggup berbuat apa sahaja demi mereka.
''Malangnya mereka tidak sedar di sebalik empati dan simpati yang dicurahkan kononnya oleh insan yang bakal membantu ini akan menambahkan masalah sehingga menyebabkan mereka terjerat dengan masalah sosial yang lebih berat.
''Ini kerana sekiranya insan yang menasihat itu baik, mereka tidak akan menyuruh remaja ini melarikan diri dan membelakangkan ibu bapa selain ada niat lain di sebaliknya.
''Jika yang perempuan terdedah kepada maksiat melakukan seks sebelum nikah bagi remaja lelaki pula akan mudah jatuh ke tangan gay," katanya.
Bukan itu sahaja, Hushim turut memberitahu, faktor kebergantungan keterlaluan kepada laman sosial facebook dan twitter memberi cara dan jalan kepada remaja untuk melakukan masalah seperti ini.
''Di laman sosial, mereka akan luahkan masalah, katanya ibu asyik membebel, pastinya rakan-rakan di laman sosial akan turut memberi cadangan agar dia keluar dari rumah untuk melegakan tekanan.
''Remaja tadi akan menuruti cadangan berkenaan tambahan pula golongan ini tidak matang dan selalu bertindak terburu-buru tanpa memikirkan keburukan yang dihadapi kelak," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Tekanan Keluarga & Pernah Dihalau Faktor Remaja Lari Dari Rumah
KUALA LUMPUR: Tekanan keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan pada Rabu oleh sebuah badan sosial.
Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM) Prof Mohd Fadzil Che Din berkata berdasarkan kajian yang dijalankan pada tahun 2010 itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar rumah selepas melakukan kesalahan.
"Kajian ini yang dijalankan ke atas remaja berusia 12 hingga 18 tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3 peratus perempuan turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan selain daripada pengaruh ajakan rakan-rakan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.
Katanya daripada jumlah tersebut, remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi kes lari dari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9 peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).
"Kes lari rumah untuk kali pertama yang dilakukan oleh mereka ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga 15 tahun dengan mencatatkan sebanyak 65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12 tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18 tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan sebanyak 2.6 peratus.
Katanya, bagi golongan remaja seperti ini mereka berpotensi bertindak secara berani untuk melarikan diri dari rumah secara berulangan apabila sekali mereka pernah berbuat demikian.
Prof Mohd Fadzil berkata, remaja seharusnya sedar bahawa tindakan lari dari rumah itu sebenarnya secara tidak langsung boleh merisikokan mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.
"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan peningkatan jumlah pembabitan kanak-kanak serta remaja perempuan dalam kegiatan jenayah sehingga 30 peratus pada tahun 2009 berbanding 10 peratus pada tahun 2005 iaitu daripada 300 kes kepada 1,000 kes yang dicatatkan," katanya yang juga tidak menafikan pembabitan wanita dalam kegiatan jenayah hari ini semakin serius dan sekiranya tidak diatasi akan mendatangkan kemudaratan.
Prof Mohd Fadzil berkata, biasanya tempoh golongan remaja ini melarikan diri dari rumah adalah selama satu hingga tiga hari iaitu dengan mencatatkan sebanyak 41.9 peratus, empat hingga tujuh hari (26.3 peratus), lebih daripada 30 hari (17.2 peratus) manakala lapan hingga 28 hari (14.6 peratus).
"Kebanyakan mereka ini sebenarnya lari dari rumah dan menuju ke rumah rakan mereka, merayau di bandar, pergi ke rumah teman lelaki dan ada juga yang merayau-rayau di pusat beli-belah.
"Remaja yang lari dari rumah ini kebanyakannya menjadikan rumah rakan-rakan mereka sebagai tempat perlindungan, ada juga yang tinggal di rumah keluarga rakan mereka termasuk rumah teman lelaki dan keluarga teman lelaki selain menjadikan rumah ibu bapa saudara mereka sebagai tempat perlindungan".
Beliau berkata, dalam kajiannya turut mendapati remaja yang datang dari bandar menunjukkan peratusan tertinggi bagi kes lari dari rumah iaitu sebanyak 61.5 peratus manakala dari luar bandar sebanyak 38.5 peratus dan majoriti daripada mereka masih bersekolah.
Katanya, ironinya kebanyakan mereka yang lari dari rumah bukan datang dari keluarga yang bercerai sebaliknya 64.4 peratus daripada mereka tinggal bersama ibu bapa kandung dengan status masih berkahwin.
"Hanya 35.6 peratus sahaja remaja yang lari dari rumah datang dari keluarga yang bercerai-berai manakala 22.2 peratus remaja mempunyai bapa yang berpoligami".
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S. Ramamurthy berkata tidak dinafikan bahawa remaja yang bertindak untuk melarikan diri dari rumah boleh mendorong mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.
"Apabila dia lari dari rumah, dia kena fikir bagaimana dia hendak hidup, makanan dan pakaian serta di mana dan bagaimana dia hendak mendapatkan rumah untuk berlindung dan sebagainya, jadi dalam keadaan terdesak apatah lagi selepas tiada sebarang pengawasan daripada ibu bapa, tanpa berfikir panjang mereka akan pergi ke pasar raya untuk mencuri pakaian dan begitulah seterusnya.
"Manakala bagi mereka yang lari mengikut kekasih pula, akan terjebak dengan jenayah sekiranya kekasihnya itu tadi merupakan seorang peragut dan perlu bersekongkol dengan kekasihnya untuk menjalankan kegiatan itu tetapi sekiranya dia enggan untuk membantu kekasihnya, dia bimbang mungkin dia akan hilang tempat bergantung dan ditinggalkan kekasih," katanya. - BERNAMA