Sabtu, 31 Mac 2012
ISU GLOBAL : Krisis dalaman Asia Barat hanya untungkan Israel
Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.m
Negara Islam mesti bersatu perjuangkan nasib rakyat Palestin demi maruah agama
TANGGAL 30 Mac 2012 dikatakan menjadi antara tarikh penting dalam kalendar dunia kerana pada hari itu, satu gerakan dipanggil Perarakan Global ke Jerusalem (GMJ) menjadikan hari itu sebagai acara antarabangsa bagi mengajak masyarakat dunia bersatu menuntut kebebasan untuk Baitulmaqdis dan masyarakat Palestin.
GMJ juga bertekad untuk mengakhiri dasar aparteid dan dasar pembersihan etnik rejim Israel yang memberi kesan mendalam terhadap rakyat, tanah jajahan dan kesucian kota Baitulmaqdis yang mana satu jenayah, bukan saja terhadap rakyat Palestin, bahkan terhadap semua masyarakat diseluruh dunia.
Tanggal 30 Mac 2012 dipilih kerana ia adalah simbolik bagi hari bersejarah yang terpahat di memori masyarakat Palestin iaitu ‘Palestine Land Day’. Pada Mac 1976, bermulalah titik hitam dalam kehidupan masyarakat Palestin apabila rejim Israel merampas tanah swasta dan awam di kebanyakan kawasan di bumi Palestin.
Rentetan daripada itu, rakyat Palestin mengisytiharkan mogok umum yang pertama kalinya dihadapi oleh pihak berkuasa Israel sejak pendudukan Palestin pada 1948, lalu mereka mula bertindak ganas dengan menakluki lebih banyak perkampungan Palestin, membunuh dan mencederakan ramai orang awam.
Banyak negara terutama negara Islam menyokong GMJ termasuk negara Arab yang berjiran dengan Palestin. Namun begitu, sokongan daripada negara Arab tidak begitu meyakinkan disebabkan majoritinya sedang menghadapi konflik dan krisis dalaman yang kronik.
Mesir, Syria dan Jordan antara negara yang amat diharap dapat membantu membebaskan Palestin, namun disebabkan krisis dalamannya, maka tiada harapan dapat disandarkan kepada pemerintah negara itu untuk mencapai cita-cita membebaskan Palestin yang terhalang sejak pendudukan rejim Israel pada 1967.
Di sebalik kerancakan dan kehebatan perancangan GMJ ini, penduduk dunia khasnya mereka yang menyokong usaha membebaskan Palestin pasti tidak dapat memaafkan tindakan seorang pemimpin politik dari Malaysia yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana secara terbuka menyatakan sokongan terhadap usaha melindungi keselamatan Israel seperti dilaporkan The Wall Street Journal untuk edisi 27-29 Januari lalu.
Pastinya, umat Islam di seluruh negara tidak akan melupakan kenyataan Anwar kerana ia bukan saja bertentangan dengan dasar luar Malaysia serta kehendak majoriti rakyat yang menyokong pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, malah menggores hati penduduk Palestin.
Walaupun Anwar selepas itu bergegas ke Asia Barat untuk berjumpa dengan pemimpin utama Hamas dan Fatah termasuk ulama terkenal Mesir, Yusuf al-Qaradawi bagi menutup keterlanjurannya, namun ia tetap meninggalkan parut berbisa yang dalam bagi seluruh umat Islam dan Palestin.
Jika tidak, mengapa Ketua Bahagian Hubungan Antarabangsa Hamas, Osama Hamdan begitu kecewa sehingga berkata sokongan terhadap usaha melindungi keselamatan Israel bukan hanya mengecewakan rakyat Palestin, tetapi seolah-olah memberi gambaran membenarkan penjajahan rejim Zionis itu.
Osama berkata, adalah kesilapan besar untuk mengiktiraf Israel, sebaliknya isu utama yang perlu dibincangkan ialah hak dan pengiktirafan terhadap rakyat Palestin ke arah pembentukan masyarakat serta negara makmur.
Disebabkan kenyataan Anwar itu, umat Islam di negara ini berang dan marah kerana tidak menyangka pemimpin idola yang mereka puja itu menjadi penyokong kuat Israel sehingga sanggup mengetepikan nasib yang menimpa rakyat Palestin yang menjadi kekejaman rejim Zionis.
Berbalik kepada usaha GMJ ini, timbul persoalan dalam kalangan masyarakat dunia iaitu apakah signifikannya GMJ terhadap usaha pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel dan melindungi serta membela penduduk Palestin.
Berdasarkan pengalaman lalu dan sejarah terhadap setiap usaha membebaskan Palestin, ia tidak lebih sekadar menjadi retorik politik semata-mata di antara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat (AS), Israel dan Liga Arab.
Sejak 1967 sehingga sekarang, pelbagai usaha dan cadangan dikemuka, diusul dan dibentang di pentas PBB tetapi semua itu tidak memberi sebarang makna, seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ kerana tiada apa perubahan positif dapat dilihat, sebaliknya Israel terus-terusan menindas dan membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa.
Ada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan pandangan supaya penduduk dunia bersatu dan ‘meracun daun keladi’ bagi menamatkan rejim Israel di Palestin tetapi soal kekuatan, ketenteraan dan penyatuan menjadi isu besar, sekali gus menyebabkan mereka terpaksa lupakan hasrat itu.
Penganalisis strategi dan hubungan antarabangsa, Prof Dr Kamarulnizam Abdullah, menjelaskan usaha untuk membebaskan Palestin selama ini sebenarnya dipenuhi dengan ‘kepura-puraan’ politik kuasa besar dunia khasnya AS bagi melindungi Israel.
Masalah di Palestin tidak akan dapat diselesaikan jika tidak ada satu kekuatan masyarakat dunia untuk mendesak AS dan Israel mematuhi puluhan resolusi PBB supaya Israel menamatkan penguasaannya di Palestin dan menyerahkan kembali segala harta yang dirampas di bumi Palestin kepada rakyat Palestin.
“Tidak banyak usaha yang kita boleh lakukan untuk membebaskan Palestin. Dalam isu Palestin, kita sebenarnya lebih mengharap negara Arab supaya bersatu bagi membantu, tetapi mereka tidak bersatu.
“Negara Arab kini menghadapi krisis dalamannya sendiri terutama negara dominan iaitu Mesir, Syria, Iran dan Iraq. Usaha dilakukan NGO tidak banyak membantu dan tidak dapat memberi tekanan apa-apa kepada AS dan Israel,” katanya.
Namun, usaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis tidak boleh dihentikan kerana ia membabitkan maruah agama dan umat Islam kerana di situlah terletaknya masjid ketiga paling suci iaitu Masjid al-Aqsa, yang juga menjadi tempat penting peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah SAW.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SOSIAL : Kasih sayang lahirkan empati
Oleh Sharifah Hayaati
bhagma@bharian.com.my
Sifat ithar bantu hilang sikap individualistik, egoistik
DALAM kesibukan bekerja mencari rezeki serta berurusan dengan masyarakat, kadangkala kita menjadi terlalu individualistik. Yang dikejar hanyalah kepentingan diri.
Justeru, tanpa disedari, kita menjadi ibarat pekerja tanpa jiwa. Apabila memberikan layanan perkhidmatan seperti robot yang diatur butir bicara dan skripnya, apabila melemparkan senyuman hambar seperti terpaksa, apabila berhadapan masalah mudah lepas tangan dan menyalahkan orang, apabila sesuatu masalah bukan dalam bidang dan skop kerja, tidak langsung menunjukkan minat membantu. Pelbagai sikap, membentuk suasana persekitaran kerja yang boleh menjejaskan komunikasi kita.
Namun, ada banyak contoh yang perlu diteladani supaya kehidupan kita dirahmati. Ada yang bekerja serta melayan pelanggan dengan sepenuh hati, berhemah, bersungguh-sungguh, sabar dengan kerenah dan kehendak mereka. Berusaha menyegera dan memudahkan urusan perkhidmatan, mendidik pelajar dengan dedikasi, mengubati pesakit, meringankan beban mereka yang dalam kesempitan, mengawasi keselamatan, kesesakan lalu-lintas dan kemalangan, melindungi anak yatim, HIV Aids, menyediakan rumah perlindungan dan pendidikan kepada mereka, mencari penawar ketagihan dadah dan pelbagai usaha lain yang menunjukkan keprihatinan dan kepekaan sosial terhadap masyarakat di mana saja kita bertugas sama ada di hospital, pejabat, sekolah, masjid dan lain-lain. Ia adalah petunjuk sifat empati yang ada dalam diri.
Justeru, jika simpati bermaksud rasa kasihan terhadap masalah dan kesusahan orang lain, empati pula istilah yang menggambarkan perasaan melebihi simpati iaitu tidak sekadar dengan mendengar apa juga yang dikongsikan tetapi cuba memahami dan menyelaminya disertakan dengan bantuan. Sama ada nasihat, bimbingan, kaunseling mahupun tenaga dan wang ringgit. Sifat empati membuka jalan kepada yang bermasalah untuk tidak berada pada jalan buntu, sebaliknya menemui nafas baru menjalani kehidupan dengan lebih berjaya.
Empati boleh dipupuk bukan semata-mata dengan pendidikan, tetapi perlu dirasai sendiri. Semakin luas pengalaman melalui pahit maung kehidupan, semakin mudah kita memahami dan merasai penderitaan orang lain. Tetapi semua memerlukan kesedaran minda mengenai kelebihan mereka yang memiliki sifat empati, selain perlu sentiasa nasihat menasihati terutama apabila mengecapi kesenangan. Ia juga perlu dilakukan bersama-sama. Jika hanya sebelah pihak memiliki sifat ini sedangkan yang menerima tidak menghargai, malah mengambil kesempatan serta tidak mencontohinya, maka dikhuatiri berlaku ‘jurang nilai’ yang lama-kelamaan menghakis sifat manusiawi yang mulia.
Islam amat menekankan umatnya memiliki sifat empati melalui pelbagai panduan dan galakan. Malah lebih tinggi nilai dirinya kerana berkait rapat dengan keimanan seperti sifat ithar. Antaranya Allah menyebut dalam Surah al-Dahr mengenai golongan Abrar (yang berbuat kebaikan) dan kenikmatan kekal disediakan baginya. Antara sifat mereka ialah memberi makan kepada orang miskin, anak yatim dan yang dalam tahanan walaupun mereka memerlukannya.
Perkataan ‘ala hubbihi’ bermaksud walaupun mereka sayang berbuat begitu menunjukkan yang menghulur itu juga memerlukan makanan itu tetapi mereka mendahulukan golongan lebih memerlukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbandingan orang Mukmin dalam soal kasih sayang, belas ihsan dan keprihatinan sesama mereka adalah seperti satu jasad. Apabila ada anggotanya sakit, maka seluruh badan sakit, tidak dapat tidur dan demam.” (Hadis Muttafaq alaih)
Justeru, tidak hairanlah sahabat Nabi sanggup mengorbankan harta, nyawa dan berhijrah. Jiwa empati mereka memikirkan orang lain serta meyakini bahawa apa yang dilakukan tanda kasih kepada Allah akan mendapat balasan. Dalam Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir mengisahkan pemuda bernama Huzaifah al-Adawi yang mencari sepupu Ikrimah yang parah dalam peperangan di Yarmuk untuk diberikan minuman. Tetapi apabila dibawa air kepadanya, ia mendengar suara sahabatnya yang lain mengaduh kesakitan akibat cedera juga. Lalu diminta kepada sepupunya untuk memberi air itu kepada sahabat berkenaan, tetapi seperti juga dia, sahabat itu tidak terus minum kerana mendengar suara kesakitan yang lain lalu meminta agar air itu diberikan terlebih dulu kepadanya. Tetapi belum sempat air diberi, sahabat itu meninggal dunia dan apabila Huzaifah kembali kepada yang kedua, dia juga meninggal dan begitu juga sepupunya. Semua mereka tidak sempat minum air itu semata-mata mendahulukan orang lain yang dirasakan lebih memerlukan daripadanya. Semoga Allah merahmati mereka kerana jiwa kasih sayang yang tinggi melahirkan pengorbanan iaitu empati. Barangkali jika ditanya pada diri, mampukah kita melakukan sedemikian? Atau paling tidak, tidak membiarkan begitu saja? Marilah kita renungkan sejenak sejauh mana sifat ini menjalar dalam diri kita. Sejauh mana kita berusaha membudayakannya dalam persekitaran kita? Kerana menilainya juga bererti kita menilai tahap keimanan sendiri.
Justeru apabila menilainya dalam organisasi, maka kita sedar bukan nyawa dan harta yang perlu dikorbankan. Yang perlu ialah sifat empati dengan berusaha mengubah sedikit cara bekerja yang individualistik, egoistik, sombong, berat tulang dan lidah kepada saling membantu, saling mengambil tahu, saling prihatin, saling menyelesaikan masalah dan mengambil tindakan dengan penuh bertanggungjawab. Sifat ini meringankan yang berat dan memudahkan yang sukar dalam bekerja dan Insya-Allah setiap niat, hasrat dan komitmen kita diberkati.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : Reflektif terhadap tamadun silam
Prof Dato' Dr Sidek Baba
Dalam menanggapi dan memahami kehebatan tamadun Islam silam, umat Islam lebih cenderung memiliki sifat nostalgik atau kagum mengenai yang lalu tanpa melakukan apa-apa untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.
Sewajarnya sikap reflektif menuntut daya renung dan daya fikir tinggi terhadap masa silam agar ada iktibar dipelajari yang menyebabkan mereka mampu membangunkan suatu tamadun yang dirujuk oleh Barat dan Timur lebih 600 tahun lamanya.
Ada empat faktor harus dijadikan sumber reflektif para ulama, ilmuwan dan kepimpinan hari ini supaya kehebatan orang terdahulu dalam membangun sebuah tamadun dapat diteliti, dipelajari dan diaplikasikan mengikut kesesuaian.
Pertama, sinergi ulama-umara menyebabkan sumber ilmu dan sumber pemerintahan berada dalam keadaan simbiotik yang tinggi. Ia berlaku pada zaman Al Makmun, Al Mansor, Harun Al Rashid, Omar Ab Aziz dan lain-lain.
Kedua, ilmu disuburkan secara sepadu. Ilmu mengurus diri (ulum naqliah) dan ilmu mengurus sistem (ulum aqliah) bergerak seiring. Ia melahirkan tokoh seperti Ibn Sina yang hafaz Quran awal umur dan pakar perubatan. Ia juga melahirkan Al Khawarizmi dan Abu Qasim Az Zahrawi yang hafaz Quran awal umur dan pakar matematik serta ilmu bedah.
Ketiga, berlakunya tradisi penyelidikan dan pengkaryaan hingga menyebabkan ribuan kitab-kitab besar dihasilkan dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Kesuburan ilmu dan kajian ini menyebabkan tradisi ilmu berkembang dan sistem pendidikan menjadi perkasa.
Keempat, sikap terbuka kepada faedah berbanding dari budaya dan tamadun lain menjadi asas pemanfaatan ilmu dan diolah kembali supaya faedah berbanding itu dapat diberikan tasawwur Islaminya dan tidak bercanggah dengan maqasid atau maksud syariyyah.
Keempat-empat faktor ini harus menjadi sumber reflektif yang terbaik supaya ia mampu meletakkan umat Islam pada kedudukan unggulnya untuk menawarkan sesuatu kepada umat manusia. Dunia kini sedang menghadapi krisis ilmu, krisis sistem dan krisis kemanusiaan yang parah. Perlu ada jalan keluar bagaimana kemelut ini dapat diatasi.
Apa yang terjadi dalam kalangan umat Islam ialah ulama-umara sifatnya tidak saling menyumbang. Dalam banyak keadaan, wujud konfrontasi yang tinggi dan menyebabkan krisis umat terus berlanjutan. Ilmu yang dikembangkan dalam sistem masih bersifat dualistik dan melahirkan modal insan yang saling berkonflik.
Tradisi penyelidikan dan pengkaryaan tidak berlaku dengan pesat dan menyebabkan kebergantungan kepada sumber ilmu orang lain yang orientasinya masih liberal dan sekular menyebabkan pembentukan tasawwur atau cara berfikir umat Islam banyak datangnya daripada orientasi orang lain yang tidak secocok dengan orientasi Islam itu sendiri.
Tradisi memanfaatkan sumber tidak berlaku secara penyaringan yang baik. Sumber-sumber dari Barat dan Timur diambil semahu-mahunya tanpa memikirkan kesan nilai dan pemikiran. Ia telah menyebabkan berlakunya krisis keilmuan dan pendidikan, krisis etika dan nilai, krisis cara hidup dan sistem nilai hingga menyebabkan kekaguman yang berlebihan terhadap budaya dan pemikiran popular orang lain dan memandang remeh sumber dari tradisi sendiri.
Malah ada yang mengatakan sumber tradisi adalah kolot dan ketinggalan zaman. Kita berdepan dengan zaman yang pantas berubah. Revolusi ilmu dan kompleksnya teknologi menyebabkan umat Islam hanyut dalam arus liberalisasi yang tidak mempunyai sempadan.
Ia memerlukan umat memiliki cetusan kesedaran bahawa sekiranya kita tidak mampu membangunkan epistemologi ilmu yang Islami dan tasawwur pendidikan yang manusiawi, kita akan terjebak dalam perangkap zaman yang menjadikan kita penganut neo-liberalisme.
Neo-liberalisme atas nama hak asasi melampau, kebebasan tanpa batas, konsep civil liberty yang bersifat anarki (disorderly) merupakan falsafah pasca-modernisme yang sangat berbahaya bagi Islam. Sebab itu sebarang agenda kemajuan dan pembangunan seharusnya merujuk kepada pembangunan manusia (rijal) seutuhnya.
Sains hanya suatu cara dan teknologi selamanya alat. Sekiranya sains digunakan untuk memberi manfaat kepada manusia dan teknologi tidak saja bersifat high-tech tetapi bersama dengan high-touch atau sentuhan keinsanan, sains dan teknologi bakal bersifat menyumbang dan memiliki kualiti manusiawi bukannya mendorong manusia kepada gelagat haiwani.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU PENGAJIAN TINGGI : Sistem Pendidikan Malaysia Lebih Baik Berbanding Negara Maju
KUALA LUMPUR: Generasi muda negara ini mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding pelajar di Amerika Syarikat, Britain dan Jerman, menurut Laporan Daya Saing Global 2011/2012 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada segi kualiti pendidikan, Malaysia di tangga ke-14 keseluruhan dan di tempat kedua selepas Singapura dalam kalangan negara Asean.
"Ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan kita. Sudah pasti kejayaan ini adalah hasil usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan dan rakyat dalam meningkatkan kualiti pendidikan, kualiti modal insan dan daya saing negara.
"Saya yakin dan percaya dengan adanya usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara dan kualiti modal insan yang dilahirkan, kita akan dapat meningkatkan lagi kedudukan negara kita dalam indeks daya saing global pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada majis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Sabtu.
Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata sektor pengajian tinggi adalah pemangkin kepada usaha melahirkan rakyat yang mampu menjana kemajuan dan pembangunan negara.
Kemajuan dunia yang selari dengan perkembangan ilmu dan teknologi telah menjadikan peranan sektor pengajian tinggi semakin kritikal, katanya.
"Dalam konteks pembangunan negara, pembinaan modal insan berkemahiran dan berpengetahuan tinggi merupakan pelaburan terpenting yang menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif," katanya.
Beliau berkata kejayaan Malaysia menjadi sebuah negara maju akan ditentukan oleh keupayaannya membekalkan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk memenuhi keperluan dalam industri-industri bersifat intensif ilmu.
"Maka dalam konteks ini, pelaburan dalam sektor pendidikan adalah faktor paling kritikal dalam melahirkan modal insan yang diperlukan untuk memacu kemajuan negara kita ke tahap seterusnya. "Justeru dasar pembangunan modal insan negara pada masa kini bertumpu kepada usaha untuk melahirkan bakat atau 'talents' yang berilmu dan berkemahiran tinggi selaras dengan pelaksanaan Model Baharu Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi," katanya.
Dalam konteks itu, Muhyiddin berkata Pelan Pembangunan Modal Insan Inovatif peringkat tertiari diwujudkan untuk memacu ekonomi berasaskan inovasi dengan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi sebagai penggerak utama.
Seiring dengan matlamat itu, amat wajar bagi institusi-institusi pengajian tinggi tempatan menawarkan kursus-kursus baru yang relevan dengan dasar transformasi negara, khususnya dalam bidang-bidang berkaitan dengan 12 bidang ekonomi dunia negara, katanya.
"Akses juga perlu diperluaskan kepada kursus-kursus yang mempunyai rantaian nilai ekonomi lebih tinggi seperti perbankan Islam, sains kesihatan, kejuruteraan termaju, sains dan inovasi serta hospitaliti dan pelancongan," katanya.-BERNAMA
ISU PENGAJIAN TINGGI : Jangan salahkan sistem kuota
Oleh MUHAMMED ABDUL KHALID
PERSOALAN kuota dalam pengambilan pelajar dan lantikan pensyarah serta penggunaan bahasa Malaysia dalam pendidikan sering dijadikan alasan terutama apabila sesebuah institusi pengajian tinggi itu jatuh merudum dalam kedudukan indeks universiti terbaik dunia.
Seperti yang ramai sedia maklum, Times Higher Education (THE) sebuah majalah mingguan berpangkalan di London, menghasilkan senarai kedudukan universiti-universiti di dunia setiap tahun dan ia pertama kali dikeluarkan dalam tahun 2004.
Kita dimaklumkan bahawa tidak ada sebuah pun universiti di Malaysia ini yang tersenarai dalam senarai 400 universiti terbaik dunia yang terkini. Ini cukup menyedihkan, walaupun penulis mempunyai pandangan kritikal terhadap metodologi yang digunakan dalam membuat penyenaraian ini yang lebih cenderung kepada universiti-universiti di United Kingdom dan Amerika Syarikat, namun pandangan tersebut adalah untuk artikel di lain masa.
Pada masa ini, THE adalah satu-satunya indeks yang menunjukkan ranking (kedudukan) universiti-universiti dunia dan dijadikan sandaran ukuran oleh banyak pihak.
Dalam senarai yang terkini, daripada 20 universiti terbaik dunia, hampir kesemuanya daripada Amerika Syarikat dan United Kingdom, kecuali nombor 15, sebuah universiti di Switzerland dan kedudukan ke-19, sebuah universiti di Kanada.
Persoalan yang lebih menyedihkan adalah apabila baru-baru ini seorang pentadbir salah sebuah universiti tempatan yang pernah berada dalam senarai THE, menyalahkan sistem kuota dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai penyebab kenapa universiti yang dipimpin beliau terkeluar daripada senarai tersebut.
Secara spesifiknya beliau mendakwa bahawa universiti beliau akan menjadi world class hanya sekiranya ia melupuskan pengambilan pelajar mengikut kuota.
Kita ingin tahu apakah asas kepada hujah pentadbir universiti tersebut dalam membuat andaian beliau bahawa sistem kuota dan bahasa Malaysia sebagai penyebab kejatuhan standard universiti yang beliau pimpin. Kita ingin tahu sekiranya beliau ada membuat kajian mengenai hubung kait di antara kualiti sesebuah universiti dengan sistem kuota.
Setahu penulis tidak ada korelasi antara kuota dengan kualiti universiti. Sebaliknya, ada kajian yang menunjukkan bahawa kecemerlangan pelajar mempunyai hubung kait yang tinggi dengan pendapatan keluarga. Dalam erti kata lain, status ekonomi ibu bapa, bukannya etnik ataupun kaum yang memainkan peranan yang besar dalam menghasilkan pelajar cemerlang.
Untuk pengetahuan pentadbir universiti tersebut, Malaysia sudah memulakan pengambilan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menggunakan sistem meritokrasi sejak tahun 2003 lagi.
Maknanya sejak THE mula menghasilkan ranking universiti pada tahun 2004 lagi, pengambilan pelajar di Malaysia sudah tidak lagi menggunakan sistem kuota. Jadi kenapa sistem kuota yang tidak lagi wujud dipersalahkan?
Untuk pengetahuan pembaca, pada tahun 2004, dilaporkan hanya 39 peratus (%) daripada keseluruhan kaum bumiputera yang memohon diterima masuk ke IPTA berbanding 71% daripada keseluruhan pemohon kaum Cina dan 38% daripada keseluruhan kaum India.
Dalam tahun 2008 pula peratusan yang berjaya bagi kaum bumiputera meningkat ke 53% daripada jumlah keseluruhan yang memohon, manakala kaum Cina pula meningkat ke 78% daripada keseluruhan dan kaum India mencatat peningkatan kepada tahap 51% daripada jumlah keseluruhan.
Untuk tahun 2011, daripada jumlah keseluruhan yang memohon daripada kaum bumiputera, hanya 75% yang diterima masuk berbanding dengan kaum Cina, di mana daripada jumlah keseluruhan yang memohon, 89% yang diterima dan daripada jumlah keseluruhan yang memohon dalam kalangan kaum India, 83% yang diterima masuk ke IPTA.
Penulis juga belum pernah mendengar sistem kuota digunakan dalam pengambilan tenaga akademik. Jadi sistem kuota yang manakah yang dirujuk oleh pentadbir universiti ini? Ataupun adakah apa yang dinyatakan oleh pentadbir universiti ini menunjukkan bahawa selama ini beliau sendiri tidak yakin dengan kebolehan diri kerana mungkin beranggapan bahawa beliau dilantik bagi memenuhi kuota kaumnya?
Cubalah untuk seketika kita andaikan bahawa kenyataan pentadbir ini betul-bahawa sistem kuota untuk pengambilan pelajar dan tenaga akademik memang wujud di universiti di bawah pimpinannya.
Seperti yang penulis sebutkan, bagaimanakah universiti yang dimaksudkan pernah menduduki ranking yang tertinggi (no. 89) pada tahun 2004 meskipun masih terdapatnya kesan kuota kaum pada masa itu? Menggunakan logik pentadbir ini sendiri, pencapaian cemerlang Universiti Malaya pada tahun itu adalah jelas kerana dasar kuota itu sendiri.
Tambahan pula, sekiranya sistem kuota merupakan penghalang untuk menjadi universiti terkemuka dunia, bagaimana kita dapat jelaskan tentang pencapaian universiti-universiti terbaik di Amerika Syarikat ataupun di Eropah?
Universiti-universiti ini pernah dan masih ada yang mengamalkan sistem kuota, walaupun tidak dengan nyata. Kita tahu di Amerika Syarikat umpamanya dalam usaha untuk mengimbangi masyarakat, sistem kuota digunakan bagi kemasukan kaum kulit hitam dan Latino. Ini bagi menentukan ada penyertaan kaum-kaum lain yang sebelum ini terpinggir daripada arus pendidikan tinggi negara mereka.
Dalam penggunaan bahasa pula, adakah sebelum ini, universiti tersebut menggunakan bahasa perantaraan lain daripada bahasa Malaysia? Kenapa bahasa Malaysia pula yang menjadi 'punching bag'? Tidakkah pentadbir ini tahu bahawa universiti-universiti di Jerman, Perancis, dan Jepun yang berdiri sama tinggi dengan universiti di Amerika Syarikat dan United Kingdom menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa pengantar?
Fikirkanlah, sekiranya sistem kuota adalah penyebab kejatuhan kualiti universiti awam, kenapa universiti-universiti swasta yang tidak mengamalkan sistem kuota dan tidak menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar tidak pula berjaya dinobatkan antara universiti terbaik dunia?
Metodologi THE dipersoalkan oleh ramai pihak. Kalau dilihat penjelasan mereka pun ada memberi maklumat bahawa pembinaan kayu ukurnya adalah berdasarkan pendapat pembaca majalah ini di United Kingdom dan lembaga editorial majalah tersebut.
Sebab itu daripada awal lagi, penulis sudah menyatakan pandangan kritikal tentang metodologi yang digunakan dalam mengukur kualiti sesebuah universiti. Seolah-olah universiti-universiti di luar United Kingdom dan Amerika Syarikat tidak berkualiti.
Soalnya, adakah universiti-universiti yang tidak tersenarai tidak bagus dan berkualiti rendah? Kita harus melihat konsep kualiti ini dengan lebih menyeluruh sesuai dengan acuan kita. Adakah sama konsep pembinaan modal insan cara Malaysia dengan cara United Kingdom ?
Mungkin ada kebenarannya bahawa kualiti universiti kita makin menurun seperti yang dikatakan oleh pentadbir tersebut, tetapi untuk meletakkan kesalahan ke atas sistem kuota yang sudah tidak lagi wujud dan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, bukan hanya tidak wajar, tetapi adalah salah dan tidak berdasarkan fakta langsung.
PENULIS ialah lulusan PhD dari universiti di Perancis dan kini bertugas di Kuala Lumpur.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/