Isnin, 16 April 2012
ISU PENDIDIKAN : Guru sasaran lepas geram
JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini.
Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum.
Malangnya, zaman ini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing.
Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru.
Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru?
Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?
Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu.
Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi.
“Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.
“Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.
“Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.
Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum.
“Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas.
“Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.
Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu.
Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah.
“Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal.
“Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya.
“Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung.
“Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah.
“Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.
Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara.
Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi.
Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil.
“Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai.
“Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya.
Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas.
“Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati.
“Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.
Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru.
“Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.
Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki.
“Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua.
“Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
ISU KESIHATAN : Tekanan berpunca daripada kecelaruan, kelemahan jiwa
Oleh Syed Abi Ghufran al-Idrus Syed Ahmad al-Idrus
bhagama@bharian.com.my
‘Kembali’ kepada Tuhan ubati segala resah dalam hati ummah
TEKANAN fitrah kehidupan kerana selagi bernama manusia dan dalam kehidupan moden serba mencabar ini, tekanan menjadi sebahagian makanan serta pakaian kita. Suka atau tidak, tiada satu hari pun yang berlalu tanpa perlu berdepan situasi boleh mencetuskan tekanan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi Sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155).
Tekanan perasaan atau keluh kesah biasanya akan dialami oleh orang yang dalam dirinya ada sifat dengki, iri hati, cemburu, benci, berprasangka buruk pada orang lain, suka menjaga tepi kain orang, tidak pernah berasa puas dengan apa dimiliki.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang sudah berlaku kepada orang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah, ayat 214)
Allah SWT mengingatkan, dalam kehidupan kita tidak akan sunyi daripada ujian dan kesusahan. Ia bukan saja dilalui kita bahkan oleh umat terdahulu. Segala bentuk ujian dan kesusahan itu akan membentuk tekanan kepada manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’ad, ayat 28)
Tekanan kadang-kadang memberikan impak positif seperti membuatkan seseorang itu bekerja keras, membina daya kreativiti, lebih berkeyakinan diri atau membentuk peribadi mantap dan berdisiplin.
Tetapi jika tekanan itu tidak dihadapi dengan baik atau berlebihan maka, ia akan memberi kesan buruk terhadap individu berkenaan hingga mungkin mengganggu emosi dan fizikalnya.
Sejauh mana seseorang itu dapat menghadapi tekanan, itulah ganjaran pahala diperolehnya. Semakin besar tekanan dihadapi semakin besar nilai pahala di sisi Allah SWT. Iman juga akan bertambah serta berkurang dengan tekanan yang pergi dan datang.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala dari apa yang mereka sudah kerjakan.” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Muslim yang cemerlang ialah Muslim yang berjaya menghadapi setiap tekanan dalam kehidupan sama ada membabitkan masalah kerja, kesihatan, keluarga, masyarakat dan negara. Kita tidak dapat lari ujian Allah SWT maka caranya sekarang ialah belajar menghadapi dan menangani tekanan.
Allah SWT sudah menamakan tujuh golongan yang terkecuali daripada mengalami penyakit keluh kesah, kesusahan jiwa dan tekanan iaitu mereka yang mengerjakan solat, bersedekah, meyakini hari pembalasan, menjaga faraj dan kehormatan diri, menjaga amanah dan janji, menjadi saksi yang adil dan jujur serta memelihara solat.
Islam tidak melihat punca tekanan dikaitkan dengan tekanan mental semata-mata. Tekanan sebenarnya berpunca daripada kecelaruan, kelemahan hati, roh, nafsu dan akal. Kelemahan hati menyebabkan rapuhnya hubungan individu dengan Allah SWT sehingga dirasakan hidup menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar bagi setiap inci masalah.
Islam menganjurkan beberapa cara untuk menangani tekanan antaranya tadabbur al-Quran, tafakur, banyakkan sedekah, taqarrub, berwuduk, bersangka baik terhadap Allah SWT, bijaksana dalam pengurusan masa dan tenaga, banyakkan berzikir, bersyukur, memberi kemaafan dan tawakal.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya sudah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)
Lantaran itu, tekanan memang fitrah bagi manusia. Setiap dugaan yang datang adalah ujian daripada Allah SWT bagi menaikkan darjat dan martabat seseorang di sisi-Nya. Hanya ‘kembali’ kepada Tuhan dapat mengubat segala gundah-gulana dalam hati manusia.
Hati manusia adalah milik Allah SWT. Mohonlah kepada pemilik hati itu untuk mendapat kebahagiaan, ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang bijak menangani tekanan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU KESIHATAN : Bahana nyamuk aedes
Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
RATA-RATA semua orang tahu apa itu nyamuk aedes dan betapa bahaya gigitannya yang menyebabkan demam denggi.
Kempen membanteras nyamuk yang membawa virus mampu membunuh itu saban tahun giat dijalankan oleh kerajaan dan sering dipaparkan di pelbagai media sama ada televisyen, radio atau akhbar.
Masyarakat sedia maklum aedes membiak di takungan air jernih sama ada di dalam atau luar rumah dan mengambil masa kira-kira seminggu untuk menetas.
Langkah pencegahan pembiakan nyamuk aedes juga difahami masyarakat iaitu antaranya menyalin air dalam tempayan, kolam mandi tiap-tiap minggu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali dan pelbagai lagi.
Namun, kempen tersebut seakan-akan tidak meninggalkan kesan apabila kes-kes kematian akibat demam denggi terus direkodkan.
Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 6,607 kes dilaporkan, meningkat sebanyak 1,256 kes atau 24 peratus berbanding 5,351 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan, sebanyak 17 kematian akibat demam denggi dicatatkan berbanding hanya sembilan kematian pada 2011 untuk tempoh yang sama.
Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pantai Ampang, Dr. Nor Adina Ahmad Tajudin berkata, walaupun kempen memerangi demam denggi sentiasa dijalankan, masyarakat dilihat mengambil ringan permasalahan tersebut dan tidak melaksanakan langkah pencegahan seperti disarankan.
"Masyarakat tahu keseriusan penyakit itu tetapi kesedaran mereka masih kurang dan mengambil lewa langkah pencegahan pembiakan nyamuk seolah-olah mereka 'kebal' daripada gigitan aedes.
"Ada juga yang tidak memandang serius demam yang dihidapi.Sedangkan jika mereka menghidap denggi dan lambat mendapatkan rawatan, ia mampu membawa maut," ujarnya ketika ditemui di Hospital Pantai Ampang baru-baru ini.
Rawatan
Menurut Dr. Adina, sehingga hari ini, belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini.
"Demam denggi pulih sendiri dan rawatan yang dijalankan sebenarnya adalah terapi sokongan. Tiada ubat atau antibiotik khas untuk merawat jangkitan tersebut.
"Apa yang dilakukan adalah usaha mengurangkan demam dengan memperbanyakkan pengambilan minuman sehingga lebih tiga liter bagi mengawal penyahidratan.
"Selalunya, mereka yang bilangan platletnya jatuh bawah 100 akan dimasukkan ke dalam wad bagi pemantauan oleh doktor dengan lebih menyeluruh.
"Masalah utama yang saya lihat ialah pesakit selalunya memandang ringan demam yang mereka hidapi. Jika lambat mendapatkan rawatan, ia boleh membawa maut kerana darah semakin pekat serta kekurangan air," ujarnya.
Tambahnya, sekiranya pesakit tidak mahu atau mampu minum, tambahan melalui cecair mungkin diperlukan untuk menghalang penyahhidratan yang teruk. Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya bilangan platlet turun dengan banyaknya.
Selain itu, ubat demam turut dibekalkan bagi mengurangkan demam yang dihidapi di samping ubat-ubatan lain seperti ubat gastrik jika pesakit menghidap gastrik memandangkan imunisasi badan turut akan turun.
"Bila pesakit menghidapi demam panas tiga hari ke atas, naik ruam atau bintik merah, berlaku pendarahan terutamanya di gusi, berwaspada dan segeralah mendapatkan rawatan doktor," amaran Dr. Adina.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Gajet Elektronik Wujudkan Peluang Berlakunya Jenayah
KUALA LUMPUR: Gajet peribadi yang berteknologi tinggi seperti telefon, iphones, notebook, adalah antara yang memberi kemudahan di hujung jari di samping menyenangkan kehidupan harian pengguna.
Semua gajet ini begitu mempengaruhi kehidupan hari ini. Kita berkomunikasi menerusi suara dan mendapatkan maklumat, menyiapkan tugas dan malahan menyimpan maklumat rahsia peribadi menerusi gajet berkenaan.
Namun gajet elektronik juga mempunyai kelemahan. Selain mengehadkan interaksi bersemuka, ia juga berkompromi dengan keselamatan data peribadi. Bayangkan apabila anda kehilangan gajet berkenaan, sebenarnya anda bukan setakat kehilangan gajet malahan maklumat peribadi seperti nombor pin, alamat, gambar dan data peribadi lain yang disimpan dalamnya.
Oleh itu, pemilik gajet berkenaan adalah terdedah kepada unsur-unsur jenayah.
Apabila data peribadi pemilik gajet diperoleh oleh penjenayah, mereka bukan sahaja boleh mengeluarkan wang pemilik dari akaun bank atau untuk tujuan ugutan, malahan mereka boleh terpacul di depan pintu rumah pemilik gajet.
Mudah Hilang
Gajet mudah alih ini juga senang jatuh ke tangan mereka yang tidak diingini apabila pemiliknya lalai atau dicuri.
Tambahan pula, kemudahan internet Wifi percuma yang disediakan pihak restoran pula, akan menggalakkan orang ramai membawa komputer bimbit masing-masing dan duduk berlama-lamaan bersama rakan sehingga dinihari.
Golongan ini kebanyakannya remaja dan pelajar, yang mungkin pada mula alasannya untuk bersama-sama membuat tugasan, namun tidak sedar kemudahan internet itu boleh mengundang malapetaka kepada mereka sendiri dan pemilik restoran.
Rompakan di sebuah restoran mamak 24/7 yang terkenal di Shah Alam pada tahun lepas, yang mana klip video dari kamera litar tertutupnya yang memaparkan kejadian itu dimuat naik dalam laman sosial jelas menunjukkan pemilik gajet yang menggunakannya di tempat awam terdedah kepada penjenayah.
Dalam kejadian itu juga, beberapa pelanggan lain dirompak.Ini adalah antara tempat yang paling senang anda boleh kehilangan gajet peribadi.
Kurang Kesedaran
Bukan itu sahaja, malah sikap sesetengah mereka yang suka mengambil mudah, meletakkan telefon bimbit di atas meja makan di restoran, meletakkan beg di kedai makan atau hotel atau di kerusi tanpa perhatian semasa mengambil makanan juga boleh mengundang penjenayah untuk melakukan kerja terkutuk itu.
Pengurus projek Vitaldelta Sdn Bhd, Syahrul Izwan Abdul Wahab ketika mengimbas kembali kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, berkata, rakannya yang sedang berbual bersama-sama yang lain didatangi oleh seorang pemuda yang tidak dikenali dan memberi salam sebelum melarikan telefon bimbit yang diletakkan di atas meja. "Tiada unsur pukau berlaku, tetapi mereka terkejut dengan tindakan pemuda berkenaan dan terpinga-pinga dengan kejadian itu," kata bapa kepada tiga anak itu.
"Tetapi sejak kejadian di Shah Alam, dan kejadian di mana penjenayah merompak telefon bimbit rakan saya semasa sedang makan dan berbual-bual, saya mengambil langkah berhati-hati tidak membawa peralatan ke restoran. Saya akan buat kerja di rumah atau pejabat sahaja," katanya. Tempat letak kereta juga adalah tidak selamat namun pemilik kenderaan masih mengamalkan sikap meninggalkan peralatan seperti notebook dalam kenderaan dan ini sememangnya menarik perhatian pencuri.
Rakan penulis pernah mengalami kerugian beratus ringgit menggantikan cermin belakang keretanya kerana kereta dipecahkan semasa diletakkan di sebuah tempat letak kereta kerana meninggalkan sebuah fail mesyuarat yang hanya berisi beberapa helai kertas kosong, pen dan aturcara majlis yang dianggap berisi barang berharga oleh penjenayah berkenaan.
Selain itu, sikap mengambil mudah dengan meninggalkan barang-barang berharga ataupun beg dalam kereta juga perlu diubah, kerana nanti kita tidak mahu kembali ke kereta dengan cermin tingkap pecah dan terpaksa menggantikannya yang tentunya berharga ratusan ringgit.
Paling tidakpun, kalau tidak mahu membawanya bersama, sorokkanlah barang-barang dan alat elektronik itu di tempat yang sesuai dan bukannya diletakkan di tempat yang boleh orang yang lalu lalang melihatnya kerana ia adalah satu peluang jenayah.
GPS
Penulis juga ada menerima e-mel daripada seorang rakan yang mengingatkan supaya tidak meninggalkan alat pengesan kedudukan global atau singkatannya GPS dan alat kawalan jauh pagar elektrik dalam kereta. Amaran itu juga menyebut berkemungkinan sekiranya kereta dicuri, penjenayah berpeluang untuk menggunakan kedua-dua alat itu pulang ke rumah pemilik kenderaan dan kemudian merompak di rumah pula, sedangkan jiran-jiran tidak perasan bahawa bukan tuan rumah yang pulang!
Begitu juga dengan memasukkan nama isteri atau suami dengan gelaran manja seperti 'sayang' atau 'ayang' dalam telefon bimbit, yang kemudiannya dicuri yang membolehkan si penjenayah mengirim sistem pesanan ringkas kepada suami atau isteri itu meminta kata laluan dan sebagainya untuk mengeluarkan wang dari mesin juruwang automatik (ATM).
Urus Risiko
Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim yang mengulas isu ini berpendapat masyarakat perlu mengurus risiko-risiko ini dengan baik supaya kelak mereka sendiri tidak menjadi mangsa atas kejadian seumpamanya.
Katanya, dalam pengurusan risiko peluang untuk berlakunya jenayah, masyarakat tidak hanya boleh bergantung kepada polis dalam setiap hal tetapi perlu mengambil inisiatif sendiri.
"Kalau kita mengambil sikap sambil lewa, kita wajar untuk menyalahkan diri sendiri. Walaupun saya tak dapat pastikan kebenaran kejadian sama ada berlaku atau tidak kejadian dalam e-mel itu, kita perlu mengambil pengajaran daripadanya," katanya, yang juga anggota exco Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Beliau berkata orang ramai perlu mengambil inisiatif untuk tidak meletakkan segala-gala maklumat peribadi dalam telefon bimbit kerana ia boleh mengundang bahaya sekiranya ia hilang, tercicir atau dicuri.
"Masalah kita ialah keengganan melihat diri sendiri menjadi mangsa. Ini perlu diperbetulkan. Siapa tahu kelak kita sendiri akan menjadi mangsa, komputer riba kita pula yang dirompak," katanya yang juga anggota Persatuan Kaji Jenayah British dan Persatuan kaji Jenayah Amerika Syarikat.
Curiga Dengan Jualan Gajet Murah
Pada masa sama, masyarakat perlu melaporkan kepada polis mengenai pihak-pihak yang cuba menjual telefon bimbit, komputer bimbit dengan harga yang sangat murah dan sukar diterima akal kerana ini berkemungkinan barang curi.
Membeli barang curi adalah satu kesalahan kerana bersubahat, katanya. -BERNAMA