Rabu, 18 April 2012
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Telefon mudah meletup
Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
Produk tak ikut piawaian banjiri pasaran ancam nyawa: SKMM
CYBERJAYA : Pengguna perlu berhati-hati ketika membeli telefon bimbit, komputer riba dan komputer tablet kerana kira-kira 30 peratus daripada peralatan yang dijual di pasaran negara ini tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa serta berbahaya digunakan.
Perkara itu didedahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi selepas menerima aduan orang ramai banyak telefon bimbit seludup yang digelar sebagai ‘underwater atau submarine handset’ di kalangan peniaga, tidak menepati piawaian.
“Jika pengguna membeli produk telekomunikasi seperti telefon yang tidak memenuhi piawaian, anda mungkin terdedah kepada kejadian ia meletup ketika di dalam saku atau ketika digunakan.
“Kita menasihatkan pengguna membeli peralatan yang disahkan selamat dan mempunyai label SKMM bagi menjamin keselamatan diri masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM), di sini semalam.
Beliau berkata, SKMM juga bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) bagi memantau kemasukan produk telekomunikasi yang tidak memenuhi piawaian daripada memasuki pasaran Malaysia menerusi pintu masuk dan pelabuhan utama di seluruh negara.
“Ramai peniaga produk telekomunikasi di Malaysia sudah mematuhi piawaian penjualan produk telekomunikasi, namun masih ada segelintir yang menyeludup masuk barangan itu,” katanya.
MoU itu membabitkan pemeteraian perkongsian pintar antara SKMM dengan SIRIM bagi memantau penjualan dan mengawal selia pemasaran produk telekomunikasi menerusi penggunaan aplikasi 'Online Centification for Communication & Multimedia' (e-ComM) yang dibangunkan oleh Dagang Net Technologies Sdn Bhd (Dagang Net).
“Kita berharap kerjasama ini bukan hanya dapat membantu SKMM meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menjual produk telekomunikasi tidak memenuhi piawaian, malah melindungi pengguna daripada terbeli peralatan seludup,” katanya.
Aplikasi e-ComM turut digabungkan dengan Malaysia's National Single Window (NSW) yang dibangunkan oleh Dagang Net, iaitu syarikat dilantik oleh Kementerian Kewangan sebagai pemudahcara perdagangan dan kelulusan KDRM.
Penggunaan aplikasi e-ComM juga bagi memastikan tanda atau label persijilan SKMM digunakan dengan betul tanpa sebarang unsur penipuan dan pemalsuan serta membantu SKMM menyediakan laporan berkala.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SUKAN : Chong Wei Dan Pandelela Dinobatkan Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2011
Oleh SURYATI MOHD NOR
SERI KEMBANGAN: Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong menjadi pilihan untuk merangkul gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011 sekali gus mengetepikan saingan terdekat masing-masing pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2011 yang berlangsung di Palace of the Golden Horses, Selasa malam.
Sepanjang tahun 2011, Chong Wei berjaya mengekalkan gelaran pemain nombor satu dunia selama 40 bulan, dari 2008 hingga Disember 2011 selain menjadi juara tujuh kejohanan antarabangsa, enam daripadanya kejohanan Siri Super dan Siri Super Premier.
Chong Wei yang juga Olahragawan 2005 dan 2008 mengetepikan pencabar terdekat Cheng Chu Sian (memanah) dan juga Bryan Nickson (terjun).
Sementara itu, trofi Olahragawati pula menjadi milik Pandelela selepas mengetepikan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, Nur Suryani Mohd Taibi (menembak) dan Fatehah Mustapa (berbasikal).
Kejayaan Pandelela tahun lalu dengan meraih pingat perak dalam acara 10m Platform individu di Siri Pertama Kejohanan Dunia di Rusia dan gangsa dalam acara sama pada Siri Kedua kejohanan yang sama di China melayakkan dia meraih gelaran utama ASN ini.
Chong Wei dan Pandelela masing-masing menerima habuan wang tunai bernilai RM20,000.
Dalam pada itu, Allahyarham Muhamad Salam Sidik dari acara memanah dinobatkan sebagai Olaragawan Paralimpik Kebangsaan, manakala atlet olahraga, Hemala Devi dipilih sebagai Olahragawati Paralimpik Kebangsaan dan masing-masing menerima wang tunai Rm10,000.
Bagi kategori berpasukan lelaki, atlet memanah yang terdiri daripada Chu Shian, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq dipilih sebagai Pasukan Lelaki Kebangsaan terbaik, manakala terjun meraih Pasukan Wanita Kebangsaan terbaik.
Syed Mohd Hussain Syed Mazlan (berbasikal) dipilih sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan dan Rosniza Abu Bakar menerima anugerah Jurulatih Wanita Kebangsaan. Kedua-dua jurulatih ini masing-masing menerima trofi dan wang tunai RM5,000.
Kategori Anugerah Kepimpinan Sukan diberikan kepada Datuk Kee Yong Wee yang merupakan antara nadi penting dalam sukan wushu negara.
Anugerah Khas pula diberikan kepada Shaharudin Jaafar yang telah memainkan peranan penting dalam dunia berbasikal negara, malah beliau juga merupakan bekas pemenang pingat gangsa acara berpasukan pada Sukan Asia 1963 dan turut tersenarai pada Sukan Olimpik di Tokyo (1964).
Beliau juga merupakan individu yang telah menubuhkan Persatuan Lumba Basikal bagi negeri Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang dan Perlis.
Selain itu, bagi Anugerah Tokoh Sukan, tidak ada pencalonan yang disenaraikan.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Preve model terbaik pernah dihasilkan
Oleh JOHARDY IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my
KIRA-KIRA dua tahun lalu, sekumpulan kecil wartawan dibawa ke bilik rahsia di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Proton di Shah Alam. ‘Rahsia’ kerana bukan sahaja wartawan dikehendaki membuat aku janji untuk tidak melaporkan atau menyebarkan perihal acara itu tetapi juga kerana tingkap bilik tersebut ditutup dan hanya jurutera serta juruteknik bahagian itu dibenarkan memasuki bangunan.
Di dalamnya, sebuah model kereta yang diperbuat daripada tanah liat tetapi ‘lengkap’ sifat luarannya, dipertontonkan. Kumpulan wartawan tersebut diberi masa membelek dan meneliti reka bentuk kereta. Kemudian, seorang demi seorang bangun memberi pendapat, yang butirannya dicatat oleh jurutera-jurutera Proton.
Berdasarkan pendapat yang dikeluarkan oleh rakan-rakan wartawan yang juga terdiri daripada beberapa penganalisis industri automotif veteran, reka bentuk model Proton baru ini menerima ulasan positif.
Model tanah liat tersebut menggambarkan ciri-ciri yang ke hadapan dan paling penting, memiliki semua aksesori badan seperti lampu isyarat pada cermin sisi, ruang but yang besar dan lampu LED siang hari. Ketika itu, kereta jenama Korea belum memasuki pasaran atau dilahirkan pun di kilangnya. Reka bentuk Preve lahir daripada kreativiti tulen jurutera Proton yang merupakan anak Malaysia.
Ketika itu, Proton sedang sibuk memperkenalkan model yang ditukar jenama iaitu Proton Inspira dari Mitsubishi Lancer dan masih hangat dengan pengenalan model kenderaan pelbagai guna Proton Exora.
‘‘Pembangunan model diberi nama kod P3-21A memerlukan masa. Kita memutuskan untuk melancarkan Proton Inspira bagi mengisi jurang yang ada dan bila P3-21A ini dilancarkan kelak, kita akan susun semula model-model Proton supaya tidak bertindih,” jelas Pengarah Urusan Proton Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir kepada Utusan Malaysia ketika itu.
Pada 4 April lalu, Syed Zainal Abidin mengumumkan secara rasmi nama model P3-21A ini iaitu Proton Preve (disebut prey-vey) dan kemudian, satu sesi pandu-uji dilakukan dari Putrajaya menuju ke Mantin menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas). Ia juga menandakan bermulanya penyiaran gambar Preve di dalam internet, hasil rakaman gambar orang ramai di sepanjang jalan tersebut.
Dengan enjin berkapasiti 1.6 liter, Preve bersaing secara langsung dalam Segmen C dengan model-model Toyota Vios, Ford Focus, Honda City dan Kia Forte. Perbandingan tidak akan dapat dielakkan antara Preve dengan jenama-jenama kereta ini.
Bagi penyusunan semula model-model Proton, kehadiran Preve menyaksikan Proton Gen.2 dikhususkan untuk pasaran eksport manakala Proton Persona hanya ditawarkan B- Line (transmisi manual) RM46,713 dan (automatik) RM49,713 seunit. Dua lagi varian Persona iaitu M-Line dan H-Line ditamatkan. Ini bermakna Persona B-Line akan diletakkan di bawah Preve, sementara Proton Inspira (enjin 1.8 liter dan 2.0 liter) berharga antara RM78,565 dan RM91,565 seunit sebagai model teratas.
Preve didatangkan dalam tiga varian iaitu model Executive mengguna transmisi manual lima kelajuan berharga RM59,990 seunit, model Executive CVT atau Continuous Variable Transmission dengan enam kelajuan (RM62,990 seunit). Kedua-duanya menggunakan enjin Campro IAFM+ manakala model tertingginya iaitu Premium CVT menggunakan enjin Campro CFE dengan transmisi tujuh kelajuan ProTronic ialah RM72,990 seunit.
Bagi enjin Campro IAFM+, ia memiliki kuasa maksimum 80 kW pada 5750 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 150 Newton meter (Nm) pada 4000 rpm. Kelajuan maksimumnya ialah antara 170-180 km sejam (km/j).
Model Premium CVT pula menawarkan kuasa enjin maksimum 103 kW pada 5000 rpm dan kuasa kilas 205 pada 2000-4000 rpm. Ia boleh dipacu sehingga 190 kmj walaupun semasa sesi pandu uji tempoh hari, kami mencatat kelajuan 210 kmj.
Daripada segi keselamatan, varian Premium CVT adalah lengkap. Beg udara bagi pemandu dan penumpang beserta beg udara sisi, selain dengan ABS dan EBD, BA dan Traction Control adalah dipasang standard.
Satu ciri keselamatan penting pada Preve ialah ESP (Kawalan Kestabilan Elektronik). Difahamkan, ia adalah sebagai persediaan Proton untuk memperkenalkan Preve ke pasaran Australia, yang mewajibkan setiap kenderaan dipasang ESP. Teknologi ini tidak dipasang pada banyak kereta Jepun atau Korea pada harga bawah RM100,000.
Ciri mewah pada Premium CVT ialah butang menghidupkan enjin, sistem pengesan hujan dan cuaca iaitu dengan menyalakan lampu apabila gelap; pengelap cermin automatik, auto cruise, lampu LED dan bagi yang mahu ‘bermain’ dengan kereta, ia memiliki penukar gear pada kemudi stering (paddle shifters).
Mengekalkan ciri-ciri mesra-keluarga, ruang kabinnya memiliki banyak tempat meletak barang termasuk empat cangkuk untuk menggantung plastik makanan iaitu dua cangkuk hanger baju, satu cangkuk di tepi kotak glove dan satu pada tengkuk kerusi penumpang depan.
Preve tidak menggunakan sistem gantungan (suspension) torsion beam seperti Exora sebaliknya sistem gantungan multilink ciptaan Proton sendiri yang lengkap dengan trailing arm dan coilovers. Pemanduan di lebuh raya berombak tidak menjadi gangguan kepada keselesaan dan fokus pemandu.
Menggunakan mod S pada transmisi CVT ProTonic dan beralih pada paddle shifters, tidak mengurangkan kejituan pengendalian dan dibantu oleh kemudi stereng yang lebih bertindak balas, kita jadi terlupa sebentar bahawa Preve hanyalah berkapasiti 1.6 liter kerana ia berfungsi seperti model 2.0 liter.
Rumusannya? Tanpa rasa berat sebelah atau patriotik melulu, Proton Preve adalah hasil teknologi terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton sehingga kini. Bermula dari reka bentuknya yang kontemporari, ciri-ciri aksesori dan keselamatan pada badan sehinggalah kepada keupayaan enjin dan prestasi pemanduan, Proton Preve pasti jadi pilihan ramai dan boleh dieksport ke luar negara dalam erti kata sebenar. Pakej pada Preve adalah lengkap dan memenuhi cita rasa serta kehendak pembeli hari ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Fakta politik dalam peribahasa
Oleh ARIF ATAN
MASYARAKAT hari ini semakin selektif kesan daripada globalisasi yang membawa pelbagai bentuk saluran maklumat dengan kadar yang cepat.
Menyedari hakikat itulah, pentingnya para pemimpin hari ini menggunakan fakta semasa berdepan dengan khalayak masyarakat.
Penekanan kepada budaya politik matang adalah antara intipati wawancara bersama Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia pada 15 April lalu.
Beliau juga memberikan beberapa contoh pendekatan yang digunakannya sendiri dalam usaha menangani dan menguruskan persepsi.
Apa yang ditekankan oleh Menteri Pertahanan itu sebenarnya juga dapat kita telusuri dalam khazanah manuskrip dan peribahasa Melayu kita.
Pemimpin yang konsisten berhujah menggunakan fakta tidak mustahil akan mempengaruhi tanggapan rakyatnya walaupun sebelum itu mungkin mereka begitu tegar untuk tidak berpihak dengannya ibarat "batu yang keras air pelekuknya, hati yang keras lidah pelembutnya".
Sebaliknya, keadaan "umpama kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting" akan timbul kerana kegagalan pemimpin berhujah dengan fakta walaupun mungkin pemimpin itu ikhlas mahu membantu kepada pencerahan masa depan rakyatnya.
Pemimpin yang berhujah tanpa fakta juga "umpama hendak menepung tiada berberas". Akibatnya, mesej yang mahu disampaikan kepada rakyat gagal difahami kerana mudah benar dimanipulasi. Tidak dapat disangkal lagi, fakta yang jelas adalah syarat utama dalam proses menangani persepsi rakyat.
Usahlah seseorang pemimpin itu bersikap "tak tahu menganyam, pandan disalahkan" atau "tidak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket". Menganggap rakyat sebagai lupa diri atau tidak kenang budi atas jasa bakti yang sebelum ini diberi pasti tidak akan timbul jika pemimpin bijak mengatur fakta dalam berhujah.
Namun, dalam masa fakta dalam hujah diberi keutamaan ada ketikanya sesuatu perkara itu menjadi lebih baik untuk tidak dihebahkan. Biarlah hal itu "ditelan menjadi manikam" kerana jika "dimuntahkan menjadi sekam".
Hujah yang mengandungi fakta juga dapat mengelak daripada berlakunya persengketaan kerana "setajam-tajam pedang tumpul dijilat lidah" manakala pelaksanaan sebarang tindakan eloklah menurut resmi sirih.
Orang tua-tua dahulu telah berpesan "umpama sirih, menjulur dahulu kemudian melilit, sudah melilit barulah memanjat ke pucuk junjung". Jelas, para pemimpin pun tidak terkecuali daripada mematuhi ketertiban dan peraturan apabila tampil berkomunikasi dengan rakyat.
Pemimpin yang bercakap tanpa fakta sebaliknya hanya cakap besar tetapi kosong akan dilihat oleh rakyat "bagai gelegar buluh" serta tidak dipercayai lagi seperti "gaharu dibakar kemenyam berbau".
Demikianlah beberapa ungkapan daripada lebih 2,000 peribahasa asli Melayu yang terkandung dalam Tikaman Bahasa yang telah disusun oleh Muhammad Adnan Muhammad Ariffin pada 79 tahun lalu.
Banyak lagi ungkapan peribahasa Melayu yang wajar diambil iktibar oleh para pemimpin kita supaya pemikiran mereka tampil lebih bijaksana dan boleh dipercayai di mata rakyat.
PENULIS ialah Tutor di Jabatan Sosio-Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU SOSIAL : Islam tegah guna kekerasan, bertindak luar batasan
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Ulama sepakat haram cedera tertuduh, pengakuan dibuat secara paksa boleh terbatal.
ISLAM memandang berat perkara mungkar dan kesalahan khususnya berbentuk jenayah.
Usaha membendungnya dengan langkah pencegahan dan pemulihan dapat dilaksanakan selain penguatkuasaan undang-undang untuk membentuk negara dan masyarakat yang aman tenteram.
Kini, kesedaran masyarakat awam khususnya di kawasan perumahan dan kampung sudah mula menampakkan gaya kesepakatan tinggi dalam membentuk usaha mencegah jenayah di persekitaran mereka. Usaha amat positif ini sewajarnya dipertingkat dari semasa ke semasa.
Pun begitu, kita berasa sedih kerana dalam keghairahan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam itu, ada segelintir yang bertindak di luar batas etika dibenarkan Islam terhadap seseorang yang disyaki bersalah.
Ada yang dibelasah terlebih dulu sehingga cedera parah sebelum dihantar ke balai polis untuk tindakan lanjut pihak berkenaan. Malah ada didera dan diikat di khalayak ramai, supaya wajah si pesalah disyaki dapat dipertontonkan. Apakah ini tindakan yang betul dan dibenarkan agama?
Ada juga pihak menggunakan kekerasan ketika soal siasat dijalankan untuk mencetuskan rasa ketakutan supaya tertuduh membuat pengakuan bersalah. Meneliti aspek ini ada baiknya kita tinjau pandangan empat mazhab.
Ulama keempat-empat mazhab bersepakat bahawa pengakuan disebabkan paksaan tidak boleh dijadikan asas dalam menjatuhkan sebarang hukuman.
Ulama Mazhab Syafii, Imam Al-Imrani menyatakan, “Tidak diterima pengakuan orang dipaksa. Ini berdasarkan kepada pernyataan Rasulullah SAW yang maksudnya: “Dingkat (dimaafkan) untuk umatku kesalahan, lupa dan apa yang dipaksakan kepadanya.”
Orang yang dipaksa sebenarnya tidak termasuk dalam golongan mukalaf. Pendapat beliau dapat kita jadikan wakil kepada pandangan mazhab Syafii dalam menegah atau melarang penggunaan cara paksa ke atas yang dituduh.
Sementara itu, ulama Mazhab Hanafi, Imam Al-Kasani memberitahu, kerelaan salah satu aspek yang menentukan sesuatu pengakuan itu dikirakan sah atau tidak. Dengan itu, sebarang pengakuan dikeluarkan secara paksaan kami berpandangan ia tidak sah.
Pendapat beliau ini diperincikan secara mendalam dalam kitab Badai’i As Shana’I.
Begitu juga fatwa yang dikeluarkan kalangan ulama Mazhab Maliki yang turut memperakui sebarang tindakan berbentuk paksaan ke atas tertuduh supaya mengaku bersalah adalah haram.
Mengupas isu ini, Qadgi Sahnun berkata, “Masalah hukum pihak yang mengaku selepas diancam, sama ada dengan ikatan, dipenjara, serta dipukul, tidak berlaku hadd.
Malah Imam Malik pernah melafazkan, “Tidak dibolehkan kepada seseorang itu hukuman hadd, kecuali dia mengaku hal itu dengan rasa tenang dan tanpa rasa takut.”
Menurut mazhab Maliki, unsur memaksa berbuat pengakuan bersalah juga dihukumkan tidak sah untuk membolehkan sebarang hukuman dijatuhkan.
Akhir sekali, ulama terkenal Mazhab Hanbali, Ibnu Qadamah berkata, “Kalau seseorang lelaki dipukul supaya dia mengaku berzina, maka tidak wajib atasnya hadd, dan tidak boleh diputuskan yang dia berzina.”
Justeru, dalam aspek melakukan tindakan kekerasan seperti memukul atau mencederakan seseorang tertuduh supaya membuat pengakuan bersalah sudah disepakati ulama sebagai haram dan sebarang pengakuan terbatal.
Begitulah Islam menjaga kepentingan umatnya kerana berkemungkinan besar ada dituduh tidak melakukan apa yang disyaki. Mungkin kita hanya bersangka buruk disebabkan gaya mencurigakan baik dari segi penampilan, tingkah laku atau mungkin secara kebetulan berada di lokasi kejadian.
Malah, apabila sudah disahkan seseorang itu didapati benar-benar berbuat jenayah sekalipun, kita tidak dibenarkan menghukum sendiri secara melulu, mengikut emosi sehinggakan si pesalah itu tercedera.
Serahkan kepada pihak berwajib seperti polis untuk menetapkan tindakan susulan. Orang awam tidak boleh bertindak sebagai hakim dalam menentukan keputusan dan tidak boleh bertindak sebagai tukang hukum terhadap seseorang yang bersalah.
Kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang mengutuskan surat kepada kaum keluarganya di Makkah sebelum Perang Hunain seharusnya dijadikan panduan. Beliau dikatakan ada mengutuskan surat pemberitahuan kepada ahli keluarganya di Makkah melalui seorang wanita bahawa Rasulullah SAW akan menyerang kota Makkah.
Kemudian Rasulullah SAW mendapat perkhabaran dari langit mengenai perbuatan Hatib itu lalu Baginda mengutuskan Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam mengejar wanita itu dan berjaya memintasnya ketika dia berada lebih kurang 12 kilometer untuk memasuki kota Makkah.
Lantas Ali Abi Talib meminta wanita itu turun dari kenderaannya dan kemudian memeriksa kenderaannya dengan rapi. Kemudian kata Ali kepada wanita itu, “Tunjukkan tulisan itu atau kami akan memeriksamu!” Melihat betapa seriusnya dua orang sahabat Rasulullah SAW itu, wanita itupun menyerahkan surat Hatib itu kepada Ali.
Dalam peristiwa ini pemeriksaan itu dibenarkan dan Ali tidak menggunakan kaedah berbentuk kekerasan terhadap wanita berkenaan. Jadi, dalam usaha membendung jenayah, penggunaan kekerasan sangat ditegah terutama memaksa tertuduh mengaku bersalah.
Memang membanteras maksiat dan jenayah itu wajib kita lakukan, tetapi Islam menetapkan aturan yang kondusif dalam menjayakannya tanpa penggunaan emosi melulu dan sarat dengan unsur prasangka buruk.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/