Isnin, 7 Mei 2012
ISU SOSIAL : Dadah boleh jadi punca umat Islam lemah
Oleh Suhaila Said
bhagama@bharian.com.my
Mati akibat ambil dadah secara berlebihan dikategori perbuatan haram bunuh diri
PENYALAHGUNAAN dadah adalah masalah sosial yang makin berleluasa dan mencemaskan negara untuk ditanganinya. Pembabitan rakyat dengan dadah tidak mengenal usia atau lapisan masyarakat sama ada golongan miskin, kaya, pelajar, profesional atau artis khususnya umat Islam.
Hari ini, bilangan penagih kian bertambah sedangkan yang sedia menagih tidak pula berkurangan. Peningkatan penagih dadah membuatkan kerajaan mengisytiharkan dadah sebagai ancaman kepada keselamatan negara.
Statistik penagihan dadah yang dikesan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November 2011 dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (BIONADI), menunjukkan 10,383 penagih telah dikesan.
Mereka ini terdiri daripada 6,535 penagih baru, manakala penagih berulang pula 3,848 orang. Secara purata, seramai 20 penagih baru dan 12 penagih berulang telah dikesan setiap hari sepanjang Januari hingga November tahun lalu.
Berdasarkan risalah kecil ‘Islam Memusuhi Dadah’ yang diterbitkan Pasukan Petugas Khas Anti Dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada 1993, telah memberi penjelasan bahawa dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ketara terhadap sistem saraf seperti menyebabkan keadaan mabuk, khayal, ketagih dan gangguan tingkah laku.
Takrif ini tidak meliputi alkohol dan tembakau serta ubat yang juga bahan kimia asli atau tiruan yang digunakan untuk mengesan, mencegah atau mengubati penyakit.
Kita dimaklum musuh tidak suka melihat perkembangan Islam maju dan terkehadapan dalam pelbagai aspek. Justeru, pelbagai agenda yang mereka laksanakan bagi menjatuhkan Islam dan cara paling berkesan ialah melemahkan kekuatan umat Islam itu sendiri.
Buktinya, penggunaan dadah sudah diketahui umum cukup berjaya dan inilah yang dibawa musuh Islam. Keghairahan kita mengejar kehidupan kadangkala menyebabkan kita lupa jerat yang sentiasa menanti.
Penggunaan dadah berterusan mendatangkan pelbagai implikasi kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama Islam. Jenayah sering dikaitkan dengan penagih. Kebiasaannya, masalah kewangan memenuhi keperluan keluarga dan diri menyebabkan penagih hilang kawalan.
Akhirnya, cara paling mudah untuk mendapatkan wang adalah dengan melakukan jenayah seperti mencuri, memeras ugut, merompak atau membunuh seperti dilaporkan media mengenai jenayah membabitkan penagih dadah baik dalam mahu pun luar negara.
Perkara yang sungguh menyedihkan ialah penagih yang tidak tidak dapat dipulihkan lagi, keadaan mereka sukar untuk dikawal hingga ada antaranya hidup gelandangan dalam keadaan kotor, busuk dan tidak terurus.
Keadaan mereka yang sanggup melakukan apa saja demi memenuhi ketagihan menjadi satu pandangan yang memilukan. Mereka sudah tiada haluan hidup, dibenci masyarakat dan membebankan negara.
Selain itu, penyalahgunaan dadah juga menghancurkan institusi rumah tangga dan membawa kepada perpecahan keluarga. Urusan kekeluargaan atau nafkah seperti makanan, tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya akan terabai jika salah ahli keluarga terbabit dalam penagihan khususnya suami yang sepatutnya menjadi ketua keluarga.
Islam mengharamkan umatnya membunuh diri walau dengan apa cara sekalipun. Kematian disebabkan pengambilan dadah berlebihan hingga membawa maut turut termasuk sebagai membunuh diri.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah melainkan dengan jalan yang hak.” (Surah al-An’am, ayat 151)
Pemulihan rohani suatu usaha positif untuk membaiki atau meningkatkan aspek dalaman manusia. Unsur kerohanian mempunyai tuntutan yang sesuai dengan tabiat kerohanian seperti keperluan harian jasmani kepada akidah, akhlak dan pengendalian.
Perspektif Islam mengajak kita mengembalikan segala jawapan kepada permasalahan kerana setiap yang fitrah kepada manusia bertujuan melengkapkan, menyempurnakan dan sesuai dengan tabiat semula jadi manusia itu sendiri.
Oleh itu, apabila hidup tidak mematuhi fitrah, keadaan menjadi huru-hara seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, ayat 53)
Keutamaan terhadap keimanan seseorang menjadi tunjang utama untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Syariat Islam memelihara kesatuan ummah dengan memelihara perkara utama iaitu akal, jiwa, keturunan, agama, dan kehormatan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU PENDIDIKAN : 16,000 judul buku setahun
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
BERBEKALKAN statistik 16,000 judul buku setahun di negara ini pada dua tahun lalu, sasaran penerbitan buku sebanyak 26,000 judul setahun tidak mustahil untuk dicapai, sekali gus menepati piawaian Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Bagaimanapun, agenda itu tidak boleh dilihat sebagai melepasi kuantiti yang ditetapkan saja tanpa mengambil kira jenis dan genre buku yang diterbitkan, meskipun UNESCO menetapkan negara maju perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 0.1 peratus judul baru daripada jumlah penduduknya.
Ingatan itu menjadi inti pada Syarahan Umum Menzahirkan 26,000 Judul Baru Setahun UNESCO yang disampaikan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Sasaran 16,000 judul buku setahun tidak hanya membabitkan karya kreatif, buku teks atau judul umum, sebaliknya kita perlu mempersoalkan buku bagaimana yang diperlukan. Ini kerana buku yang kurang kita temui di kedai buku adalah buku ilmu, intelektual dan pengetahuan, manakala karya sastera seperti novel memang sudah banyak,” katanya pada syarahan yang dipengerusikan Pensyarah Jabatan Pengajian Media UM, Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan.
Bagaimanapun, Prof Emeritus Abdullah mengingatkan penghasilan karya kreatif perlu diteruskan, tetapi sokongan dana dan tenaga sangat diperlukan dalam penerbitan buku ilmiah.
Beliau turut menarik perhatian lebih 100 peserta terhadap buku kanak-kanak awal remaja yang disifatkan lompang dalam pasaran sehingga menyebabkan pembaca pada usia berkenaan membaca buku yang ditujukan kepada pembaca remaja.
“Apabila kanak-kanak melangkah ke alam awal remaja, mereka tidak menemui bahan khusus yang bersesuaian dengan tahap pemikiran dan pengalaman mereka. Sebaliknya mereka membaca karya remaja yang ditulis untuk pembaca yang sudah bercinta dan merasai emosi itu seperti Ombak Rindu,” katanya.
Dalam budaya masyarakat Inggeris, Prof Emeritus Abdullah berkata, kelompok pembaca awal remaja itu mempunyai bahan bacaan seperti The Secret Seven karya Enid Blyton atau Harry Potter oleh JK Rowling.
“Justeru, tumpuan juga diperlukan untuk memperbanyakkan buku kanak-kanak dan awal remaja yang memerlukan perhatian khas terhadap mutu bahasa dan pembinaan isi kandungan. Meskipun kita tidak menolak karya terjemahan bagi kategori pembaca itu, kita tidak boleh mengambil sebarangan daripada buku yang ditulis berdasarkan budaya lain,” katanya.
Malah, kata Prof Emeritus Abdullah, buku kanak-kanak awal remaja juga perlu dilihat dalam konteks kesesuaian jantina pembaca kerana buku khas untuk pembaca lelaki pada usia itu juga sangat kurang.
“Mereka lebih gemar kepada novel kecil yang berunsurkan aksi, pengembaraan dan sains, selain cenderung kepada pembacaan komik.
“Kita juga perlu kepada komik dengan superhero dari latar budaya kita sendiri kerana sastera sebenarnya mempunyai etos bangsa seperti Superman sesuai dengan etos bangsa Amerika.
Beliau mengingatkan sasaran 26,000 judul setahun yang dianggap mudah dicapai ekoran masih banyak buku yang belum didaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) tidak bermakna sekiranya nisbah buku ilmu sangat sedikit.
“Kita memerlukan model berdasarkan negara yang memiliki jumlah penduduk yang hampir sama dengan kita seperti Taiwan.
“Begitu juga dengan Korea Selatan kerana rakyatnya sanggup menghabiskan wang sebanyak RM1,200 purata setahun untuk membeli buku sehingga tidak hairanlah industri bukunya sebesar RM9 bilion setahun,” katanya.
Justeru, Prof Emeritus Abdullah menyarankan perhatian diberikan untuk menerbitkan buku seperti sains dan teknologi, manakala tradisi penerbitan sedia ada diperkukuhkan dengan buku agama, falsafah, sastera dan perundangan.
“Golongan sarjana dan profesor pula perlu menerbitkan buku dalam bahasa Melayu kerana pensyarah Melayu sebenarnya lebih kreatif dalam menulis buku dalam bahasa ibunda mereka.
“Buku juga perlu diimport dari Indonesia dengan melakukan penyesuaian yang diperlukan, selain memperbanyakkan terjemahan buku daripada bahasa lain khususnya yang membabitkan kepakaran yang tidak kita miliki,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
ISU SOSIAL : Dosa besar jika majikan tidak bayar gaji pekerja
PADA awal bulan ini kerajaan bersetuju menetapkan gaji minimum sektor swasta setelah 10 tahun tuntutan ini dibuat oleh pihak berkaitan khasnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Gaji minimum di Semenanjung ditetapkan pada RM900 manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan RM800.
Apa pun hak mendapat gaji atau upah yang setimpal di kalangan pekerja telah pun termaktub dalam perundangan Islam. Upah secara syarak bermaksud balasan yang diterima hasil daripada kerja yang dibuat. Dalam Surah al-Kahfi ayat 77 menceritakan perihal upah:
“Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya".
Ayat ini menunjukkan harus mengambil upah di atas pembinaan tembok berkenaan iaitu satu kerja yang telah dibuat.
Ulama Islam telah sepakat bahawa upah daripada kerja wujud dalam perundangan Islam. Ini disebabkan manusia diciptakan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, mereka akan saling perlu memerlukan kepada yang lain.
Kelebihan dan kepandaian ini dapat diambil manfaat secara baik melalui upah di antara satu pihak dengan yang lain.
Dalam Surah al-Talaq ayat 6, Allah SWT mengingatkan untuk memberi upah kepada wanita penyusu bayi. Jika harus memberi upah dalam penyusuan maka sudah tentu dikiaskan juga kepada perkara yang lain dalam kehidupan manusia.
Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar pernah bersama-sama mengupah sorang kafir daripada Bani al-Dail yang mahir tentang jalan menunjuk arah dalam musafir mereka.
Dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari, Rasullulah SAW menegaskan bahawa salah seorang yang menjadi musuh baginda pada hari akhirat kelak ialah orang yang mengupah pekerja dan menggunakan pekerja itu tetapi tidak membayar upahnya.
Hadis ini jelas menunjukkan keharusan mengupah dan satu amaran bahawa adalah melakukan dosa yang besar jika majikan tidak membayar gaji kepada pekerja mereka yang telah disuruh melakukan pekerjaan. Ijmak ulama sendiri memperakukan keharusan memberi gaji atau upah daripada kalangan para sahabat, tabieen, fuqaha termasuk imam mazhab yang empat Hanafi, Malik, Syafie dan Ahmad.
Secara fitrahnya, pemilikan harta manusia adalah berdasarkan kepada kerja yang mereka lakukan. Keperluan upah atau gaji yang setimpal ini boleh dilihat dari aspek individu, keluarga dan juga masyarakat. Daripada individu, manusia membina sesebuah masyarakat sama ada berjaya atau sebaliknya. Jadi, mereka perlu berdikari mencari kerja agar mendapat upah sebagai bekalan kemajuan diri.
Dalam hadis riwayat al-Baihaqi, Nabi SAW telah menyuruh seorang lelaki yang papa mendapatkan kapak dan keluar bekerja selama beberapa hari.
Sebahagian duit upah yang didapati oleh lelaki berkenaan disuruh untuk membeli makanan untuk ahli keluarganya dan baginda SAW menyuruh lelaki berkenaan terus bekerja.
Akhirnya lelaki itu berterima kasih kepada Rasulullah dan baginda SAW bersabda ini adalah lebih baik bagi lelaki itu berbanding nanti beliau datang pada hari kiamat dengan muka yang berkerut dengan masalah papa.
Sunnah Nabi SAW ini memberi pengajaran kepada kita bahawa pemilikan harta oleh individu akan menyebabkan mereka hidup tenang. Mereka dituntut untuk mendapatkan segala kekayaan dan kebajikan di atas muka bumi. Ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan bekerja yang akhirnya mendapat ganjaran dalam bentuk upah.
Upah yang baik dapat mendorong individu menjadi lebih kreatif, berfikir dan bersungguh-sungguh bekerja dan akhirnya menambahkan lagi produktiviti mereka. Keperluan yang pelbagai juga mendesak individu untuk mendapatkan upah setimpal yang dapat menguruskan keperluan diri dan menjadi ahli masyarakat yang berdikari.
Tanpa upah yang sepadan, sudah tentu mereka akan membawa masalah dalam masyarakat kerana terpaksa hidup bergantung dengan ihsan orang lain yang sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan dan penindasan dalam masyarakat.
Dengan upah yang baik pula, individu akan dapat menjauhi tarikan untuk melakukan jenayah seperti mencuri, tipu dan menerima rasuah.
Mereka boleh mengelakkan diri daripada berhasad dengki kepada majikan dan akhirnya dapat memenuhi keperluan asas kehidupan iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta.
Memenuhi keperluan ini adalah wajib dan pihak berkenaan khasnya pemerintah perlu memastikan keperluan asas manusia ini dapat dipenuhi dengan baik.
Sebagai individu yang berkeluarga, dengan adanya gaji atau upah yang setimpal, maka mereka dapat memenuhi keperluan tempat tinggal, pakaian, pendidikan, makanan ahli keluarga di bawah tanggungan dengan baik termasuk ibu bapa yang tua yang tiada sumber pendapatan lagi. Ini akan memperkasakan lagi tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga.
Apabila wujud kemantapan individu hasil kerja dengan upah yang baik, maka bukan sahaja keluarga menjadi rukun dan damai bahkan masyarakat sendiri akan maju ke hadapan hasil sumbangan setiap individu dengan menjadi komponen masyarakat bekerja yang membawa kepada pemilikan harta melalui gaji yang diterima dan dapat menjauhi daripada bergantungan kepada orang lain.
Dengan pengumuman kadar gaji minimum ini, ia diharap sebagai antara langkah berpanjangan pihak kerajaan dalam mewujudkan upah atau gaji yang setimpal kepada pekerja.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Smber : http : //www.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Martabatkan kembali tulisan Jawi
MOHAMAD SHAFIQ ROHAIZAD BUYONG
“HIDUP segan mati tak mahu” itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan nasib tulisan Jawi ketika ini.
Seperti kita maklum tulisan Jawi telah bertapak di alam Melayu lebih kurang sekitar 700 tahun dahulu berdasarkan kepada penemuan batu bersurat tahun 1303 di Terengganu. Malah, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa tulisan Jawi telah digunakan seawal kedatangan Islam di alam Melayu lagi.
Tidak dinafikan tulisan Jawi telah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi. Hal ini dapat dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara 1786 hingga 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957.
Ditambah lagi, melalui tulisan Jawi, hasil kesusasteraan Melayu turut berkembang dengan pesatnya, apabila banyak hikayat lama dikarang dan disebar luaskan melalui tulisan Jawi seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Banjar, Hikayat Raja - Raja Pasai, Hikayat Iskandar Zulkarnia. Biar pun hikayat - hikayat ini tidak diketahui siapa pengarangnya. Namun, hasil sastera ini terus berkembang melalui tulisan Jawi. Tidak dapat dinafikan bahawa tulisan Jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat Melayu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahu pun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar - akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan Jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan Jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu.
Malah, tulisan Jawi tidak dapat dinafikan merupakan aspek penting dalam mengekalkan identiti budaya Melayu. Hal ini, dikuatkan lagi apabila tulisan Jawi dikaitkan dengan kedatangan Islam dan budaya al-Quran ke Tanah Melayu. Ditambah lagi, menurut catatan pengembara Eropah seperti Magellan, Tom Pires dan Van Ronkel, menggambarkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi diiktiraf sebagai bahasa penghubung utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara.
Tetapi pada hari ini kegemilangan tulisan Jawi umpama melalui zon gerhana yang cukup menyedihkan. Adakah masyarakat kita tidak cukup berbangga dengan zaman kegemilangan tulisan Jawi ketika dahulu yang sentiasa digunakan sebagai jabatan keilmuan. Kemerosotan peranan tulisan jawi di dalam dunia keilmuan dapat dikesan semenjak ketibaan kuasa - kuasa Barat yang mula menjajah Tanah Melayu pada abad ke-18 dan 19. Pada ketika ini tulisan Rumi telah diperkenalkan oleh penjajah barat terutama dalam sistem pendidikan yang berorientasikan pendidikan dunia barat. Pada ketika itu jugalah peranan tulisan Jawi sedikit demi sedikit mula terhakis dari perhatian masyarakat Melayu sendiri. Menurut Samat Buang dalam artikelnya Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi menyatakan “bahawa kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J. Wilkinson yang dengan sengaja membunuh tulisan jawi dengan memperkenalkan tulisan Rumi. Dengan adanya tulisan Rumi sedikit - demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya”. Dari pada pandangan Samat Buang tersebut, dapat kita tafsirkan bahawa tahap kebimbangan para ahli akademik berkenaan survival tulisan jawi telah berada di tahap yang membimbangkan.
Hal ini ditambah lagi, pelbagai peristiwa yang sangat menggores hati - hati pencinta tulisan Jawi yang mana 29 Januari 2006 akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan Jawi dihentikan penerbitannya kerana kurangnya sambutan daripada masyarakat terutama daripada masyarakat Melayu sendiri. Malah, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan nada kehairanan menyatakan bahawa tiada seorang pun yang mendengus, apatah lagi mempolemikkan penutupan akhbar itu baik di media elektronik mahu pun media cetak. Malah, Datuk Johan Jaaffar dengan nada sinis di dalam Persidangan dan Pameran Tulisan Jawi di Muzium Negara menganggap orang Melayu renyah dengan identiti warisan bangsanya sendiri. Pandangan beliau ini berpaksikan kepada populasi etnik Melayu yang merangkumi 13 juta orang Melayu, dan akhbar tulisan Jawi tidak boleh hidup dan dipedulikan sedangkan akhbar berbangsa lain dapat hidup subur walaupun komunitinya lebih kecil berbanding masyarakat Melayu. Satu persoalan yang perlu ditudingkan pada diri sendiri, di manakah silapnya?
Justeru, langkah memartabatkan semula tulisan Jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Banyak pendapat mahu pun cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh para sarjan mahu pun orang perseorangan berkenaan langkah perlindungan tulisan Jawi. Antaranya ialah melalui sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi mesti dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Ditambah lagi, pengenalan tulisan Jawi perlu juga dimasukkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu di peringkat sekolah. Hal ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan Jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Malah, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam mahu pun Swasta (IPTA/IPTS), langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan Jawi dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan Jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan boleh dibilang dengan jari.
Oleh yang demikian, penggunaan tulisan Jawi ini perlu dipergiatkan usahanya terutama peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan dalam merealisasikan impian negara bagi menghidupkan semula kegemilangan tulisan jawi yang pernah mencapai puncak kemasyhurannya satu ketika dahulu. Impian ini tidak terlaksana jika hanya dilakukan hanya sebelah pihak sahaja, malah semua pihak perlu berganding bahu tidak apa jua lapisan masyarakat agar tulisan Jawi ini bak kata pepatah Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.
Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Malaya
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/