Khamis, 2 Ogos 2012

ISU KENEGARAAN : Hayati 55 Tahun Merdeka


Oleh : Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong

PERTAMA sekali mari kita panjatkan rasa syukur kepada Ilahi, dengan rahmat-Nya Malaysia hari ini telah mencapai 55 tahun kemerdekaan. Bertapa bertuahnya kita sebagai warganegara yang menikmati keamanan ini hasil daripada perjuangan generasi terdahulu. Namun, berapa ramaikah yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan? 


Jika kita bertanya kepada masyarakat umum, pelajar, mahupun mahasiswa, pasti mereka menjelaskan bahawa kemerdekaan adalah bebas daripada penjajahan kuasa asing. Pada tulisan kali ini penulis ingin mengajak sidang pembaca untuk menghayati erti kemerdekaan daripada sudut yang lebih luas, bukan sahaja mengenal  erti kemerdekaan dari sudut fizikal iaitu bebas daripada kuasa asing. Yang ingin kita lihat adalah erti kemerdekaan dari sudut yang lebih besar iaitu merangkumi kemerdekaan dari sudut mentaliti, sahsiah, dan juga sosial kemasyarakatan.

Adakah kita benar-benar merdeka? Satu persoalan yang bersifat subjektif yang mana jawapannya pelbagai. Ya kita sebenarnya benar-benar merdeka. Buktinya, Malaysia mampu membangun dengan begitu pesat sejak 1957. Kita mampu mencipta nama di pentas dunia, kita mampu mencipta nama dalam apa-apa bidang, ekonomi, politik, mahupun teknologi. Namun, kemajuan yang kita kecapi hari ini bukan berstatus mutlak, kerana, walaupun kita bebas merdeka dalam bentuk fizikal, namun sebenarnya minda kita masih lagi terjajah.

Mengapa penulis berhujah sedemikian? Contoh kecil yang boleh penulis ketengahkan pada kali ini adalah penggunaan bahasa Inggeris yang  kian berleluasa dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Niat penulis bukanlah ingin menyentuh mana-mana pihak tetapi lebih kepada mencetus kesedaran kita dalam soal penggunaan bahasa dalam perspektif kemerdekaan. Adakah kita masih dijajah ataupun bebas?

Ramai yang tidak yakin bahawa bahasa Melayu  mampu meneroka ilmu pengetahuan dengan lebih luas, walaupun  kita sedar bahawa bahasa itu sebagai warisan bangsa.

Kita cukup bangga apabila anak kita  fasih berbahasa Inggeris, namun kita tidak rasa sedikit pun bimbang  jika  anak kita tidak mampu berbahasa Melayu dengan betul. Hal ini disebabkan minda kita masih lagi terjajah  lantas menganggap  bahasa Inggerislah segala-galanya dalam  kehidupan kita hari ini.

Tanggapan buruk ini perlu kita ubati dengan segera, kerana  Ibnu Khaldun (1332-1406), sarjana sosiologi dan falsafah Islam pernah membuat pemerhatian tentang peristiwa ini.

Beliau membuat catatan dalam Muqaddimah, Bab 2, Bahagian 22, bahawa bangsa yang pernah ditakluki oleh sebuah kuasa lain lazimnya terus menjadi kagum terhadap penakluknya. Oleh itu, mereka gemar meniru pakaian, simbol, kepercayaan, budaya dan amalan bangsa yang menakluki mereka.

Mereka menyangka bangsa yang mengalahkan mereka adalah bangsa yang agung. Akibatnya mereka tidak percaya bahawa mereka mungkin dikalahkan oleh faktor-faktor yang biasa sahaja. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila ada dalam kalangan kita yang terus mengagumi kuasa Inggeris. Mereka terus terkesima dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak dapat melihat kejayaan bahasa Melayu dalam memandaikan rakyat kerana minda mereka sudah terjajah oleh Inggeris.

Bagi mereka, bahasa Inggeris dapat digunakan untuk menjayakan segala-galanya. Kejayaan bahasa Melayu melahirkan ribuan doktor, jurutera, ahli kimia, ahli farmasi dan lain-lain, dan mereka yang berjaya ini pula mampu mengikuti pengajian sarjana dan kedoktoran di Korea, Jepun, Rusia, Mesir atau Sweden, tidak membuktikan apa-apa kepada mereka. Mereka tetap terjajah dalam minda yang mengagungkan bahasa Inggeris (Abdullah Hassan 2009: Bahasa Melayu di persimpangan: antara jati diri dengan rumpun globalisasi).

Oleh yang demikian, setelah kita mencapai 55 tahun kemerdekaan yang akan genap 31 Ogos nanti, marilah kita renung kembali, fikirkan sejenak adakah kita pada hari ini masih lagi terjajah  ataupun bebas seperti diuar-uarkan.

Merdeka  atau  kemerdekaan itu besar ertinya, justeru,  hayati erti kemerdekaan itu sewajarnya. Semoga kita menjadi bangsa berdaulat, makmur, dan sepakat. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-55.

Akademi Pengajian Melayu,
Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Menangani gejala sosial masa ini


Oleh : TAKRIL TASUKI

Orang Melayu dilihat mengungguli gejala sosial masa ini. Sebagai umat Islam, wajar mengambil iktibar daripada teguran dan ingatan daripada Sultan Selangor baru-baru ini. Baginda amat bimbang dengan penularan pelbagai masalah sosial kini yang perlu ditangani dengan segera dan berhemah.

Masalah orang Melayu kini bertambah kronik dengan ancaman pelbagai masalah termasuk isu perpecahan, cukup selesa, alpa dan pemikiran bercelaru yang melemahkan perpaduan sejagat, sehinggakan orang bukan Islam semakin berani melemparkan kritikan dan penghinaan terhadap agama Islam.

Orang Melayu perlu sedar, kekuatan mereka hanya bergantung kepada perpaduan. Kita tiada lagi kekuatan ekonomi, pendidikan malah moral. Kuasa politik yang dimiliki pula semakin tercabar. Orang Melayu sekarang umpama pepatah ‘jika pohon kelapa tumbang, kura-kura pun teringin memanjatnya’.

Pohon kelapa itu diibaratkan masyarakat Melayu dan ia baru condong. Tetapi pelbagai haiwan yang sebelum ini tidak berupaya memanjat pokok, kini begitu gagah tegak berdiri menanti tumbangnya pohon  itu.

Orang Melayu turut dilemahkan dengan gejala sosial kalangan remaja yang boleh menggelapkan masa depan generasi muda. Peranan ibu bapa tetap menduduki tempat utama bagi membantu mengurangkan masalah tersebut. Ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap tingkah laku, pergerakan, pergaulan anak di dalam dan luar rumah.

Pengaruh Internet kepada remaja umpama terselit racun yang berbisa. Mereka bebas melayari laman web yang berbentuk hiburan semata-mata dan meminggirkan masa belajar. Kesannya mereka ketinggalan dari segi akademik. Anak bukan Melayu terus cemerlang dalam akademik, tetapi anak Melayu makin jauh tertinggal di belakang.

Justeru, pihak berkuasa khususnya Kementerian Penerangan perlu menapis dan menyekat pengaruh negatif terutamanya bahan pornografi melalui Internet, sebagimana di negara maju seperti China, Britain dan Singapura.

Tarikan kafe siber kepada golongan remaja juga amat kuat. Kewujudan kafe siber yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan wajar diberi perhatian. Di mana-mana tempat kita pergi terdapat kafe siber yang di dalamnya dipenuhi golongan remaja. Kita bukan menolak kewujudan teknologi maklumat di era globalisasi ini, tetapi kewujudannya wajar dikawal dan dipantau agar ia tidak disalah guna seperti budaya melepak dan gengsterisme.

Gejala sosial kalangan masyarakat begitu sukar dibendung kerana kurangnya pengetahuan mengenai gaya hidup yang positif. Bukan hanya kalangan remaja atau muda-mudi sahaja, malah sesetengah golongan tua atau warga emas tidak terkecuali. Kehidupan beragama yang mengamalkan kesederhanaan dalam segenap aspek dipinggirkan, sedangkan kegilaan terhadap hiburan amatlah melampaui batas yang dibenarkan oleh syarak.

Artis menjadi idola mereka, sedangkan alim ulama dipandang sebelah mata. Justeru, ustaz yang berdamping dengan masyarakat dan mengajar di surau atau masjid wajar mengupas dan memberi peringatan berkenaan bahaya gejala sosial masa kini yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan masyarakat.

Golongan ustaz juga perlu melihat sendiri apa yang ada dalam Internet, agar boleh dijadikan pengajaran bagi memberi peringatan kepada masyarakat.

Teh tarik sangat sinonim dengan restoran mamak. Kita lihat di mana-mana sahaja kedai mamak penuh dengan pengunjung remaja, muda-mudi atau golongan tua untuk menikmati keenakan teh tarik di samping melepak sehingga larut malam dan ada kalanya sampai pagi.

Restoran mamak bukan sahaja dibuka 24 jam tetapi menyediakan skrin besar untuk menyaksikan perlawanan bola dan sebagainya. Restoran mamak yang seolah-olah ‘rumah kedua’ bagi mereka boleh mendatangkan kesan negatif dan gejala sosial makin berleluasa.

Justeru, restoran mamak 24 jam harus dipantau dan pihak berkuasa wajar membenarkan restoran mamak membuka perniagaannya hanya  sehingga 12 malam.

Kita wajar mencontohi negara-negara Barat yang memantau dan mengawal serta tidak membenarkan perniagaan beroperasi 24 jam. Menangani masalah gejala sosial memerlukan kerjasama dan kesedaran daripada seluruh masyarakat. Slogan ‘keluargaku, syurgaku’ dan ‘semakin hari semakin sayang’ patut dihayati oleh seisi komuniti kita, supaya melahirkan masyarat madani dan sakinah.

Penulis ialah Timbalan Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor


Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Penjajahan minda, budaya sama bahaya


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Sarwa tauhid nilai semula kemerdekaan

Kedatangan Islam ke rantau Asia Tenggara bukan sekadar menjadi anutan kepada penduduknya tetapi memberikan satu makna baru terhadap kehidupan secara menyeluruh. Kehadiran Islam bukan seperti agama lain sebelumnya, iaitu Hindu dan Buddha. Ia memberi pengaruh yang mendalam terutama dalam membentuk pandangan sarwa.

Negara kita sudah lama merdeka tetapi jiwa kita terus terjajah. Terjajah dengan seribu satu macam perkara yang akhirnya membuatkan kita terkesima dengan kemajuan orang lain. Kekallah kita sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat mencipta”

Pandangan sarwa juga dikenali sebagai worldview, tasawur kehidupan, weltanschaung dan juga rukyah al-wujud fi al-Islam. Ia secara asasnya menjawab persoalan mengenai perihal kewujudan alam dan seisinya, tugas dan kedudukan manusia serta tujuan akhir semua kewujudan itu serta hubungan dan kedudukan Allah sebagai pencipta kepada semua kewujudan. Bauan tauhid amat kuat dapat dihidu dalam pandangan sarwa.

Pandangan sarwa berteraskan tauhid inilah yang bertanggungjawab pada permulaannya membebaskan orang Eropah daripada kegelapan tahyul dan kekeliruan faham mengenai proses alamiah. Menerima wujudnya peraturan alam yang juga dikenali sebagai hukum sains hari ini menjadikan manusia lebih teratur apabila berhubung dengan alam sekeliling.

Perkara sama juga berlaku di rantau ini apabila kehadiran Islam sudah membebaskan orang Melayu daripada perkara yang tidak logik lagi tidak munasabah. Antaranya ialah hubungan rakyat dan raja yang mempunyai takrifan baru.

Hubungan rakyat dan raja

Manusia diiktiraf mempunyai hak yang sama di sisi Allah. Tiada perbezaan darjat jika berdasarkan warna kulit, harta, kedudukan dan keturunan melainkan takwa yang menjadi pembezanya. Begitulah juga dengan hubungan rakyat dan raja. Raja adalah pelaksana amanah kepemimpinan yang dikurniakan oleh Allah dan diakui rakyat. Ia berbeza daripada  zaman pra Islam yang mengangkat raja sebagai dewa dengan kesaktian yang pelbagai dan rakyat mempunyai darjat yang jauh lebih rendah dan hina berbanding raja.

Selain itu, pandangan sarwa ini menjadikan Melayu lebih sensitif terhadap maruah dan kehormatan diri, menyanjung tinggi prinsip keadilan dan hak kemanusiaan.

Menurut Dr Siddiq Fadzil, pembentukan citra dan etos bangsa yang berteraskan tauhid terbantut akibat kedatangan penjajah. Penjajahan menyebabkan usaha pembinaan bangsa terpaksa dialihkan kepada aspek pertahanan bagi mengekalkan penguasaan geografi yang berkait langsung dengan keuntungan ekonomi.

Usaha penjajah untuk menyerang keutuhan budaya bangsa dapat dikesan, terutama pada kelompok elit dan bangsawan. Terhasillah satu kelompok orang Melayu yang bercirikan ‘anglophile’ atau manusia dua kerat, iaitu sekerat Melayu dan sekerat Inggeris. Usaha itu nampaknya tidak begitu berjaya tatkala itu untuk mempengaruhi masyarakat awam.

Namun kita dapati usaha itu tidak terhenti bersama pengisytiharan kemerdekaan negara. Ia diteruskan sehinggalah ke hari ini. Maka kita terus kekal di bawah belenggu penjajahan budaya dan pemikiran. Istilah penjajahan jenis ini dipopularkan oleh Malik Bennabi.

Memaknai semula kemerdekaan

Negara kita sudah lama merdeka tetapi jiwa kita terus terjajah. Terjajah dengan seribu satu macam perkara yang akhirnya membuatkan kita terkesima dengan kemajuan orang lain. Kekallah kita sebagai masyarakat pengguna bukan masyarakat mencipta. Kita hanya mampu membeli pelbagai jenis hasil teknologi tetapi kita terus gagal menghasilkan sumbangan yang bermakna kepada kehidupan manusia sejagat.

Kita amat mudah terpesona dengan trend terbaru gaya terkini. Tidak kira sama ada ia meliputi fesyen pakaian, muzik mahupun gajet. Kita hanya tergolong sebagai pengguna dan peminat setia. Jika ada usaha pengubahsuaian pun, ia masih dalam konsep yang jelas terikat dengan ‘orang lain’.

Marilah kita bersama memaknai semula kemerdekaan negara kita. Kita boleh mulakan dengan bagaimana kita bermula suatu ketika dulu. Kita bermula sebagai bangsa yang tidak mempunyai sebarang peradaban dengan fahaman animisme lalu diangkat darjat sebagai satu bangsa yang dihormati dan dipercayai sehingga mampu mengepalai sebuah pusat perdagangan maritim terbesar di rantau sebelah sini.

Kita tidak dapat menafikan bahawa darjat kita diangkat oleh Islam yang datang bersama misi pembebasan dan pencerahan (tahririy tanwiriy). Penghayatan semula pandangan sarwa tauhid (tauhidic worldview) perlu dilaksanakan. Ia adalah prasyarat wajib bagi sebuah kemerdekaan yang bermakna dan langkah pertama pemberdayaan bangsa.

Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Semarakkan bulan merdeka


 Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE

OGOS merupakan bulan yang penting dalam kalendar negara. Sambutan Hari Kemerdekaan disambut dalam bulan ini dan berkesinambungan ke September di mana kita memperingati Hari Malaysia pada 16 September.

Ia adalah detik apabila sekali lagi rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan keturunan memikirkan sejenak betapa pentingnya ‘Merdeka’ dan pengertiannya kepada semua rakyat Malaysia.

Kedatangan 31 Ogos tahun ini menandakan kita akan menyambut kelahiran negara untuk kali ke-55. Dalam meraikan perayaan bulan merdeka, rakyat Malaysia dapat menyemarakkan semula semangat patriotik mereka yang amat penting dalam pembinaan perpaduan untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti negara kita.

Menyemai kebanggaan kepada bendera Jalur Gemilang penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara. Menganjurkan kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, dalam kalangan anak-anak muda mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera kebangsaan dan maksud di sebaliknya.

Bagi generasi muda, Hari Kebangsaan membawa ingatan  akan kegigihan dan perjuangan menentang penjajah dalam usaha mencapai kemerdekaan. Bagi mereka, ia melambangkan pengorbanan serta kebanggaan dengan apa yang dicapai selama ini. Bagaimanapun, bagi generasi muda, terutamanya yang lahir selepas 1957, kajian yang dijalankan oleh akhbar tempatan sebelum ini menunjukkan walaupun kebanyakan anak muda kita mempunyai semangat patriotik, mereka masih tidak memahami dan menghayati sepenuhnya erti sebenar kemerdekaan.

Bagi mereka hari kemerdekaan hanya merupakan cuti am di mana mereka berpeluang bersantai. Oleh itu, lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka lebih menghargai erti sebenar hari kemerdekaan.

Tatkala rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa tidak lama lagi akan menyambut satu lagi ulang tahun kemerdekaan kita, izinkan saya menekankan sekali lagi tentang asas yang membawa kita bersama iaitu prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Rukun Negara digubal pada 1970 dan menetapkan untuk mencapai satu bentuk konsensus minimum dengan mengambil kira aspirasi nasional di kalangan pelbagai masyarakat di Malaysia tanpa mengira kedudukan geografi atau latar belakang etnik mereka.

Rukun Negara adalah panduan kita untuk pembinaan negara dan perlu dihormati oleh semua. Ia adalah satu wawasan bersama untuk perpaduan nasional. Prinsip-prinsip itu perlu sentiasa dipertahankan dan diamalkan supaya kita tidak mengambil mudah kestabilan, keamanan dan keharmonian yang kita kecapi setakat ini.

Ramai yang mengambil mudah isu perpaduan. Ia bukanlah satu perkembangan yang sihat dalam sebuah negara berbilang bangsa, pelbagai agama dan pelbagai budaya seperti Malaysia, usaha berterusan mesti dibuat oleh semua rakyat untuk mengukuhkan perpaduan.

Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/