Rabu, 8 Ogos 2012

ISU GLOBAL : Berjayakah konsep mesra rakyat Komuniti ASEAN?


Oleh : Mohd Azizuddin Mohd Sani
 
Menjelang 2015, semua negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan menongkah arah baru dengan kewujudan apa yang disebut sebagai Komuniti ASEAN. Cabaran transformasi kepada agenda lama ASEAN sedang berlaku. Fokus perdebatan ASEAN banyak berlingkar kepada prinsip tidak campur tangan dan Cara ASEAN. Perdebatan juga mencakupi isu berkaitan pembentukan Komuniti ASEAN dan Piagam ASEAN dan prinsip hak asasi manusia yang ingin dimasukkan dalam piagam itu.

Prinsip tidak campur tangan dan Cara ASEAN terlalu menekankan kepada pemuafakatan dan diplomasi secara senyap untuk menyelesaikan masalah negara ahli berbanding peraturan institusi dan kritikan langsung secara terbuka. Rejim ASEAN menolak untuk berdepan dengan negara anggota, terutama yang melakukan pencabulan hak asasi manusia. Cara ASEAN meletakkan keutamaan kepada kedaulatan negara dan pemuafakatan negara ahli berbanding kehendak warga tertindas di dalam negara terbabit. Walaupun kurang ketelusan dan kebertanggungjawaban, ia lebih efektif. Kepada pendukung agenda Cara ASEAN ini, mereka cuba mempertahankannya dan menjadikan kejayaan demokrasi di Myanmar sebagai contoh kejayaan dasar ini. Pengkritik kepada pandangan ini mungkin tidak bersetuju. Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan, pernah mencadangkan kepada negara anggota pada 1998 ketika menjadi Menteri Luar Thailand untuk ASEAN mengubah polisi kepada apa yang disebut campur tangan secara fleksibel, iaitu bagi rejim ASEAN untuk campur tangan secara konstruktif bagi menghalang dan menyelesaikan isu domestik yang mempunyai implikasi serantau. Pandangan ini dibantah banyak negara, termasuk Malaysia yang tidak mahu negara jiran mencampuri urusan atau masalah dalaman negara anggota.

Perubahan pendekatan

Bagaimanapun, sejak dilantik sebagai Setiausaha Agung ASEAN pada 1 Januari 2008, Dr Surin terus menjalankan dasar transformasi ASEAN supaya ia kekal relevan dan absah dalam menyelesaikan permasalahan domestik yang mempunyai kesan kepada politik dan keselamatan serantau seperti isu pelarian perang, keganasan, perdagangan manusia, dan alam sekitar. Walaupun gagal mengubah polisi tiada campur tangan dan Cara ASEAN, Dr Surin berjaya menggerakkan pembentukan Komuniti ASEAN yang dijadualkan pada 2015.

Polisi Komuniti ASEAN menyaksikan perubahan pendekatan ASEAN daripada lebih mesra negara kepada lebih mesra rakyat. Komuniti ASEAN yang dibentuk berdasarkan Deklarasi Perjanjian ASEAN Kedua (Perjanjian Bali Kedua) dan Deklarasi Cebu menggesa semua negara ASEAN berinteraksi, stabil, berpengetahuan dan mesra di dalam hubungan sesama negara bagi merancakkan persaingan ekonomi dan menarik pelabur.

Tiga cabang Komuniti ASEAN

Menerusi Komuniti ASEAN, tiga cabang utama dibentuk iaitu Komuniti Politik-Keselamatan, Komuniti Ekonomi, dan Komuniti Sosio-Budaya. ASEAN membentuk satu moto untuk menggambarkan agenda baru pertubuhan ini, iaitu Satu Wawasan, Satu Identiti, Satu Komuniti.

Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN masih menekankan kewujudan norma dan nilai bersama bagi memastikan jaminan kesinambungan kestabilan politik dan hubungan antarabangsa. Nilai keadilan, demokrasi dan pemerintahan terbaik diterapkan.

Komuniti Ekonomi ASEAN pula akan menarik negara ahli untuk sama-sama meningkatkan pembangunan modal insan, teknologi maklumat dan komunikasi, pengurangan kemiskinan, pelaburan luar dan meningkatkan kualiti hidup. Fokus adalah jelas kepada isu pembangunan ekonomi.

Komunikasi  Sosio-Budaya  ASEAN pula memperlihatkan suatu bentuk transformasi. Pertama, prinsip hak asasi manusia dimasukkan ke dalam Piagam ASEAN yang membolehkan penubuhan satu badan hak asasi manusia ASEAN.

Kedua, ASEAN menggalakkan pembabitan masyarakat sivil khususnya dalam mewujudkan badan hak asasi manusia itu. Pembabitan masyarakat sivil akan mengabsahkan ASEAN menerusi penerapan norma dan prinsip demokrasi bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Ramai mengkritik pencapaian matlamat Komuniti ASEAN ini dan mempersoalkan sama ada transformasi yang diimpikan mampu dilaksanakan. Walaupun Komuniti ASEAN tidak dapat mengetepikan kehendak mempertahankan prinsip tidak campur tangan secara langsung dan model Cara ASEAN, pembaharuan ke arah mengutamakan kehendak rakyat berbanding kehendak pemerintah mampu mengubah pemikiran dan hubungan antara negara anggota ASEAN.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Proses musyawarah biar menyeronokkan


Oleh : Amidi Abdul Manan
 
Cabaran mencari dan menambah ahli bagi sesebuah pertubuhan sukarela, terutama yang berteraskan belia amat mencabar hari ini. Mungkin disebabkan kesibukan atau gaya hidup yang semakin berubah menyebabkan generasi muda hari ini kurang menggemari gerak kerja kesukarelaan. Tidak dapat dinafikan interaksi generasi muda yang semakin terbatas menyebabkan mereka mempunyai dunia mereka sendiri.

Justeru, tidak hairanlah jumlah belia yang tidak berpersatuan amat besar jika dibandingkan dengan belia yang bergiat dalam persatuan. Ia adalah satu fenomena yang membimbangkan apabila disoroti dari sudut persediaan barisan pemimpin pelapis negara bagi masa akan datang. Kini persaingan untuk merebut belia bukan saja terhad sesama pertubuhan belia, ia disengitkan lagi persaingan antara persatuan konvensional dan pergerakan masyarakat yang digerakkan secara maya.

Kita dapati di media sosial hari ini semakin banyak seruan untuk menderma bagi melakukan kerja kebajikan. Baik yang berpangkalan di dalam negeri atau di luar negara. Begitu juga dengan sasaran derma terbabit yang menjangkau seantero dunia.

Masalah dihadapi

Beberapa persoalan bermain apabila kita meneliti fenomena sebegini. Antaranya, adakah persatuan sukarela yang ada sekarang ini gagal memenuhi kehendak generasi muda? Adakah generasi muda sudah muak dengan gerak kerja sukarela? Apakah tarikan yang menyebabkan gerak kerja sukarela yang berada di alam maya mendapat sambutan? Apakah bentuk organisasi yang menjadi kegemaran generasi muda hari ini?

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu meneliti dan memahami kehendak generasi muda. Antara trend generasi muda hari ini ialah mereka tidak mahu terikat dengan nilai yang dipaksakan. Walaupun ini ada perdebatannya, kecenderungan generasi muda untuk melakukan kebajikan khususnya, tidak harus dikaitkan dengan rupa dan penampilan diri. Mereka kurang selesa sekiranya mereka perlu untuk mengubah identiti mereka semata-mata untuk bergiat dalam aktiviti kesukarelaan.

Selain itu, mereka juga tidak mahu dikaitkan dengan latar sejarah sesebuah pertubuhan. Latar sejarah boleh saja menyenangkan atau yang menjelekkan. Justeru, mereka tidak mahu terkait dengan latar yang sedemikian rupa. Pada mereka cukuplah persatuan atau individu untuk menjadi saluran kebajikan yang mereka kehendaki, tidak perlu menjadi penyokong setia mana-mana pertubuhan.

Selain faktor masa, kekangan perjalanan dan perkara lain yang bersifat fizikal, generasi muda mula melihat saluran kebajikan yang digerakkan menerusi media sosial lebih mudah dan menyenangkan.

Fenomena ini seterusnya menghasilkan kefahaman bahawa gerak kerja sukarela tidak lagi memerlukan organisasi atau persatuan secara konvensional. Maka lahirlah semakin banyak kempen kebajikan yang dipelopori oleh individu tanpa dikaitkan dengan mana-mana pertubuhan. Cukup dengan nombor akaun dan program yang hendak dilaksanakan, ia sudah memadai untuk berbakti kepada masyarakat.

Sekiranya fenomena ini semakin mendapat tempat di sanubari generasi muda, apakah yang akan terjadi kepada persatuan konvensional? Segala aktiviti mereka dirampas individu di media sosial. Pada mereka ia amat menyelesakan kerana tidak lagi perlu menghadiri mesyuarat agung tahunan yang panjang dan meletihkan. Tidak perlu lagi bertengkar dalam perbincangan dan tidak perlu lagi terikat dengan peraturan dan peruntukan dalam perlembagaan persatuan. Apatah lagi memikul tanggungjawab sebagai Exco dan ahli jawatankuasa yang perlu untuk berhadapan dengan bermacam-macam pertikaian dan ancaman perundangan, memanglah jauh panggang dari api.

Di sinilah antara faktor besar yang mengakibatkan persatuan konvensional semakin kehilangan audiennya. Jumlah korum untuk bermesyuarat semakin sukar untuk dipenuhi.

Cabaran persatuan konvensional

Ini adalah cabaran besar bagi persatuan konvensional. Kita meyakini bahawa aktiviti pengurusan seperti mesyuarat dan bengkel perancangan adalah latihan untuk melahirkan pemimpin dan anggota masyarakat berwibawa bagi memimpin negara pada masa akan datang.

Generasi muda harus disedarkan bahawa aktiviti kesukarelaan digerakkan semata-mata di media sosial tanpa pembabitan fizikal secara total tidak mampu memantapkan kemahiran sosial diperlukan bagi berhadapan dengan kerenah masyarakat.

Bagi pemimpin dan warga persatuan pula menangani fenomena ini bukan saja cukup dengan mengiklankan aktiviti di media sosial. Integriti dan kecekapan perlu ditingkatkan. Kita tidak mahu generasi muda kecewa dengan kualiti pengurusan yang kita tawarkan.

Menjadikan mesyuarat agar berfungsi dengan lebih efisien dan pantas boleh menggamit minat generasi muda. Jangan jadikan proses musyawarah sebagai satu perkataan yang memeritkan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Jati diri Cina Malaysia perlu komponen Melayu


Oleh : Teo Kok Seong
 
Rangsangan jurulatih China kepada Lin Dan ketika permainan penentuan dalam Sukan Olimpik London tempoh hari, yang dapat didengari, iaitu Datuk Lee Chong Wei sebagai lawannya adalah separuh Cina saja, boleh dianggap rasis. Namun ia menarik sekali untuk direnungi oleh Cina Malaysia.

Kepada Cina Malaysia yang rata-ratanya kemaruk dan taksub terhadap bahasa dan budaya Cina, sehingga bukan saja ingin mencontohi, tetapi berkehendakkan pendidikan aliran Cina di negara ini wujud seperti yang terdapat di China, tanpa mempedulikan keperluan pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, persepsi jurulatih itu perlu direnungi sedalam-dalamnya kerana ia mempunyai banyak kebenaran. Rangsangan itu memperlihat bangsa Cina yang bukan saja bangga dengan tamadun mereka yang berusia 5,000 tahun. Tetapi tetap angkuh sejak dulu kala sehingga ke zaman moden ini, sebagai bangsa yang maju dari segi peradaban dalam sejarah manusia. Sehubungan ini, sebilangan besar Cina Malaysia bukan saja terikut-ikut dengan keangkuhan ini, tetapi berikhtiar sedaya upaya untuk mempamer selain mendukung jati diri etnik Cina tulen, dengan menolak unsur Melayu yang merupakan kelompok dominan di negara ini.

Bukan Cina tulen

Cina Malaysia adalah hanya separuh Cina dan bukan Cina tulen seperti yang di China, merupakan hakikat yang perlu diterima dengan penuh keinsafan. Dalam hal ini, hubungan Cina Malaysia dengan China perlu hanya bersifat budaya nostalgia dan sentimental. Oleh itu, mereka perlu menyedari, lebih-lebih lagi menginsafi  nasionalisme etnik Cina mereka tidak boleh sekali-kali bersifat totok Cina, melainkan dibaurkan dengan perimbangan yang munasabah kadarnya, dengan nasionalisme Malaysia, yang harus mendukung simbol dan proses sosiobudaya Melayu. Ini adalah persetujuan bersama menjelang kemerdekaan.

Kelulusan pembinaan sekolah persendirian Cina yang ke-61 di Kuantan bukan saja disambut dengan baik, malah dianggap sebagai langkah betul yang diambil oleh kerajaan. Ini antaranya kerana kerajaan didapati memahami aspirasi mereka yang memberi keutamaan kepada pendidikan aliran Cina. Untuk mewajarkan penubuhan sekolah ini, mereka selalu menganggapnya sebagai keuntungan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara, lebih-lebih lagi dalam perdagangan Malaysia-China.

Kebaikan pendidikan aliran Cina dalam beberapa aspek tidak dapat dinafikan. Antaranya adalah ia bersifat sistem yang dibantu oleh komuniti sendiri sejak kemerdekaan dan penjajahan British lagi, selain cara pengurusannya yang cekap, baik dari segi kualiti pendidikan mahupun penglibatan komuniti.

Timbul isu perkauman

Namun demikian, pendidikan aliran Cina, baik di Sekolah Jenis Kebangsaan atau Sekolah Persendirian, sering dipersepsikan sebagai antinasional atau menimbulkan isu perkauman pada sudut yang kurang ekstrem. Hal demikian disebabkan oleh perjuangan dan tuntutan yang dapat dilihat sebagai melampau dan tidak berpijak di bumi nyata dalam sebuah negara majmuk. Antaranya adalah keperluan guru yang memiliki kelulusan bahasa Mandarin pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia sebagai syarat penempatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Salah satu persepsi negatif tentang pendidikan aliran Cina ialah ketidaksediaannya untuk memupuk perpaduan, khususnya yang ingin dicapai melalui penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara, sebagai penanda jati diri nasional.

Usaha sebegini didapati amat kurang jika diteliti daripada beberapa hal. Pertama, cadangan pendidikan ketatanegaraan dalam bentuk mata pelajaran baru, Malaysia Negaraku, dalam  Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula pada 2011, dalam bahasa Melayu. Ia yang ingin menggunakan 30 minit daripada jumlah 1,380 minit seminggu itu, ditolak atas pelbagai alasan, yang memperlihat keengganan sektor bukan Melayu menggunakan simbol Melayu itu.

Kedua, keengganan menggunakan sukatan pelajaran KSSR yang sama, untuk mata pelajaran bahasa Melayu dan juga bahasa Inggeris, dengan Sekolah Kebangsaan, agar penguasaan bahasa Melayu di sekolah vernakular berada pada tahap yang lebih tinggi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENGAJIAN TINGGI : Jalan mudah mahu cari rezeki


Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my

KETIKA kerajaan berusaha mencapai status cemerlang dan profesional dalam industri pendidikan, imejnya sedikit tercalar dengan isu ijazah dan graduan palsu, baru-baru ini.

Biarpun dianggap kes terpencil, isu berkenaan masih dianggap besar dan perlu ditangani segera bagi memastikan imej institusi pendidikan tinggi lain tidak terjejas atau dipersoalkan.

Penipuan itu juga menimbulkan tanggapan lebih memalukan dengan memperlihatkan betapa terdesaknya masyarakat memperoleh status tinggi walaupun melalui jalan salah.

Mengapa ia berlaku sedangkan pengawalan ketat diberikan tanpa kompromi. Adakah pihak berkenaan hanya memikirkan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata hingga melanggar tatasusila serta undang-undang?

Timbalan Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persoalan perlu ditekankan ialah soal etika yang menjadi kata kunci terhadap segala tindakan.

Beliau berkata, jika seseorang mempunyai nilai etika yang tinggi, mereka tidak mungkin tergamak melakukan kesalahan dengan mengambil jalan pintas bagi memperoleh ijazah ataupun menyediakan institusi palsu.

“Malangnya, mereka yang ‘terdesak’ ini tidak mahu memikirkan soal itu, sebaliknya bersikap ambil mudah dan sanggup melanggar etika, nilai moral serta melakukan kesalahan undang-undang demi memuaskan kehendak hati.

“Yang penting, keuntungan, mempunyai kelulusan hebat setara orang lain hingga mampu mengagumkan masyarakat dan dipandang tinggi kerana kelebihan pada diri,” katanya.

Beliau mengakui, fenomena itu ada kaitan dengan persaingan sengit dalam kerjaya sehingga mendorong seseorang itu melakukan apa saja, apatah lagi dengan sikap majikan yang terlalu memilih.

Kebiasaannya, katanya, ijazah dari luar negara selalu dipandang tinggi menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk menawarkan sesuatu secara mudah.

“Mereka menggunakan peluang ini untuk meraih keuntungan manakala pihak terdesak pula tidak peduli latar belakang institusi yang dipilih. Asalkan ada bukti kelayakan luar negara sudah memadai.

“Adanya permintaan dan penawaran ini menyebabkan perkara ini berlaku biarpun apa ditawarkan itu ada kalanya tidak masuk akal, ia salah di sisi undang-undang selain ‘mengotorkan’ nama industri pendidikan,” katanya.

Enggan mengaitkannya dengan kesalahan pihak tertentu, apa lebih dibimbangi ialah ijazah atau graduan palsu itu boleh memberi kesan tidak terduga terhadap profesionalisme sesuatu institusi.

Memberi contoh institusi pengajian tinggi, katanya, mereka yang ‘palsu’ ini boleh menjejaskan kredibiliti, nama baik juga kewibawaan institusi juga warga keseluruhannya terutama mahasiswa.

“Misalnya, pensyarah palsu biarpun mempunyai kelayakan berjela-jela atau gah, belum tentu mampu menjadi pensyarah berwibawa dan memenuhi standard universiti.

“Pensyarah palsu biasanya gagal menjalankan tugasan dengan baik tetapi lebih bahaya kesannya kepada pelajar yang mereka didik.

“Justeru, ia bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana kesannya sangat besar dalam mempengaruhi sistem sedia ada,” katanya mengakui kes pemalsuan ijazah atau graduan bukanlah baru di negara ini namun lebih ketara berlaku di negara luar.

“Di sini, ia boleh dianggap terpencil dan masih dalam kawalan namun di negara luar, keadaannya berbeza terutama jika pemohonnya datang dari negara yang mempunyai universiti tidak dikenali.

“Bagaimanapun, setiap negara ada polisi sendiri bagaimana menanganinya dan kepekaan itu penting bagi memastikan penipuan dilakukan itu mampu disekat,” katanya.

Katanya, bidang bukan profesional antara berpotensi tinggi melakukan penipuan kerana kurang mempunyai badan profesional yang memantau.

“Bidang yang mempunyai badan profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan jarang dipalsukan kerana mereka mempunyai polisi ketat dan sentiasa dikawal.

“Yang sering menjadi mangsa ialah bidang seperti pengurusan dan pentadbiran kerana bukan saja penawaran terhadap program sangat luas, malah membabitkan banyak institusi.

“Jadi, pemantauan sukar dilakukan dan membolehkan bidang berkenaan ‘diceroboh’ mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Bagi memastikan kesahihan dan ketulenan ijazah atau graduan, ada pendekatan tertentu boleh digunakan.

“Kami sentiasa peka, berhubungan dengan universiti asal, menyertakan sijil kelayakan asli selain mendapatkan maklumat daripada rakan terdekat juga pandangan ahli profesional sealiran.

“Jika ia dilakukan dengan tegas, saya percaya masalah ini boleh dibendung dan mereka yang bersalah tentu tidak yakin mahu melakukan kesalahan.

“Masalahnya, bukan semua bersikap seperti itu dan mudah percaya pada kelayakan yang tertera pada sekeping kertas,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berpesan agar majikan tidak terlalu taksub jika disogokkan dengan kelayakan berjela-jela.

“Jangan ada sikap ambil mudah dan taksub dengan kelebihan calon. Selidik dulu kebenaran terutama jika disertakan dengan kelayakan tidak masuk akal.

“Jika ada pencegahan dan pengawalan ketat, saya percaya mereka ini juga tidak berani meneruskan langkah sumbang menggunakan ijazah atau menjadi graduan palsu,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Perginya ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram



Oleh : ZAINAL MOHD. JAIS

SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada 31 Julai lalu pada usia 73 tahun.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya Masjidil Haram.

Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.

Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939 turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering dihimpit kesulitan.

Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.

Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.

Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.

Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.

Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah, beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.

Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati hal-ehwal agama.

Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.

Antara keistimewaan yang diperoleh beliau semasa mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu.

Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan selari dengan Hajaratul Aswad.

Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.

Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan jemaah.

Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.

"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu," beliau dilaporkan pernah berkata.

Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad dikurniakan 18 anak.

Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.

Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.

Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai ke rumahnya dan menjamu mereka dengan nasi bukhari.

Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan tokoh penting agama.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEPENGGUNAAN : Ramadan mencanai budaya berbelanja


Oleh : DR ASYRAF WAJDI DUSUKI

Manusia secara fitrahnya dijadikan ALLAH sebagai makhluk yang berkecenderungan untuk melakukan perbuatan melampaui batas. Apatah lagi sekiranya nafsu dan akal manusia tidak terbimbing dengan nilai dan prinsip Islam sejati.

Justeru kedatangan Ramadan merupakan satu rahmat yang besar bagi umat kembali bermuhasabah dan meningkatkan kualiti keimanan serta martabat keinsanan sebagaimana aturan syariat. Ramadan bukan sahaja bulan menyuburkan amalan ibadah seperti puasa, tadarus, tarawih dan qiamullail, malah turut menitikberatkan aspek tarbiah atau latihan bermuamalah seperti berbelanja.

Dalam kata lain, Ramadan bukan sahaja merupakan madrasah pengukuhan hubungan antara manusia dengan Penciptanya tetapi turut menjadi bulan pemerkasaan budaya bermuamalah sesama manusia. Tempoh sebulan yang penuh barakah di mana syaitan dibelenggu dan amalan digandakan ganjaran seharusnya dimanfaatkan semaksimum mungkin oleh umat Islam untuk meningkatkan kualiti diri.

Namun, ramai juga yang mensia-siakan peluang dan ruang diberikan ALLAH ini, sebaliknya meneruskan amalan penyimpangan sebagaimana terbudaya dalam diri selama ini. Salah satu amalan penyimpangan yang kadangkala lebih terdedah ketika Ramadan ialah budaya berbelanja.

Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan mendidik umat agar lebih berjimat dan berhemah sering kali tersasar daripada landasan sebenar. Lebih mendukacitakan, ada segelintir kita menjadikan Ramadan ‘pesta berbelanja’ tidak kira dari segi makanan, pakaian, perhiasan rumah dan sebagainya.

Bazar-bazar Ramadan juga tidak ketinggalan menjadi medan kerakusan umat berbelanja. Budaya berbelanja selalunya akan bertambah hebat terutamanya ketika melalui fasa Ramadan 10 hari terakhir. Fasa yang seharusnya menjadikan umat bertambah kuat beribadah mengejar ganjaran besar dijanjikan ALLAH, termasuk malam Lailatulqadar, sebaliknya disibukkan dengan persiapan menjelang Aidilfitri.

Memanglah Islam tidak pernah menghalang umatnya membeli-belah untuk apa jua tujuan atau urusan. Islam juga tidak pernah mengekang umatnya daripada membelanjakan harta bagi tujuan sambutan perayaan keagamaan.

Malah mempersiapkan perhiasan dan mengenakan pakaian indah semasa hari raya merupakan sebahagian daripada sunah sebagaimana disebut oleh Jabir yang pernah berkata: Nabi Muhammad SAW sering memakai pakaian terbaik iaitu sepasang jubah khusus pada hari raya dan Jumaat.

Namun, dalam keghairahan membeli-belah dan berbelanja seperti ini, umat juga harus sentiasa dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip dan nilai muamalah Islam sejati. Ini termasuklah untuk sentiasa membudayakan kesederhanaan dalam berbelanja.

Budaya sederhana dalam berbelanja merupakan salah satu ciri Ibadurrahman atau hamba-hamba Tuhan yang dijanjikan balasan syurga di akhirat kelak sebagaimana digambarkan ALLAH dalam firman-Nya: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al-Furqan: 67)

Ciri-ciri hamba ALLAH yang diistilahkan sebagai ‘Ibadurrahman’ ini ialah mereka yang adil dan baik kerana sering memilih jalan pertengahan iaitu bersederhana di antara dua budaya ekstrem dalam berbelanja.

Salah satu nilai kesederhanaan dalam berbelanja sebagaimana acuan Islam ialah saranan agar umat sentiasa membudaya nilai Qonaah, iaitu salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian ALLAH. Qanaah juga merupakan suatu manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.

Nabi SAW bersabda dalam satu hadis yang dinukilkan At-Tabrani dalam Al-Awsat menyebut: “Sifat Qonaah tidak akan menghabiskan harta dan tidak akan menghilangkan rezeki”. Malah Rasulullah SAW turut mengajarkan kepada kita satu doa yang diamalkan Baginda setiap kali selesai solat dua rakaat sebagaimana berikut:

“Ya Tuhanku, jadikanlah diriku sentiasa rasa puas dengan segala pemberian yang Engkau kurniakan padaku, berkatilah apa yang Engkau anugerahkan kepadaku dan gantikanlah apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripada Engkau”

Justeru, amat penting agar umat Islam menjadikan Ramadan sebagai bulan bermuhasabah dan latihan dalam berbelanja dan juga bersedekah agar sifat membazir dan bakhil mampu dijernihkan dalam diri.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/