Oleh : Dr Anwar Ridhwan
Sejak dekad lampau, kemunculan
penulis kreatif muda yang sedang menuntut di luar negara makin ketara. Mereka
menuntut dalam pelbagai jurusan agama, sains dan teknologi di Eropah, Afrika,
negara Arab, Australia dan sebagainya.
Kebanyakan mereka pelajar aliran
sains. Hal ini bukan suatu perkara yang mustahil kerana Allah menjadikan minda
manusia lengkap dengan keperluan naluriah imaginasi, kreativiti, objektif,
saintifik dan rasional. Ahli sains Islam, serta ulama Islam yang terkenal turut
menghasilkan puisi yang kreatif lagi indah. Kemunculan penerbitan karyawan muda
ini menyegarkan dunia sastera kita. Ketika kelas sastera tulen di negara ini
dalam keadaan yang membimbangkan, kemunculan penerbitan karyawan muda luar
negara memberi harapan baru kepada kita. Kita tidak boleh memberi harapan
tinggi kepada kelas sastera tulen di negara ini untuk dapat melahirkan penulis
muda yang baik. Ia adalah akibat persepsi negatif terhadap sastera, guru yang
kurang terlatih, murid yang terpinggir, dan modul serta kurikulum agak lapuk.
Karyawan muda luar negara ini,
walaupun tidak menempuh pendidikan sastera formal, tahu memanfaatkan bakat yang
mereka miliki. Mereka generasi muda yang pintar kerana dunia sastera memerlukan
karyawan yang pintar, berfikir, sensitif terhadap isu semasa dan tahu bagaimana
memasukkan pengalaman serta renungan intelektualnya ke dalam lembar puisi,
cerpen atau novel.
Memang fitrah Tuhan mentakdirkan
proses penggenerasian terus berlaku. Proses dialami bukan saja oleh flora,
fauna, dan peralatan moden, malah yang lebih penting turut dialami oleh
manusia. Sebagai hayawan natiq yakni makhluk berbahasa, manusia turut belajar
daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan hijau muda perlahan-lahan
berubah warna menjadi coklat perang; melihat bagaimana telur menetaskan burung
yang kemudian melesat terbang; melihat bagaimana peralatan moden terus dicipta
dan diperbaharui, ada yang semakin mengecil dan menipiskan bentuknya.
Penggenerasian manusia selalu
menghadirkan polemik kaum tua dan kaum muda, bukan saja yang mengkhusus dalam
ranah keagamaan seperti yang pernah terjadi di negara kita, malah meluaskan
ranahnya ke medan kehidupan yang lain.
Penggenerasian tidak terjadi dalam
vakum atau kekosongan. Penggenerasian terjadi bersama gerak kebudayaan
masyarakat. Justeru, golongan yang mapan atau berasa dirinya mapan, akan selalu
bersemuka dan berdialog dengan generasi muda mengenai pelbagai aspek kehidupan.
Kini, kesusasteraan Melayu moden
muncul daripada latar sosial, budaya, dan
zaman yang terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan penting yang bukan
saja membabitkan anggota masyarakat, malah penulis dan karya mereka. Oleh sebab
zaman ini memberikan lebih banyak saham kepada penulis muda, maka penulis muda
wajar menanggapi perubahan dalam konteks cabaran dan tantangan yang harus
ditangani dengan bijaksana.
Sama ada seseorang penulis muda
itu mahu menggariskan perjuangan seninya yang sekali gus bererti bersedia
menghadapi cabaran, serta memetakan arah perjuangan seninya, sangat bergantung
kepada tujuan mengarang. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya
untuk mencipta nama, maka namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika
tujuan mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan
habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk
seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi jika tujuan
seorang penulis muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi
pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti dan lebih
lestari.
Tulisan Hassan Ahmad pada 2008
antara lain menyatakan : "Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia
ahli sains atau sarjana dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan
menyampaikan ilmunya kepada orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia
tidak boleh main-main. Dia mesti serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti
berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu saja. Dia juga harus menguasai alatnya
dan teknik penulisan dengan baik. Alat penting penulis ialah bahasa. Kalau dia
tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti ilmu yang cuba disampaikan pun
boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami pembaca. Tetapi menguasai
bahasa saja belum cukup. Dia juga mesti menguasai teknik penulisan, menguasai
kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif, dengan gaya bahasa yang menarik,
dan sebagainya".
Berdasarkan karya penulis muda
kita di luar negara yang saya baca, saya dapati mereka terus menajamkan bakat
penulisan, memasukkan bumbu ilmu ke dalamnya, membawa pelbagai latar sejagat
dengan segala macam masalah alam dan manusiawi masuk ke dalam lembar puisi dan
cereka, prihatin akan nasib umat manusia, dan menjadi pendakwah seni dalam
kapasiti masing-masing.
Sastera Melayu moden akan merakam
sumbangan penting mereka. Mereka menawarkan variasi karya untuk tatapan
generasi angkatan mereka yang dikelilingi kehidupan serta teknologi yang
berubah dan bergerak dengan begitu pantas sekali. Mereka menyumbang ke arah
pemerkasaan rupa serta jiwa tamadun berasaskan persuratan Melayu masa depan.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/