Isnin, 17 September 2012

ISU BAHASA : Karyawan muda ceriakan dunia sastera


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Sejak dekad lampau, kemunculan penulis kreatif muda yang sedang menuntut di luar negara makin ketara. Mereka menuntut dalam pelbagai jurusan agama, sains dan teknologi di Eropah, Afrika, negara Arab, Australia dan sebagainya.

Kebanyakan mereka pelajar aliran sains. Hal ini bukan suatu perkara yang mustahil kerana Allah menjadikan minda manusia lengkap dengan keperluan naluriah imaginasi, kreativiti, objektif, saintifik dan rasional. Ahli sains Islam, serta ulama Islam yang terkenal turut menghasilkan puisi yang kreatif lagi indah. Kemunculan penerbitan karyawan muda ini menyegarkan dunia sastera kita. Ketika kelas sastera tulen di negara ini dalam keadaan yang membimbangkan, kemunculan penerbitan karyawan muda luar negara memberi harapan baru kepada kita. Kita tidak boleh memberi harapan tinggi kepada kelas sastera tulen di negara ini untuk dapat melahirkan penulis muda yang baik. Ia adalah akibat persepsi negatif terhadap sastera, guru yang kurang terlatih, murid yang terpinggir, dan modul serta kurikulum agak lapuk.

Karyawan muda luar negara ini, walaupun tidak menempuh pendidikan sastera formal, tahu memanfaatkan bakat yang mereka miliki. Mereka generasi muda yang pintar kerana dunia sastera memerlukan karyawan yang pintar, berfikir, sensitif terhadap isu semasa dan tahu bagaimana memasukkan pengalaman serta renungan intelektualnya ke dalam lembar puisi, cerpen atau novel.

Memang fitrah Tuhan mentakdirkan proses penggenerasian terus berlaku. Proses dialami bukan saja oleh flora, fauna, dan peralatan moden, malah yang lebih penting turut dialami oleh manusia. Sebagai hayawan natiq yakni makhluk berbahasa, manusia turut belajar daripada bahasa alam, melihat bagaimana daunan hijau muda perlahan-lahan berubah warna menjadi coklat perang; melihat bagaimana telur menetaskan burung yang kemudian melesat terbang; melihat bagaimana peralatan moden terus dicipta dan diperbaharui, ada yang semakin mengecil dan menipiskan bentuknya.

Penggenerasian manusia selalu menghadirkan polemik kaum tua dan kaum muda, bukan saja yang mengkhusus dalam ranah keagamaan seperti yang pernah terjadi di negara kita, malah meluaskan ranahnya ke medan kehidupan yang lain.

Penggenerasian tidak terjadi dalam vakum atau kekosongan. Penggenerasian terjadi bersama gerak kebudayaan masyarakat. Justeru, golongan yang mapan atau berasa dirinya mapan, akan selalu bersemuka dan berdialog dengan generasi muda mengenai pelbagai aspek kehidupan.

Kini, kesusasteraan Melayu moden muncul daripada  latar sosial, budaya, dan zaman yang terus berubah. Di sekitar kita terjadi perubahan penting yang bukan saja membabitkan anggota masyarakat, malah penulis dan karya mereka. Oleh sebab zaman ini memberikan lebih banyak saham kepada penulis muda, maka penulis muda wajar menanggapi perubahan dalam konteks cabaran dan tantangan yang harus ditangani dengan bijaksana.

Sama ada seseorang penulis muda itu mahu menggariskan perjuangan seninya yang sekali gus bererti bersedia menghadapi cabaran, serta memetakan arah perjuangan seninya, sangat bergantung kepada tujuan mengarang. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk mencipta nama, maka namanya akan diingat buat sementara waktu. Jika tujuan mengarang hanya untuk mendapatkan wang, maka ringgit dan sennya akan habis di dunia ini. Jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang hanya untuk seni, maka ia hanya mengagungkan seni yang relatif. Akan tetapi jika tujuan seorang penulis muda itu mengarang kerana menggunakan bakat untuk menjadi pendakwah seni mengandung ilmu, maka karyanya menjadi lebih bererti dan lebih lestari.

Tulisan Hassan Ahmad pada 2008 antara lain menyatakan : "Penulis mesti tahu apakah tujuan dia menulis. Kalau dia ahli sains atau sarjana dalam bidang ilmu tertentu, dia menulis untuk tujuan menyampaikan ilmunya kepada orang lain, kepada masyarakat. Itu tujuannya. Dia tidak boleh main-main. Dia mesti serius. Ini bukan kerja mudah. Dia mesti berfikir, mengolah ilmu. Tetapi bukan itu saja. Dia juga harus menguasai alatnya dan teknik penulisan dengan baik. Alat penting penulis ialah bahasa. Kalau dia tidak menguasai alat ini dengan baik, nanti ilmu yang cuba disampaikan pun boleh keliru, tidak jelas, salah dan sukar difahami pembaca. Tetapi menguasai bahasa saja belum cukup. Dia juga mesti menguasai teknik penulisan, menguasai kebolehan menggunakan bahasa secara kreatif, dengan gaya bahasa yang menarik, dan sebagainya".

Berdasarkan karya penulis muda kita di luar negara yang saya baca, saya dapati mereka terus menajamkan bakat penulisan, memasukkan bumbu ilmu ke dalamnya, membawa pelbagai latar sejagat dengan segala macam masalah alam dan manusiawi masuk ke dalam lembar puisi dan cereka, prihatin akan nasib umat manusia, dan menjadi pendakwah seni dalam kapasiti masing-masing.

Sastera Melayu moden akan merakam sumbangan penting mereka. Mereka menawarkan variasi karya untuk tatapan generasi angkatan mereka yang dikelilingi kehidupan serta teknologi yang berubah dan bergerak dengan begitu pantas sekali. Mereka menyumbang ke arah pemerkasaan rupa serta jiwa tamadun berasaskan persuratan Melayu masa depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan