Oleh Ruhaiza
Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
SEJAK akhir-akhir ini pembabitan ‘luar biasa’ dan luar batasan
segelintir kecil mahasiswa cukup berani hingga ada melabelkan mereka golongan
tidak terpelajar.
Biarpun jumlahnya terpencil, perlakuan itu menjejaskan imej mahasiswa
sehingga menjadikan sasaran masyarakat melemparkan pelbagai kritikan.
Lebih menyedihkan, golongan itu sanggup mengetepikan harga diri
semata-mata mahu membuktikan diri berani menyahut cabaran.
Justeru timbul persoalan, apakah sebenarnya yang ingin dibuktikan
golongan terbabit, adakah lambang keberanian atau sekadar mahu mencari
publisiti murahan?
Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Sahol
Hamid Abu Bakar, berkata tindakan itu tidak dapat diterima walau apapun alasan
kerana ia mencerminkan rendahnya mentaliti pemikiran mahasiswa.
Beliau berkata, golongan itu sepatutnya menjaga reputasi dan imej
mereka, bukan sekadar untuk berseronok dan menjatuhkan maruah diri.
“Saya terkilan melihat perlakuan mereka, ini bukan cermin akhlak
golongan terpelajar yang kita inginkan untuk memegang tampuk pemerintahan
negara kelak.
“Ia amat memalukan kerana reaksi mereka bersahaja. Ini bukan budaya
timur apatah lagi orang Melayu kaya dengan budi bahasa dan tata susila.
“Kepincangan secara keseluruhan akan memberi impak berpanjangan jika
tidak ditangani segera” katanya.
Perlakuan segelintir mahasiswa yang boleh dikategorikan terlalu biadap
itu menjadikan masyarakat membuat tanggapan mereka adalah golongan yang sukar
disandarkan harapan sebagai pemimpin masa depan.
Konflik berkenaan juga saling berkaitan sikap singkat pemikiran serta
gemar menggunakan kata-kata kesat atau kurang beradab ketika mahu melontarkan
pendapat.
Beliau berkata, mahasiswa boleh meluahkan pandangan atau rasa tidak puas
hati tetapi bukan dengan cara lucah atau menjatuhkan martabat diri, bangsa dan
agama.
“Mungkin mereka tidak memikirkan kesan daripada perlakuan itu atau
menyesal tetapi hakikatnya perbuatan sudah dilakukan, akibatnya kepada imej
mahasiswa sendiri.
“Mahasiswa sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Biarpun hanya
melakukan kesilapan kecil, boleh meledakkan isu yang besar atau panas.
“Saya berharap mereka berhati-hati dalam perlakuan mahupun tutur kata
kerana setitik nila rosak susu sebelanga.
“Di tengah kerancakan kita menyuntik dan membangunkan nilai mulia dalam kalangan generasi muda, ada yang menghancurkannya. Ini amat mendukacitakan,”
katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan sikap itu berpunca daripada kalangan
mahasiswa yang terlalu terpengaruh dengan kata hati dan gelodak jiwa muda.
“Masing-masing faham golongan itu sedang mencari arah kehidupan atau
menikmatinya dengan cara tersendiri, namun gunakan akal secara rasional.
“Tidak usah menunjukkan ‘kebodohan’ sendiri semata - mata mahu menjadi
hero. Itu bukan budaya kita,” katanya.
Kerana terlalu tunduk pada nafsu muda juga, katanya, ada dalam kalangan
mereka merasa bangga melakukan perbuatan itu.
“Tapi sedarkah ia juga menjejaskan nama baik banyak pihak seperti ibu
bapa dan institusi pengajian?
“Walaupun jumlahnya tidak ramai tetapi trend generasi muda yang bersikap
kurang ajar, suka cakap lepas dan menghentam tanpa bukti perlu ditangani.
“Cuba tanya diri sendiri apa yang diperoleh melalui tindakan itu,
seronok, penghargaan atau cacian?” soalnya.
Pengerusi Kolej Poly Tech Mara, Datuk Sohaimi Shahadan berkata tindakan
mahasiswa yang ekstrem disebabkan meluasnya pengaruh pelbagai media massa
hingga mencetuskan keterujaan melampau.
Menurutnya, meskipun peranan media seperti Internet atau blog penting,
tanpa pemantauan serius, ia boleh menyebabkan keruntuhan akhlak generasi muda.
“Alaf baru hari ini menyaksikan semua maklumat tanpa mengira sama ada
benar atau tidak dapat diakses dengan mudah. Ia menyebabkan ada segelintir
golongan muda menjadi terlalu taksub.
“Tanpa mengambil kira apa jua faktor, mereka melempiaskan pendapat atau
perlakuan sewenangnya.
“Lebih bahaya, ada pihak cuba menangguk di air keruh atau mengambil kesempatan.
Golongan muda atau mahasiswa yang menjadi mangsa,” katanya.
Beliau turut kesal apabila golongan mahasiswa hari ini terpesong daripada dunia pendidikan sebenar.
“Institusi pengajian tinggi adalah tempat yang mulia kerana di situlah
tersimpan segala ilmu, bukan melakukan perbuatan melampau.
“Seharusnya mereka malu bertindak demikian kerana memegang status
mahasiswa. Mengapa tidak mahu berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu.
“Jangan gunakan alasan melakukannya kerana tidak tahu. Itu tidak boleh
diterima sebab mereka adalah golongan terpelajar,” katanya.
Beliau berkata, mahasiswa di negara ini usah terlalu agresif meluahkan
rasa tidak puas hati dan melakukan kekecohan seperti di negara luar.
“Keadaan di sini tidak sama seperti di luar.
Mahasiswa di negara ini menikmati pelbagai kemudahan dan akses terbaik untuk
mendapat pendidikan.
“Jadi tidak perlu mengeruhkan situasi dengan
tindakan itu sebaliknya berusaha untuk bersama-sama mengekalkan apa dinikmati
ini dengan sempurna.
“Daripada membuang masa menunjuk punggung atau
melakukan perbuatan tidak senonoh, buktikan diri mereka hebat dengan mencipta
kejayaan dalam akademik, sukan atau penyelidikan,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan